Skip to main content

Singapura

Ibadah haji tahun ini 'nyaman sekali', kata seorang jemaah. Mengapa? Ini sebabnya...

Buat dua tahun berturut-turut, ibadah haji dihadkan kepada hanya warga dan penduduk tetap Arab Saudi di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

ARAB SAUDI: Buat dua tahun berturut-turut, ibadah haji dihadkan kepada hanya warga dan penduduk tetap Arab Saudi di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Namun dengan kurangnya jumlah jemaah haji kepada hanya 60,000 jemaah tahun ini, mutu dan kedudukan khemah para jemaah haji di Mina turut dapat dipastikan yang terbaik.

BERITAmediacorp tinjau antara ciri-ciri kemudahan perkhemahan di Mina yang mungkin menyebabkan pakej haji kali ini mencapai harga minimum S$5,000 untuk kos penginapan, makanan dan pengangkutan bagi tempoh lima hari rukun-rukun haji dijalankan.

Related article image

Kalau sebelum pandemik perkhemahan para jemaah boleh sejauh selepas terowong Muaissim, tahun ini dengan jumlah jemaah yang terhad, hanya perkhemahan yang berada dekat dengan kompleks melontar jamrah di Mina yang digunakan untuk menampung 60,000 jemaah haji.

Ini bermakna perjalanan dari penginapan para jemaah haji ke jamrah hanyalah kurang satu kilometer (km) berbanding lebih 5km dari kawasan terowong Muaissim, ketika jemaah haji mencapai lebih dua juta orang pada 2019.

"Alhamdulilah nyaman sekali, dekat sekali dengan jamrah. Saya rasa sangat gembira sekali," ujar Ustaz Hanafi, seorang penduduk Makkah yang merupakan antara jemaah haji tahun ini.

Ini bermakna para jemaah kali ini rata-rata mengambil masa kurang 20 minit untuk sampai ke tempat melontar.

Selain dekatnya kompleks jamrah, kemudahan yang tersedia di kem-kem jemaah haji kali ini setara dengan pakej VIP yang ditawarkan dalam musim-musim haji sebelumnya.

Maka tidak hairanlah juga, jenis makanan yang disediakan juga lebih mewah daripada pakej-pakej haji biasa. Ini mungkin tetap menarik 558,000 pemohon haji kali ini.

"Yang datang bersama saya ada semuanya sepuluh orang dari Riyadh. Saya pernah haji sebelum ini tetapi ini haji badal," kata Encik Muhammad Abdu, seorang mahasiswa dai Riyadh yang berpeluang menunaikan haji tahun ini.

Dari segi pengangkutan pula, semua bas yang disediakan juga kelihatan baru-baru belaka.

Namun untuk menjaga jarak, setiap dua tempat duduk dalam bas hanya boleh menempatkan seorang saja jemaah, lantas membawa sejumlah 20 jemaah untuk satu bas.

Akibat protokol kesihatan tinggi yang perlu dipastikan, tidak hairanlah harga pakej haji tahun ini boleh mencapai sehingga 20,000 Riyal Saudi atau sekitar S$7,000.

Selepas rukun melontar ketiga-tiga jamrah pada Khamis (22 Jul), ibadah haji 2021 secara rasmi selesai. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita