Skip to main content

Singapura

Ibarat 'permata yang jarang ditemui', dua pegawai khidmat sosial lelaki ini kongsi motivasi & cabaran

Anggaran Waktu Membaca:
Ibarat 'permata yang jarang ditemui', dua pegawai khidmat sosial lelaki ini kongsi motivasi & cabaran

Encik Muhammad Zahin Saini (kiri) bersama Encik Adrian Lee (kanan)

SINGAPURA: Jumlah pegawai khidmat sosial dan kaunselor lelaki di Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) sudah meningkat 60 peratus sejak lima tahun lalu.

PPIS kini mempunyai 16 pekerja kaum Adam bagi peranan tersebut.

Namun jumlah itu masih kecil jika dibandingkan dengan hampir 80 kakitangan wanitanya sebagai pegawai khidmat sosial dan kaunselor.

Wartawan Nurhelmy Hakim bertemu dengan dua pekerja khidmat sosial yang berkongsi motivasi, cabaran serta harapan daripada lensa seorang lelaki dalam bidang kerjaya yang didominasi kaum Hawa.

DARIPADA BIDANG IT, TUKAR KERJAYA PADA 41 TAHUN UNTUK CARI KEPUASAN DIRI

Antara mereka ialah Penolong Kaunselor Kanan PPIS, Adrian Lee yang sebelum ini bekerja dalam sektor IT.

Bertahun lamanya bekerja di depan komputer, mula timbul persoalan dalam diri Encik Lee untuk mencari lebih daripada sekadar kepuasan kerjaya sahaja.

Beliau sebaliknya ingin mencari kepuasan diri yang lebih menyeluruh.
Penolong Kaunselor Kanan PPIS, Encik Adrian Lee
Lantaran itu, sekitar lima tahun lalu, pada usia 41 tahun, Encik Lee memutuskan untuk tukar kerjaya dan menceburi dalam bidang kerja sosial.

Beliau berkata: "Saya melihat keperibadian saya sendiri dan kecekapan saya dan saya fikir saya boleh mendapatkan lebih banyak kepuasan dengan melakukan pertukaran ini. Jadi terdapat banyak kemahiran kepimpinan dan komunikasi yang saya ada, jadi saya rasa saya boleh dapat kepuasan dengan berkomunikasi dengan orang."

Ini terbukti apabila beliau diiktiraf dengan Anugerah Pekerja Tercontoh PPIS.

Sebagai Penolong Kaunselor Kanan, beliau antara lain berperanan untuk menyokong bahagian khidmat keluarga PPIS serta kaunseling individu dan keibubapaan.

Selaku seorang pekerja sosial di dalam industri yang didominasi golongan wanita, Encik Lee merasakan bahawa peranannya sebagai seorang lelaki juga penting terutama sekali dalam menangani kes-kes tertentu.
Encik Adrian Lee (tiga dari kanan) di acara pengagihan Ramadan anjuran PPIS (Gambar: PPIS)
Encik Lee menjelaskan, "Saya pernah menangani satu kes rumah tangga ini di mana ada kepercayaan budaya bahawa si isteri perlu mematuhi dan mendengar si suami. Jadi apabila pekerja wanita yang menangani kes itu, si suami itu juga mempunyai pendirian yang sama terhadap pekerja tersebut. Jadi, dengan penglibatan saya dalam kes itu, ia membantu dalam proses intervensi dan menjadikannya lebih berkesan lagi."

"Ia mungkin akan mengambil masa lebih lama untuk seorang pekerja wanita untuk membina perhubungan dengan seorang klien lelaki, tetapi pastinya mereka tetap boleh menjadi berkesan dalam proses intervensi, " tambah beliau lagi.

Encik Lee menghadapi pelbagai jenis cabaran baharu dalam sektor itu, termasuk menerima pendapatan yang kurang daripada bidang IT sebelum ini.
Encik Adrian Lee (berbaju hitam) (Gambar: PPIS)
Namun, beliau tetap berbalik kepada motivasi utamanya iaitu untuk mencari kepuasan diri dalam kerjayanya itu.

Encik Lee berkata: "Kepuasannya sangat berbeza dengan industri IT. Kepuasannya datang apabila kami melihat para klien dan keluarga telah meneruskan kehidupan mereka, mengharungi semua cabaran yang dihadapi. Kepuasan itu tidak boleh dibandingkan dengan kerja analitik misalnya. Mengetahui bahawa para klien mempunyai daya tahan dan kekuatan yang begitu banyak dalam diri mereka, itu adalah pengalaman yang merendah diri untuk kami bawa pulang."

HAPUSKAN STEREOTAIP "PEKERJA SOSIAL SEBAGAI RELAWAN"

Kepuasan sebegitu juga cuba diraih seorang lagi petugas lelaki PPIS, Muhammad Zahin Saini.

Sebelum melangkah ke universiti sekitar 10 tahun lalu, beliau tidak pernah terdengar tentang kerjaya dalam bidang khidmat sosial.
Encik Muhammad Zahin Saini (Gambar: PPIS)
Beliau pertama kali tahu tentang bidang itu selepas mendapat inspirasi daripada saudara-maranya yang bertugas dalam sektor penjagaan kesihatan.

"Pendidikan saya sebelum ini sebenarnya dalam aliran sains sebenarnya. Sejak kecil lagi saya sudah dengar banyak cerita tentang pekerjaan mereka, mendengar tentang cerita para pesakit dan cabaran hidup mereka. Dari situ, mereka banyak berikan saya panduan hidup. Saya pun mula minat untuk berinteraksi dengan masyarakat," jelas Encik Zahin.

Lantaran itu, beliau memilih untuk menuntut dalam jurusan khidmat sosial di Universiti Kebangsaan Nasional (NUS).

Tujuh tahun lalu, beliau mula bertugas di PPIS dan menjadi antara sebilangan kecil pekerja sosial lelaki di situ.

Bahkan, beliau menganggap para pekerja khidmat sosial lelaki seperti beliau ibarat 'permata yang jarang ditemui'.

Beliau berkata: "Mungkin ada stereotaip di mana orang mengatakan sebab mengapa tidak ada ramai pekerja lelaki dalam bidang ini adalah kerana kaum lelaki tidak begitu baik dalam menunjukkan emosi dan sebaliknya lebih berfikir tentang solusi dalam pendekatan mereka terhadap para klien."

"Secara peribadi, saya percaya bahawa kedua-dua lelaki dan wanita adalah unik dengan cara mereka tersendiri. Keseimbangan kedua-duanya akan mewujudkan gabungan kemungkinan dan memandangkan sektor ini didominasi oleh kaum wanita, saya percaya kehadiran kaum lelaki akan terus menyokong dan meningkatkan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat," tambah beliau.
Encik Muhammad Zahin Saini (berbaju putih) bersama rakan kerja PPIS (Gambar: PPIS)
Kerja Encik Zahin lebih tertumpu kepada bidang khidmat keluarga, belia serta pengurusan keselamatan dan risiko.

Bagi terus memperbaiki kemahirannya dalam berinteraksi bersama para klien, Encik Zahin berkata bahawa PPIS kerap menjalankan bengkel dan latihan komunikasi, huraian masalah dan pengurusan kes.

Meskipun sudah tujuh tahun berkhidmat dengan PPIS, Encik Zahin masih terus belajar untuk tangani cabaran-cabaran dalam kerjayanya itu.

"Saya masih dibelenggu dengan kepenatan emosi. Hari-hari kita akan bertemu dengan pelbagai jenis klien. Jadi kita masih perlu untuk mewujudkan sebuah ruang di mana kita tidak terlalu berpegang kepada perasaan dan emosi tetapi, ramai daripada pekerja sosial yang melakukan itu," jelas Encik Zahin.

Memandang ke hadapan, beliau berharap agar lebih banyak lagi kursus diploma dalam perkhidmatan sosial boleh ditawarkan bagi menarik lebih ramai lagi golongan lelaki ke dalam bidang itu.

Selain itu, beliau juga berharap supaya stereotaip terhadap para pekerja sosial yang dianggap sebagai "pekerja relawan" juga dapat dihapuskan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita