Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibarat populariti mendadak bagi rakyat S'pura yang menangis semasa Lagu Kebangsaan di NDP 2022

"Keadaan dan suasananya syahdu, sangat beremosi. Anda boleh mendengarnya dari setiap rakyat Singapura... Saya sangat pasti air mata rakyat Singapura lain turut bergenang dan berlinangan," kata Encik Azuan Tan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibarat populariti mendadak bagi rakyat S'pura yang menangis semasa Lagu Kebangsaan di NDP 2022

Petikan skrin Encik Azuan Tan semasa siaran langsung NDP 2022.

SINGAPURA: Apabila Encik Azuan Tan mengalirkan air mata ketika menyanyikan Lagu Kebangsaan semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada Selasa (9 Ogos), beliau tidak terfikir ia akan menjadi sebahagian daripada sorotan bagi acara sambutan tersebut.

Kamera-kamera televisyen merakamkan guru Sekolah Menengah Bedok View berusia 41 tahun itu dengan air mata berlinangan semasa lagu kebangsaan didendangkan di Pentas Terapung Marina Bay.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong memuat naik catatan berserta petikan skrin yang menunjukkan Encik Azuan Tan di media sosial pada sebelah malam Selasa dan menyifatkannya sebagai "antara gambar ikonik NDP 2022".

NDP kembali diadakan sebagai sebuah acara berskala penuh selepas dua tahun akibat sekatan-sekatan pandemik.

Encik Azuan Tan memberitahu Mediacorp beliau sedang "menyerap tenaga detik khusus itu" dan tidak sedar kamera sedang merakamnya.

"Saya seharusnya sedar," kata beliau sambil tertawa. "Saya pasti akan duduk atau menenangkan diri."

Encik Azuan Tan hanya sedar beliau dipaparkan di televisyen selepas seorang lagi penonton di perbarisan itu menunjukkan sedutan NDP kepadanya.

Guru itu menghadiri NDP bersama tiga anaknya - anak lelaki berusia 10 tahun serta dua anak perempuan berusia lapan dan empat tahun - buat kali pertama. Kali terakhir beliau menonton perbarisan secara langsung adalah sewaktu masih remaja bersama keluarganya.
(Gambar: Azuan Tan)
Naratif perbarisan tahun ini membuatnya emosi, tambah beliau.

"Saya berpendapat ia sebuah cerita tentang semua orang, setiap rakyat Singapura. Saya rasa ramai rakyat Singapura, tidak kira pekerja barisan hadapan atau tidak, menyumbang dengan cara mereka sendiri atau dalam bentuk lain, sambil cuba bersatu padu dan memerangi (pandemik) ini," kata beliau.

Mendengar semua penonton di pentas terapung menyanyikan Lagu Kebangsaan dan melafazkan ikrar membuatnya sangat bangga, jelas beliau.

"Keadaan dan suasananya syahdu, sangat beremosi. Anda boleh mendengarnya daripada setiap seorang rakyat Singapura yang melafazkan ikrar, dengan setiap tutur kata, ayat, frasa dalam Lagu Kebangsaan. Saya sangat pasti air mata rakyat Singapura lain turut bergenang dan berlinangan," kata Encik Azuan Tan.

BERASA MALU PADA MULANYA

NDP suatu acara yang sentiasa membuatnya terharu dan emosi, kata Encik Azuan Tan.

Menyaksikan perbarisan itu secara langsung dan kebimbangan yang timbul setelah melihat anggota pasukan Red Lions jatuh semasa mendarat selepas membuat terjunan menjadikan beliau lebih beremosi, katanya.

Namun, menitiskan air mata dan dilihat seluruh negara bukannya sesuatu yang beliau bersedia hadapi.

"Saya berasa malu denga hakikat bahawa saya sangat beremosi dan ia dirakam di televisyen kebangsaan," ujarnya.

"Saya sedar saya menangis dan saya tidak mahu menunjukkannya kepada anak-anak saya jadi saya sudah mengelap semua (air mata)," tambah Encik Azuan Tan.

Namun demikian beliau sudah mula melihat pengalaman tersebut dari sudut lebih positif, katanya, sambil menjelaskan bahawa ia membuka kesempatan bagi dirinya berhubung semula dengan sebilangan rakan yang melihat gambarnya itu.

"Saya tidak rasa begitu malu lagi seperti sebelum ini," katanya.

Encik Azuan Tan juga menambah beliau berbesar hati dapat berkongsi emosinya dengan rakyat Singapura lain yang merasakan emosi serupa.

"Saya memang sentiasa bangga menjadi rakyat Singapura," kata Encik Azuan Tan.

Menyaksikan perbarisan di televisyen, mahupun di telefon bimbit sementara menonton pertunjukan bunga api, seringkali menjadi acara kekeluargaan baginya.

"Sayalah lelaki itu, yang mana pada setiap NDP, walaupun jika menonton di televisyen sekalipun... akan berdiri dan menyanyikan Lagu Kebangsaan serta melafazkan ikrar dan saya menggalak anak-anak saya berbuat demikian juga," kongsinya.

Encik Azuan Tan adalah relawan akar umbi di kawasan undi Pasir Ris-Punggol, di mana beliau tinggal. Beliau menyertainya pada 2017 dan bergiat lebih aktif pada 2020, semasa musim awal pandemik.

Beliau mengagihkan pek-pek kesihatan dan pelitup bersama rakan-rakan serta keluarganya, sebelum menggalak lebih ramai sukarelawan akar umbi untuk turut ikut serta.

Encik Azuan Tan berkata: "Saya sangat bangga dengan kedua-dua ibu bapa saya yang mendidik saya untuk menjadi seorang rakyat Singapura yang boleh saya banggakan."

Beliau menambah kedua-dua orang tuanya berkerja keras untuk membesarkan beliau dan dua lagi adik-beradiknya.

"Singapura membolehkan keadaan itu supaya saya dapat meraih pendidikan... manfaat sistem pendidikan yang saya sangat banggakan," tambahnya.

"Saya terus memupuk nilai untuk sentiasa berterima kasih ke dalam diri anak-anak saya dan dalam apa cara sekalipun, menyumbang kembali kepada masyarakat."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan