Skip to main content

Singapura

'Ibarat kehilangan sebutir permata': Penduduk Nee Soon & Kembangan terkesan dengan peletakan jawatan Dr Faishal Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:
'Ibarat kehilangan sebutir permata': Penduduk Nee Soon & Kembangan terkesan dengan peletakan jawatan Dr Faishal Ibrahim

Dr Muhammad Faishal Ibrahim ketika menghadiri Majlis buka puasa Nee Soon pada (8 Mac).

Diterbitkan : 21 Jul 2026 06:02PM Dikemas Kini : 23 Jul 2026 07:50PM
SINGAPURA: Daripada membantu menyelesaikan masalah kecil penduduk sehinggalah turun padang hampir setiap hari, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dikenang ramai sebagai seorang wakil rakyat yang dekat dengan masyarakat.

Justeru, berita peletakan jawatan beliau mengejutkan penduduk di Nee Soon dan Kembangan, yang menyifatkan kehilangan beliau sebagai satu kehilangan besar.
Dr Faishal menceburi politik pada 2006 sebagai sebahagian daripada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memenangi GRC Marine Parade.

Beliau kemudian mewakili GRC Nee Soon selama tiga penggal dari 2011 hingga 2025 sebelum kembali ke GRC Marine Parade-Braddell Heights selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Sepanjang tiga penggal, Dr Faishal menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui peningkatan kemudahan awam, naik taraf kawasan perumahan, kemudahan sukan dan ruang komuniti.

Beliau turut memperkukuh sokongan masyarakat melalui inisiatif kebajikan, program untuk keluarga, warga emas dan belia, serta usaha mendekati penduduk.

Antara usaha kemasyarakatan yang disokong dan menjadi sebahagian daripada penglibatan Dr Faishal di Nee Soon Central ialah Projek Pensel, sebuah inisiatif yang membantu kanak-kanak dan keluarga melalui sokongan pendidikan, pembangunan dan kerjasama sukarelawan masyarakat.

"BUKAN PEMIMPIN BERMUSIM"

Bagi Pengasas Projek Pensel, Sarimah Amat, yang pernah bekerjasama rapat dengan Dr Faishal di Nee Soon Central, beliau menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang sentiasa turun padang dan mengutamakan kebajikan masyarakat.

"Sepanjang pengalaman saya bekerjasama dengan Prof Faishal apabila kita sama-sama jalan di Nee Soon Central ini adalah satu pengalaman yang sungguh membangunkan kerana kita sama-sama membangkitkan masyarakat di mana kami mengatasi masalah-masalah yang masyarakat alami," kongsi Cik Sarimah.

Menurutnya, beliau menyaksikan sendiri keikhlasan Dr Faishal dalam menangani pelbagai isu penduduk, termasuk perkara-perkara kecil yang memberi kesan kepada keselamatan mereka.

"Jika beliau melihat koridor yang berlubang, beliau dengan segera akan menyuruh Majlis Bandaran untuk atasi masalah itu sebab kita khuatir akan ada warga emas atau anak-anak yang lari akan jatuh," kata Cik Sarimah.

Beliau turut mengimbas satu kejadian semasa pandemik COVID-19 apabila Dr Faishal segera membantu seorang belia yang kehilangan tempat tinggal mendapatkan perlindungan sementara sebelum dibantu memperoleh rumah sewa.

"Kita nampak Dr Faishal ini adalah orang yang sangat bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh menolong rakyat," kata Cik Sarimah.

Cik Sarimah berkata Dr Faishal bukan seorang pemimpin yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

"Istimewanya Dr Faishal ini, beliau bukanlah seorang pemimpin yang bermusim. Contohnya, sewaktu musim mengundi baru ada sesetengah pemimpin yang turun padang, bersalam-salaman dengan penduduk.

"Beliau hampir setiap hari turun padang bersama rakyat jumpa mereka berbual dengan mereka. Tanya keadaan mereka masalah mereka," kongsi Cik Sarimah.

Beliau berkata Dr Faishal bukan sahaja membantu bekas pesalah dan penagih, malah turut mengambil berat kebajikan keluarga mereka serta para pegawai yang bertugas.

Beliau mengimbas bagaimana Dr Faishal turun padang ketika bulan Ramadan untuk bertemu dan memastikan kebajikan petugas terjaga.

PELETAKAN JAWATAN SEBAGAI SATU KEHILANGAN BESAR

Beliau menyifatkan peletakan jawatan tersebut sebagai satu kehilangan besar.

"Kehilangan Dr Faishal ini adalah ibarat kehilangan sebutir permata dan sukar untuk cari pengganti," kata Cik Sarimah.

Beliau juga terperanjat apabila menerima berita tersebut.

Walaupun mengakui ramai yang sukar mempercayai perkembangan itu, beliau menyeru agar orang ramai tidak membuat andaian.

"Bukan tugas kita untuk menghakimi atau menghukum. Sejujurnya saat ini mari kita bersama-sama mendoakan Dr Faishal dan keluarga diberi ketenangan untuk melalui ujian ini," kata Cik Sarimah.

Menurut beliau, sentimen yang sama turut dikongsi penduduk dan rakan-rakan masyarakat di Nee Soon.

Beliau juga menegaskan masih bersedia bekerjasama dengan Dr Faishal pada masa hadapan sekiranya diberi peluang.

PENDUDUK KEMBANGAN TURUT TERKESAN DENGAN PELETAKKAN JAWATAN

Di Kembangan, kawasan yang mula diwakili Dr Faishal selepas Pilihan Raya 2025, penduduk turut meluahkan rasa terkejut dengan peletakan jawatan beliau.

Ramai menyifatkan beliau sebagai seorang Anggota Parlimen yang mudah didekati dan sentiasa turun padang sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

"Saya pernah bertemu dengannya beberapa kali. Saya rasa tiga atau empat minggu yang lalu saya masih bertemu dengannya di Blok 12... Pada pendapat saya, kita telah kehilangan seorang Anggota Parlimen yang sangat baik di kawasan ini."

Seorang lagi penduduk berkata beliau mengenali Dr Faishal sebagai seorang pemimpin yang mesra dan mudah didekati.

"Kami pernah bertemu beliau secara peribadi, jadi kami mendapati beliau sangat mudah didekati, baik dan kelihatan seperti seorang menteri yang sangat bertanggungjawab. Beliau juga sangat mudah untuk didekati dan diajak berbual. Jadi apabila kami mendengar berita itu, semua orang agak terkejut."

Dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, terdapat juga harapan agar keperluan masyarakat akan terus diberi perhatian.

Harapan itu disuarakan susulan pelantikan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad, sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
YAKIN KHIDMAT KEPADA PENDUDUK DITERUSKAN

Seorang lagi penduduk berkata orang ramai tidak mengetahui keseluruhan keadaan yang membawa kepada peletakan jawatan tersebut.

Beliau berpandangan perkara itu tidak seharusnya menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan secara keseluruhan.

"Setiap orang melakukan kesilapan atau melakukan perkara yang mungkin tidak selaras dengan tahap profesionalisme mereka."

Walaupun mengakui kehilangan seorang AP akan memberi kesan, beberapa penduduk berkata mereka yakin khidmat kepada penduduk akan diteruskan oleh anggota pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights yang lain.
"Saya yakin pemerintah akan melantik seseorang yang juga berkemampuan untuk menjaga kebajikan kami."

"Kebimbangan itu memang sentiasa ada kerana kini kami kekurangan seorang Ahli Parlimen di kawasan ini. Namun, saya rasa secara umumnya, orang ramai tetap yakin bahawa PAP akan sentiasa melaksanakan apa yang perlu dilakukan," kata seorang penduduk.

Bagi ramai penduduk di kedua-dua Nee Soon dan Kembangan, peletakan jawatan Profesor Madya Faishal merupakan satu perkembangan yang tidak dijangka.

Namun, mereka berharap khidmat kepada masyarakat akan terus berjalan lancar di bawah kepimpinan baharu, sambil mengenang sumbangan beliau sepanjang hampir 20 tahun dalam perkhidmatan awam dan politik.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita