Skip to main content

Singapura

Ibadah korban SalamSG dapat diselesaikan pada hari Tasyrik meski rumah sembelih di Australia ditutup buat sementara waktu

Anggaran Waktu Membaca:

PERTH: Ibadah korban bagi kesemua kira-kira 5,700 kambing biri-biri, anak biri-biri (berusia bawah 12 bulan) dan lembu menerusi SalamSG sudah selesai dijalankan. 

Ia dilakukan di beberapa rumah sembelih haiwan di Perth, Albany dan Melbourne di Australia. 

Tahun ini, lima orang pegawai SalamSG Korban ditugaskan ke tiga lokasi di Australia untuk memantau pelaksanaan ibadah tersebut. 

Antaranya ialah Penasihat SalamSG Korban 2025, Mohd Khalid Lani yang memantau ibadah korban di Perth.

“Sebagai Penasihat SalamSG Korban, saya dapat menyatakan bahawa ketelusan adalah antara keutamaan kami. Korban yang dilaksanakan di Australia telah memenuhi syarat-syarat keagamaan. Wakil-wakil kami dari Salam korban telah berada di ketiga-tiga lokasi rumah sembelih di Melbourne, Perth dan Albany untuk melihat sendiri proses penyembelihan ini,” kata Encik Khalid. 

“Kehadiran mereka memastikan bahawa segala amalan korban dijalankan mengikut garis panduan Islam dan pengesahan halal daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh MUIS. Ini memberikan jaminan bahawa ibadah korban dijalankan secara sah, telus dan teratur,” tambahnya.   

Penasihat SalamSG Korban 2025, Mohd Khalid Lani mengatakan bahawa penghantaran daging korban ke Gaza dijangka dapat dilakukan pada Oktober ini. (Gambar: Izwan Ohtman/BERITA Mediacorp)

Meskipun rumah sembelih ditutup pada hujung minggu dan cuti umum sempena Sambutan Ulang tahun Raja (pada 7-9 Jun di Melbourne), kesemua operasi ibadah korban dapat dilaksanakan sebelum berakhirnya hari-hari Tasyrik iaitu sebelum Asar pada 13 Zulhijjah (10 Jun). 

Jadual penutupan rumah sembelih itu juga menimbulkan kekhuatiran dan keprihatinan dalam kalangan para sohibul korban. 

“Mungkin pada masa akan datang kita perlukan lebih pengesahan daripada rumah sembelih untuk memastikan jadual penyembelihan mereka dan juga tarikh-tarikh yang mungkin berlakunya cuti yang menyebabkan penutupan ataupun operasi terhenti untuk sementara waktu dan juga kepada sohibul korban supaya mereka dapat jangkakan bila selesainya proses penyembelihan dan mungkin akan memberikan satu kepastian tentang proses sepenuhnya bila dijadualkan akan selesai,” jelas Encik Khalid. 

Buat pertama kali juga, pihak media dipelawa untuk menyaksikan sendiri dan membuat liputan langsung dari Perth, Australia. 

Di Perth, kira-kira 2,800 kambing biri-biri diuruskan pihak penyedia khidmat korban, A2A Global. 

Ia merupakan antara tiga penyedia khidmat korban yang menguruskan ibadah korban oleh SalamSG Korban tahun ini, selain Hezom International (di Melbourne) dan 7 Sails Trading (di Melbourne dan Albany).  

PASTIKAN SETIAP PROSES PATUHI SYARAT HALAL, KEBAJIKAN HAIWAN, KEBERSIHAN MAKANAN

Ibadah korban di Perth dilaksanakan di Rumah Sembelih Hillside Meat Processors pada 9 dan 10 Jun 2025.

Rumah sembelih yang terletak di Narrogin di Australia Barat itu mempunyai keupayaan untuk memproses puluhan ribu ekor kambing semasa Aidiladha bagi ibadah korban.

Setiap hari, kambing-kambing akan dibawa secara langsung dari ladang ternakan yang terletak berhampiran. 

Sistem nombor siri bagi setiap ekor kambing juga dilaksanakan untuk membolehkan pihak pengendali mengenal pasti tarikh penyembelihan, ladang ternakan dan lokasi penyembelihan. 

Meskipun rumah sembelih dilaksanakan tutup pada hujung minggu dan cuti umum pada Isnin, ibadah korban dapat diselesaikan sebelum Asar pada 13 Zulhijjah. (Gambar: Izwan Ohtman/BERITA Mediacorp)

Di samping itu, setiap peringkat pemprosesan haiwan korban akan dipantau oleh para pegawai daripada pihak penguasa bagi kebajikan haiwan dan keselamatan makanan. 

“Pada pengamatan saya, proses yang dijalankan di hampir setiap rumah sembelih ini adalah mengikut SOP ataupun peraturan piawaian yang sangat tinggi. Pertama dengan kehadirannya pihak-pihak daripada pensijilan Halal Australia dan juga pihak agrikultur ataupun pihak piawaian haiwan di sini tentang penyembelihan dan ini memberikan sebagai macam keyakinan dan ketelusan tentang prosesnya sendiri di mana kita boleh percayalah semua proses ini dijalankan dalam keadaan yang teratur dan bersih,” kata Encik Khalid.

Rumah sembelih tersebut mendapat pensijilan halal daripada beberapa badan termasuk Penguasa Halal Australia Barat dan Penguasa Pensijilan Halal Australia. 

IBARAT ‘CONVEYOR BELT’ KAMBING

Pada satu-satu masa, terdapat sekitar 20 petugas untuk memproses haiwan korban sebelum disimpan dalam ruang sejuk untuk dibekukan. 

Dengan jumlah petugas sebegitu, ia dapat dilakukan dengan cekap dan teliti tanpa mengabaikan kebersihan – sehingga tiada bau langsung. 

Ini dilakukan dengan memastikan pengaliran darah, kulit serta najis haiwan sentiasa teratur mengikut piawai yang ditetapkan. 

Sebelum disembelih, haiwan korban akan melalui proses pemengsanan bukan invasif kira-kira 4 saat bagi memudahkan pengawalan haiwan. 

Ini juga dapat mempercepatkan proses dengan kira-kira enam ekor kambing boleh disembelih setiap minit. 

Daripada penyembelihan sehinggalah membersihkan kulit dan organ dalaman haiwan, ia mengambil masa sekitar 15 minit sahaja. 

PENGHANTARAN DAGING KE SINGAPURA & GAZA

Selepas itu, daging korban akan disejukkan selama sekitar 24 jam untuk memastikan ia benar-benar beku sebelum dipotong dan dibungkus untuk dihantar ke luar negara. 

Di Singapura, daging-daging itu dijangka akan diagihkan kepada para sohibul korban antara 12 hingga 20 Jun 2025.

Ia juga akan diagihkan kepada para penerima zakat dan golongan memerlukan. 

Tahun ini juga, SalamSG Korban akan turut menghantar sebanyak 13,000 kilogram daging kambing kepada mereka yang terjejas oleh perang di Gaza. 

Daging-daging itu didermakan oleh para sohibul korban SalamSG Korban. 

“Mengikut jadual penghantaran dan proses pengetinan ini mungkin mengambil masa sehingga Oktober atau November dan kemudian kita lihatlah keadaan yang bila selamat untuk dibuatkan penghantaran ini ke kawasan Palestin,” jelas Encik Khalid.

SalamSG Korban dan penyedia-penyedia khidmat akan bekerjasama dengan pihak yang diyakini bagi penghantaran dan pengagihan tersebut. 

Daging-daging itu juga akan diproses dan dimasak terlebih dahulu dengan rempah-ratus atau perisa sebelum dimasukkan ke dalam tin bagi memenuhi cita rasa penduduk Gaza.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita