Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

‘Ibarat haiwan peliharaan saya sendiri': Doktor klinik SPCA sangkal dakwaan tentang eutanasia

Sudah setahun sejak Magic, si kucing, dihantar ke Persatuan bagi Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA). Mungkin disebabkan warna bulunya yang gelap, tiada siapa yang ingin mengambilnya sebagai haiwan peliharaan.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Ibarat haiwan peliharaan saya sendiri': Doktor klinik SPCA sangkal dakwaan tentang eutanasia

Dr Judith Ooi bersama seekor kucing masyarakat. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Sudah setahun sejak Magic, si kucing, dihantar ke Persatuan bagi Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA). Mungkin disebabkan warna bulunya yang gelap, tiada siapa yang ingin mengambilnya sebagai haiwan peliharaan.

Ada sesetengah orang yang memegang pada kepercayaan, kucing hitam membawa malang. Ada pula yang menganggap warnanya tidak menarik, kata doktor haiwan SPCA, Judith Ooi.

Bagaimanapun Magic tetap "cantik" di mata Dr Ooi, yang menegaskan ia akan sentiasa mempunyai tempat di pusat kebajikan haiwan itu hingga ia mendapat tuan yang baru.

SPCA bergelut dengan tanggapan bahawa ia akan melakukan eutanasia (mematikan secara ihsan) ke atas haiwan yang tidak mendapat tuan. Doktornya bagaimanapun tegas menolak dakwaan ini.

"SPCA tidak melakukan eutanasia ke atas haiwan melainkan kami sama sekali tidak mempunyai jalan lain - dalam keadaan seperti penyakit yang tidak boleh dirawat seperti barah atau penyakit organ tahap akhir, di mana organ haiwan itu tidak lagi berfungsi," kata Dr Ooi, salah seorang daripada dua doktor haiwan sepenuh masa badan itu.

"Tanggapan lazim" dalam kalangan orang ramai ialah haiwan yang dihantar ke SPCA berkemungkinan tinggi akan dimatikan. Ini tidak benar sama sekali, tegasnya.

SALAH TANGGAPAN JEJAS KERJA MURNI, DERMA

Doktor haiwan sementara di persatuan itu, Dr Chow Haoting, juga pernah bercakap tentang salah tanggapan itu baru-baru ini di media sosial. “Saya memahami keperluan mendesak untuk menempatkan semula haiwan peliharaan tetapi HENTIKANLAH guna SPCA Singapura sebagai 'PENJAHAT' untuk jadikan rayuan anda tular," tulisnya di Facebook.

Kepalsuan itu melemahkan usaha kakitangan dan relawan SPCA, selain mencalar imej dan menjejas derma daripada orang ramai, tambahnya.

SPCA mengendalikan sebuah klinik bukan meraih untung di Sungei Tengah yang dibuka pada 2018 dengan keupayaan yang dipertingkatkan dan rangkaian rawatan yang lebih luas. Klinik itu merawat haiwan yang diselamatkan dan terbiar serta haiwan peliharaan keluarga berpendapatan rendah.

Yuran biasa yang dikenakan di klinik itu ialah S$10 dan rawatan standard, secara amnya, adalah sekitar tiga hingga lima kali lebih rendah daripada klinik swasta, katanya. Namun oleh kerana sumber yang terhad, ia tidak dapat membantu semua kes berpendapatan rendah.

Doktor-doktor haiwan SPCA juga membantu haiwan yang dibawa masuk untuk dikembiri di bawah program Trap-Neuter-Release-Manage (Tangkap-Kembiri-Lepaskan-Urus) pemerintah. Haiwan seperti itu mungkin mempunyai masalah kesihatan.

Tahun lalu misalnya, pasukan doktor haiwan itu mengesan ketumbuhan leher besar pada seekor anjing di bawah program itu, lalu melakukan pembedahan untuk membuang keseluruhan ketumbuhan itu. Ini membantu mengurangkan kemungkinan sel barah tertinggal dalam tubuh dan mengawal kehilangan darah. Anjing itu pulih dan dilepaskan semula di lokasi di mana ia ditemui.

CABARAN RAWAT HAIWAN DALAM MASYARAKAT

Dr Ooi, menyertai SPCA awal tahun ini selepas menjadi sukarelawan sejak Oktober 2020, Sebelum ini beliau bekerja di luar negara.

Cabaran bekerja dengan haiwan liar atau haiwan dalam masyarakat adalah menghuraikan misteri dan siasatan yang kadangkala diperlukan, kongsi beliau kepada Mediacorp.

Jika ada penjaga dalam masyarakat - iaitu orang yang memberi makan dan menjaga haiwan - doktor haiwan SPCA akan bergantung kepada mereka, kata Dr Ooi. Namun maklumat seperti sejarah perubatan haiwan itu, keadaan kesihatan sedia ada atau apa yang ia lakukan sebelum dibawa ke klinik mungkin masih tidak diketahui.

Tidak seperti haiwan peliharaan dengan pemilik yang prihatin, tiada jaminan bahawa haiwan dalam masyarakat akan kembali ke klinik untuk rawatan susulan. Penjaga mungkin tidak dapat menangkapnya lagi, atau mungkin ia hilang untuk satu tempoh waktu.

"Saya perlu melakukan apa sahaja yang terdaya untuk menyelesaikan isu haiwan itu apabila ia dibawa masuk... kerana ada kemungkinan besar saya tidak akan melihat haiwan itu lagi," jelas Ooi.

Keadaan haiwan yang terbiar dan diselamatkan berbeza-beza. Ada yang "gemuk dan gembira" kerana diberi makan oleh ramai orang yang lalu-lalang. Ada pula yang kurus, sakit atau dihinggapi parasit.

Ada yang mungkin dilanggar kereta atau terjatuh dari bangunan, kata Dr Ooi. Ada pula mungkin bergaduh dengan haiwan lain atau didera.

EUTANASIA PILIHAN SANGAT BERAT

Seperti rakan-rakan sejawatannya di klinik swasta, Dr Ooi berkata menangani jangkaan yang melampau, haiwan yang sakit dan waktu kerja yang panjang adalah antara cabaran dihadapi. Sesetengah orang mungkin mengagungkan doktor haiwan, manakala ada yang menganggap mereka sebagai "pencuri, penipu yang hanya mengaut untung".

"Kadang-kalanya hasil rawatan... sama ada di luar jangkaan atau tidak ideal, atau tidak seperti yang diinginkan oleh orang yang dikaitkan dengan haiwan itu," katanya.

Pada saat-saat seperti itu, sudah menjadi "biasa" bagi orang ramai untuk menyuarakan rungutan dan melepaskan geram mereka di media sosial.

"Kadang-kala orang tidak faham bahawa kami melakukan yang terbaik dan terdaya, namun terdapat batasan dalam perubatan moden," katanya.

Melakukan eutanasia ke atas haiwan tegas beliau tidak pernah mudah - walaupun ia mungkin langkah "ihsan" yang boleh menamatkan penderitaan apabila tiada jalan lain.

“Tidak kira berapa kali anda terpaksa membuat keputusan ini, ia tetap sukar. Ia masih akan menjejas jiwa anda," luah doktor itu.

"IBARAT HAIWAN PELIHARAAN SENDIRI"

Dr Ooi biasanya masuk kerja dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Pada waktu paling sibuk, beliau pernah merawat sehingga 15 haiwan sehari. Kadang-kala apabila sampai di klinik untuk mula bekerja, mungkin ada haiwan dalam keadaan kritikal yang sedang menanti.

Selain merawat haiwan yang dibawa ke klinik, Dr Ooi juga membuat pemeriksaan ke atas haiwan-haiwan di pusat tumpangan itu untuk memastikan tiada yang hidapi jangkitan seperti selesema atau kulat.

Meskipun tugasnya berat, Dr Ooi menganggap kerjanya merawat haiwan dalam masyarakat sebagai "sangat memuaskan" dan satu penghormatan untuk membantu haiwan-haiwan itu, dengan sokongan orang ramai.

"Saya lakukan yang terbaik untuk merawat setiap haiwan, seperti ia haiwan peliharaan saya sendiri," katanya. "Sama ada ia haiwan peliharaan saya sendiri ataupun tidak... Kasih saya terhadapnya tidak berbeza." 

Sumber : CNA/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan