Skip to main content

Singapura

'Ia sangat hodoh': Pembeli flat Tengah kurang senang dengan rupa sistem penyejukan berpusat

Anggaran Waktu Membaca:
'Ia sangat hodoh': Pembeli flat Tengah kurang senang dengan rupa sistem penyejukan berpusat

Gambar: SP Group

Diterbitkan : 21 Jun 2023 10:57AM Dikemas Kini : 21 Jun 2023 10:58AM
SINGAPURA: Para pembeli flat Tengah belum lagi mengambil kunci mereka, tetapi segelintir daripada mereka sudah menyuarakan kekecewaan tentang rupa sistem penyejukan berpusat yang akan dipelopori di kediaman mereka.

Pemilik rumah unit Bina Ikut Tempahan (BTO) baru di barat Singapura itu menyuarakan kemarahan mereka di kumpulan sembang Telegram mengenai sistem hawa dingin alternatif yang diuar-uarkan sebagai lebih mampan dan berkesan berbanding hawa dingin yang baisa saja.

Daripada enam pemilik rumah yang ditemu bual Mediacorp, kebanyakan daripada mereka meluahkan rasa kurang puas hati selepas melihat gambar sistem penyejukan itu dalam sebuah flat yang kelihatan belum siap, yang tersebar online.

Menurut SP Group, gambar-gambar tersebut tidak mendapat kebenaran dan tidak semestinya menunjukkan produk yang sudah siap. SP Group bertanggungjawab menguruskan pemohonan, pemasangan, pengurusan serta penyenggaraan sistem penyejukan itu.

Beberapa pemilik rumah menyuarakan kekecewaan mereka terhadap aspek lain proses pemasangan, seperti susunan unit penyejukan individu itu, atau dikenali sebagai unit gegelung kipas.

Tengah, yang terletak di tengah-tengah Choa Chu Kang, Jurong West dan Bukit Batok, diiklankan sebagai bandar bijak dan mampan pertama dan terbesar di Singapura. Merangkumi lima daerah, bandar tersebut dijangka menempatkan 42,000 rumah apabila ia dibangunkan sepenuhnya, menurut laporan media pada 2016 apabila pelan induk estet tersebut diumumkan.

Kumpulan pertama penduduk dijangka boleh mengambil kunci mereka seawal suku ketiga tahun ini.

Sistem penyejukan berpusat itu adalah ciri utama dalam usaha mesra alam bandar Tengah itu.

Meskipun konsep tersebut digunakan dalam sekitaran komersial, ia masih baru bagi perumahan awam dan tidak diwajibkan bagi para pemilik rumah. Mereka yang cenderung kepada unit hawa dingin biasa boleh sebaliknya, memasangnya.
 
Related article image


RUPA SESALUR "HODOH"

Para penduduk yang ditemu bual Mediacorp beberapa minggu lalu sudah melihat gambar-gambar yang tersebar yang menunjukkan sesalur, yang menyembunyikan paip sistem penyejukan itu, dalam flat belum siap dan menyifatkan rupanya sebagai "hodoh".


Contoh sesalur yang ditunjukkan kepada mereka oleh sumber rasmi tidak mempengaruhi pendapat mereka sama sekali.


Seorang pemilik rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Lim berkata: "Saya membatalkan (sistem penyejukan berpusat itu) kerana saya sedar bahawa ia kelihatan hodoh." Beliau menambah bahawa sesalur tersebut kelihatan seganda saiz sesalur hawa dingin biasa.
 

Related article image


Pembeli flat Tengah yang mendaftar awal untuk memasang sistem penyejukan tersebut membayar 10 sehingga 20 peratus lebih rendah berbanding pemilik rumah yang mendaftar untuk memasang sistem demikian selepas mengambil kunci mereka.


Sekitar 10,400 isi rumah sudah mendaftar untuk memasang sistem tersebut setakat 7 Jun, menurut Naib Presiden SP Group bagi huraian tenaga mampan Cynthia Wong.


Ditanya jumlah pemohon yang membatalkan permohonan, Cik Wong menjelaskan bahawa kurang 0.5 peratus daripada mereka membatalkan permohonan untuk memasang sistem tersebut selepas tempoh bertenang disebabkan pelbagai sebab seperti rancangan ubah elok akan menjejas sesalur tersebut. Perangkaan tersebut tidak termasuk mereka yang membatalkan flat mereka.


Segelintir pemilik rumah yang tidak berpuas hati dengan sesalur yang dipasang, bagaimanapun memutuskan untuk tidak membatalkannya disebabkan denda berat yang perlu ditanggung mereka.


HDB SEDIA MAKLUM MENGENAI MAKLUM BALAS

Dalam respons kepada pertanyaan, HDB menyatakan bahawa ia sedia maklum mengenai maklum balas daripada "segelintir pembeli rumah" mengenai penyusunan semula unit penyejukan serta rupa sesalur itu.

Ia menambah bahawa SP Group sedang berhubungan dengan penduduk tersebut untuk menangani kebimbangan mereka.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita