Ibadah korban bagi 270 kambing di Masjid Petempatan Melayu Sembawang selesai
SINGAPURA: Ibadah korban untuk sekitar 270 kambing selesai dilaksanakan di Masjid Petempatan Melayu Sembawang oleh syarikat Aliyah Rizq Holdings.
Ia merupakan antara masjid yang mengendalikan upacara korban di Singapura tahun ini.
Selepas solat Aidiladha, para sohibul korban mula menanti giliran mereka di Masjid Petempatan Melayu Sembawang
untuk menyaksikan sendiri pelaksanaan upacara korban.
Upacara korban kendalian syarikat Aliyah Rizq Holdings itu bermula sekitar pukul 10.00 pagi.
Tahun ini, ia memperkenalkan satu sistem baharu bagi mempercepatkan lagi proses pendaftaran.
"Dengan proses yang baharu dengan kod QR yang telah disiapkan tadi, kita melancarkan prosesnya daripada penyembelihan hingga ke pembahagian. Dari situ, masanya telah dikurangkan dalam anggaran 10 peratus. Dahulu, kita harus menunggu sekitar satu jam hingga satu jam setengah. Pada masa ini, sekarang kita hanya tunggu dalam 40 hingga 45 minit," kata Pengurus Operasi Korban, Shukor Mohd Sanef.
Meskipun terdapat kegenjotan pada awalnya, ia dapat diselesaikan pihak pengendali.
"Pada hari ini kita ada sedikit kelengahan sebab masa ingin menyesuaikan diri untuk menggunakan aplikasi itu. Tapi Alhamdulillah, sekarang sudah lancar," kata Pemilik Aliyah Rizq, Mohamad Nor Ashraf Abu Bakar.
Para sohibul korban dipanggil satu persatu bagi mengambil daging korban mereka.
Bagi mereka, pengalaman untuk menyaksikan sendiri korban kambing itu menjadi antara keistimewaan upacara tersebut.
"Saya rasa saya macam nak tengoklah cara-cara penyembelihan yang dilakukan di Singapura sebab sekarang memang tak banyak masjid dan Masjid Petempatan salah satu masjid yang mengadakan korban. Jadi yang mengorban ini ibu saya. Dia punya nama. Saya bawa dia dan dia memang nak tengok. Kemudian yang tukang sembelih pun cucu dia. Alhamdulillah. Dan ini, anak lelaki saya yang sembelihkan tadi. Semua berjalan dengan lancar," kata Cik Rosnah Abu, salah seorang Sohibul Korban.
"(Ini) pertama kali untuk (saya) membuat ibadah korban. Jadi saya rasa amat bahagia dapat membuatnya di Singapura sebab pada tiga, empat tahun lepas ada COVID. Jadi ini kali pertama untuk saya buat korban ini. Satu ekor kambing ini untuk kawan saya yang susah dan yang memerlukan, dengan keluarga, nenek dan mak saya, semua," kata Encik Salimin Sanwan, Seorang lagi Sohibul Korban.
Menurut Aliyah Rizq, permintaan kali ini amat menggalakkan dengan lonjakan daripada 850 ekor kambing tahun lalu kepada 1,050 kambing yang ditempah tahun ini.
Ia membekalkan kambing-kambing itu bagi ibadah korban di empat masjid serta Pertapis dan Muhammadiyah.
"Kita menjemput lebih banyak sukarelawan sebab kita ingin elakkan 'human fatigue'. Apabila seseorang itu penat, nanti dia tidak ada tenaga untuk potong daging, dan mengangkat kambing semuakan? Jadi kita gunakan sistem syif, dari syif pertama, kedua dan kita tambahkan sukarelawan, ujar Encik Ashraf.
Secara keseluruhan, ia dapat menarik sekitar 600 orang sukarelawan berbanding 400 pada tahun lalu.
Anggota Parlimen GRC Sembawang, Menteri Ong Ye Kung dan Mariam Jaafar, turut hadir untuk beramah mesra dengan para sukarelawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.