Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu bapa benteng pertama cegah anak jadi radikal, kata Ustaz Dr Mohamed Ali

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Penangkapan dua remaja di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini, menekankan pentingnya pendekatan yang lebih menyeluruh dan mendalam dalam kalangan masyarakat, terutama sekali institusi keluarga dan ibu bapa, untuk mencegah golongan remaja daripada menjadi radikal.

Demikian menurut Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Ustaz Dr Mohamed Ali kepada BERITAmediacorp.

Radikalisasi kekal sebagai satu ancaman dominan terhadap ketenteraman dan kestabilan masyarakat serta negara, tambah beliau.

Ustaz Dr Mohamed berkata demikian semasa diminta mengulas penangkapan dua remaja berusia 15 dan 16 tahun, yang menjadi radikal sendiri dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Hari ini, sasaran golongan radikal dan ekstremis adalah anak-anak muda yang lebih mudah terdedah dan terpengaruh dengan naratif dan diayah yang ditonjolkan golongan ekstremis, dan ancaman ini tiada penghujungnya," ujar beliau.

Ibu bapa dan keluarga perlu sedar bahawa radikalisasi dalam talian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk anak-anak yang masih lagi di bangku sekolah.

"Masyarakat kita tidak harus menganggap bahawa ancaman ini tidak serius dan harus diserahkan sepenuhnya kepada pemerintah. Isu-isu ini memerlukan pendekatan seluruh masyarakat, bermaksud kita tidak boleh serahkan sepenuhnya kepada pemerintah ataupun agensi keselamatan. Tetapi masyarakat juga perlu terlibat dalam menangani radikalisasi dalam talian," kata beliau kepada BERITAmediacorp.

Selain itu, beliau menekankan agar para ibu bapa lebih prihatin tentang kegiatan online anak-anak mereka.

"Ibu-bapa dan ahli keluarga perlu kenal pasti tanda-tanda anak-anak mereka menjadi radikal. Ini perlu supaya mengesan sebarang perubahan pada kelakuan anak anak dengan lebih awal. Mereka harus pantau aktiviti anak-anak mereka dalam dalam talian sebab ibu bapa adalah barisan pertama menentang radikalisasi," kata beliau.

Dalam penangkapan terbaru itu, remaja-remaja yang ditahan terpengaruh menerusi saluran media sosial, 'podcast' dan juga permainan online Roblox.

Konteks permainan di alam maya itu menyerupai zon konflik fizikal ISIS, seperti yang di Syria dan bandar Marawi di selatan Filipina.

"Memandang ke hadapan, kita perlu lebih memahami evolusi permainan online dan penggunaan video untuk mempromosikan ideologi pengganasan. Mungkin kita perlu melibatkan juga para pakar 'gaming' dalam usaha membendung penyebaran ideologi radikal," kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan