Ibu bapa akur manfaat anak prasekolah ikuti program persediaan masuk Darjah 1
Menyedari betapa pentingnya pendidikan prasekolah sebagai asas untuk melangkah ke sekolah rendah, program 'persiapan Darjah 1' kini menjadi pilihan sebahagian ibu bapa.
BERITAmediacorp: Menyedari betapa pentingnya pendidikan prasekolah sebagai asas untuk melangkah ke sekolah rendah, program 'persiapan Darjah 1' kini menjadi pilihan sebahagian ibu bapa.
Antara yang menawarkan khidmat sedemikian termasuklah Pusat Jagaan Kanak-Kanak Ilham (Ilham), yang turut menyediakan program 'persiapan masuk madrasah'.
BERITAmediacorp ikut masuk kelas untuk melihat bagaimana kanak-kanak sedemikian dipersiapkan.
KEBERKESANAN PROGRAM PERSEDIAAN MASUK DARJAH 1
Seawal usia 18 bulan, ketiga-tiga anak Cik Syaidah Mohd Afif, 37 tahun, sudah dihantar ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Ilham bagi pendidikan prasekolah.
Hasil yang ditunjukkan anak sulungnya itulah yang membuatkan Cik Syaidah yakin dengan keberkesanan program persediaan memasuki sekolah rendah yang ditawarkan Ilham.
"Di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Ilham, mereka adakan program seperti kemahiran-kemahiran akademik, tulisan tangan, sosial dan etika.
Semua program yang mereka adakan sangat baik, dapat membantu anak saya menjadi lebih berdikari dan merangsang mindanya dan dia tahu dirinya lebih, dia lebih bersiap untuk ke Darjah 1," kongsi Cik Syaidah.
Selain mendapat pendidikan di sekolah, Cik Syaidah turut rajin mendidik anak-anaknya sendiri di rumah dengan pelbagai kegiatan menarik seperti teka-teki, 'flashcards', kuiz-kuiz dan latihan-latihan penulisan dan lisan.
BELAJAR BELI MAKANAN
Selain itu, demi membantu kanak-kanak agar tidak kekok nanti, Ilham turut mencipta suasana realistik seperti keadaan di sekolah rendah dengan mengajar mereka cara-cara membaca masa dan membeli makanan.
"Kita akan melakonkan pembelian makanan di kantin jadi mereka ada dompet sendiri, duit balik dan suasana kantin. Kita akan letakkan harga pada setiap makanan yang ingin dibeli dan kita berlatih mengira duit atau duit balik di situ.
"Ini semua adalah asas untuk mereka untuk menyediakan diri mereka untuk memasuki sekolah rendah," kata Cikgu Siti Salmah Samsuri, guru program persediaan Darjah 1.
PROGRAM PERSEDIAAN MASUK MADRASAH JUGA ADA
Bukan untuk sekolah sekular sahaja, Ilham yang mempunyai dua cawangan - satu di Jurong dan satu di Ubi - juga mempunyai program untuk mempersiapkan anak-anak prasekolah yang ingin ke madrasah.
Ia ditawarkan kepada kanak-kanak sejak dari peringkat N2 - lebih awal dari biasa memandangkan mereka perlu menduduki satu ujian kelayakan.
"Kami memberikan pelajaran pendidikan agama Islam dan Bahasa Arab dan kita bermula daripada N2 hingga K2 macam mana nak sebut, menulis, sambung perkataan dan mengenali huruf Bahasa Arab. Pada masa yang sama, kita ada doa-doa dan surah-surah yang harus mereka hafal.
"Insya Allah ia dapat membantu untuk anak-anak ini masuk ke madrasah seterusnya kalau ibu bapa mereka memilih untuk memasukkan mereka ke madrasah," kata Ustazah Nurhalisah Mohd Halid, salah seorang guru program persiapan madrasah.
"Alhamdulillah, sudah ada dua orang berjaya menduduki ujian (kelayakan) dan akan masuk madrasah tahun depan Insya Allah," tambah Ustazah Nurhalisah dengan penuh bangga dengan kejayaan pusatnya.
Dua anaknya yang sudah remaja dan dewasa sebelum ini dihantar ke sekolah sekular. Justeru, beliau teringin sekali melihat puterinya menjalani pendidikan ukhrawi di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.
Impian ibu itu mungkin tercapai kerana sejak menghantar anaknya ke program itu Ogos lalu, beliau dapat menyaksikan peningkatan positif dalam prestasi anaknya.
"Saya ingin dia bersedia untuk mengharungi cabaran peperiksaan kelayakan yang akan diadakan nanti kerana memasuki madrasah, kuotanya sangat sikit. Jadi saya cuba yang terbaik buatnya," jelas Cik Nurraihanah.
Ilham aktif mendekati para ibu bapa alumni pusat jagaannya bagi mendapatkan maklum balas mengenai keadaan anak-anak mereka di sekolah rendah. Maklum balas yang diterima dijadikan sebagai rujukan untuk senantiasa mempertingkatkan model program persediaannya.
Demi memperkukuh lagi programnya, Ilham berharap dapat bekerjasama dengan sekolah-sekolah rendah untuk mengadakan lebih banyak program pada masa depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.