Ibu 2 orang anak pertahan takhta juara ‘Powerlifting’ Klasik Asian 2024; rebut peluang kumpul dana bagi Gaza ketika bertanding
Rozana Abdul Razak (tengah) berjaya mempertahankan kejuaraannya bagi kategori wanita dengan berat badan 84 kilogram ke atas, ketika mewakili Singapura di Kejohanan ‘Powerlifting’ Klasik Asian 2024 pada Selasa lalu (3 Dis). (Gambar: Tetsuo Koike)
Cik Rozana, 43 tahun, berjaya mempertahankan kejuaraannya bagi kategori wanita dengan berat badan 84 kilogram ke atas, ketika mewakili Singapura di Kejohanan ‘Powerlifting’ Klasik Asian 2024 pada Selasa lalu (3 Dis).
Beliau, yang juga cukup dikenali dengan gelaran 'makcikfitspo' menerusi wadah Instagram, menumpaskan pesaing terdekatnya dari Mongolia.
Ia merupakan kali ketiga berturut-turut Cik Rozana memenangi acara tersebut, sejak penampilan sulungnya di edisi kejohanan itu pada 2022 di Dubai.
Acara temasya tersebut berlangsung dari 1 hingga 10 Disember 2024 di Tashkent, Uzbekistan.
Seramai 22 atlet mewakili Singapura untuk beraksi di kejohanan itu. Selain Cik Rozana, kontinjen Singapura termasuk atlet angkat berat negara, Farhanna Farid.
Untuk memenangi acara yang dipertandingkan itu, beliau perlu mengangkat jumlah keseluruhan berat yang paling tinggi setelah menyempurnakan ‘deadlift’, ‘squat’ dan ‘bench’.
Jumlah berat 338 kilogram yang diangkatnya semasa kejohanan kali ini, cukup untuk menjamin kemenangannya di acara itu buat kali ketiga.
Setakat ini, rekod terbaik peribadi Cik Rozana adalah 370 kilogram, yang dicapainya ketika menjulang takhta juara di edisi sukan temasya itu tahun lalu, yang berlangsung di Johor Bahru.
Sekalipun jauh terlepas daripada mengatasi rekod yang dipegangnya itu, guru sekolah rendah ini tetap meluahkan rasa puas hatinya terhadap prestasi yang ditonjolkan semasa sukan temasya kali ini.
Manakan tidak, beliau perlu bergelut dengan kecederaan meniskus, iaitu di bahagian ligamen antara lutut, ketika bertanding tahun ini. Bahkan, ia dianggap sebagai antara cabaran terbesar yang perlu diatasinya.
“Dengan kecederaan yang saya alami, saya rasa saya telah mencatat prestasi yang cemerlang. Ini memandangkan saya bahkan, tidak dapat benar-benar menyempurnakan ‘squat’ dek kecederaan ini,” ujar Cik Rozana ketika dihubungi semasa dalam perjalanan pulang ke tanah air.
Beliau telah berada di Uzbekistan selama seminggu, sejak 29 November lalu.
Sungguhpun ini bukan kali pertama Cik Rozana bertanding ketika cedera, ia tetap bukan sesuatu yang mudah untuk diatasi, bahkan untuk memberikan yang terbaik.
Setelah genap setahun berlatih bagi penampilannya di kejohanan tersebut, tidak dinafikan bahawa Cik Rozana menyimpan harapan tinggi untuk mempertahankan takhtanya itu.
Lantas, beliau kekal bersikap optimis dalam mengharungi liku-liku sebagai seorang atlet, dengan mengubah strateginya dan mendapat nasihat ahli fisioterapi.
Yang pasti, Cik Rozana kini dapat tarik nafas lega, menyedari bahawa segala usaha dan pengorbanannya selama ini ternyata berbaloi!
Baginya, kejayaan itu mustahil dikecapi tanpa sokongan jitu daripada keluarganya.
"RASA TIDAK WAJAR BERSERONOK SEDANG YANG LAIN MENDERITA": LANCAR KEMPEN 'GAZA FOR GOLD' SEMPENA PENAMPILAN DI KEJOHANAN 'POWERLIFTING'
Kejayaan yang diperolehinya di Kejohanan ‘Powerlifting’ Klasik Asian tahun ini lebih bermakna lagi buat Cik Rozana.
Menjelang penampilannya di sukan temasya tersebut, Cik Rozana telah melancarkan satu kempen kutipan dana, yang dinamakan 'Gaza for Gold'.
Ia merupakan pertama kali Cik Rozana mengendalikan kempen kutipan dana seumpama itu.
Ditanya apa yang mendorongnya untuk menggerakkan usahanya itu sendiri, Cik Rozana meluahkan: "Saya mahu memastikan masa saya di pertandingan ini bermakna. Dengan semua yang berlaku, tidak wajar untuk saya berseronok sedang yang lain, menderita.
"Saya berasa tidak berdaya kerana saya tidak mampu melakukan lebih lagi. Saya benar-benar mahu mencari jalan untuk memastikan masa saya di pertandingan itu bermakna," tambahnya.
Sungguhpun beliau sedang rancak melakukan persiapan bagi kejohanan itu, ingatannya tetap bersama penduduk di Gaza, memandangkan masih belum ada tanda-tanda bahawa ia akan segera berakhir.
Lantas, Cik Rozana mengajak orang ramai untuk membuat ikrar bagi setiap kilogram yang dijangka diangkatnya di kejohanan itu, menerusi kempen tersebut.
Berdasarkan tinjauan dalam borang kempennya itu, Cik Rozana turut menyerahkan kepada penderma untuk menyumbang apa jua jumlah sekalipun dengan seikhlasnya, jika beliau terlepas daripada menepati sasaran di sukan temasya tersebut.
Meskipun beliau terlepas daripada sasarannya untuk mengatasi rekod yang dipegangnya di edisi kejohanan tahun lalu, Cik Rozana tetap menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada mereka dari pelbagai latar belakang.
Malah, jumlah sumbangan yang terkumpul menerusi kempen 'Gaza for Gold' yang dikendalikan Cik Rozana sepenuhnya itu, mencecah S$10,000.
Mengulas mengenai sambutan yang diterima, Cik Rozana menyuarakan rasa besar hatinya, melihat orang ramai yang tampil untuk menyokong usahanya itu, sekalipun mungkin tampak kecil kesannya.
Apatah lagi, beliau sebenarnya berasa ragu-ragu pada mulanya terhadap sambutan bagi kempennya itu dan hanya menjangkakan sokongan datang sekadar daripada mereka yang terdekat sahaja termasuk suami dan adik-beradiknya.
Cik Rozana akan menyampaikan hasil kutipan dana itu pada 12 Disember nanti kepada empat badan kebajikan tempatan dan antarabangsa, termasuk Love Aid SG, Gaza Sunbirds dan Connecting Humanity.
Ia diharapkan dapat sedikit sebanyak membantu usaha setiap daripada badan kebajikan itu dalam meringankan penderitaan penduduk di Gaza.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.