Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hwang Yu-Ning dilantik CEO NParks; Adele Tan Shiao Ling galas tugas ketua perancang URA

Anggaran Waktu Membaca:
Hwang Yu-Ning dilantik CEO NParks; Adele Tan Shiao Ling galas tugas ketua perancang URA

Cik Hwang Yu Ning (kiri) dan Cik Adele Tan Shiao Ling (kanan). (Gambar: URA, MND dan NParks)

SINGAPURA: Cik Hwang Yu-Ning, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan ketua perancang Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) akan dilantik sebagai CEO Lembaga Taman Negara (NParks) bermula 1 Jun.

Mengambil alih tugasnya di URA ialah Cik Adele Tan Shiao Ling, yang akan mengekalkan peranannya sebagai ketua pegawai perancangan infrastruktur Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Encik Kenneth Er, CEO NParks sejak 2014, akan melepaskan peranannya di NParks untuk menyandang jawatan Timbalan Setiausaha (Perancangan) MND, mulai 1 Jun.

Cik Hwang telah berkhidmat sebagai perancang bandar dan penggubal dasar dalam Perkhidmatan Awam Singapura selama hampir 30 tahun termasuk tugasnya dalam kumpulan strategi di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Demikian diumumkan oleh NParks dan MND dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (11 Mei).

"Cik Hwang memainkan peranan penting dalam menerajui pembangunan dan pelaksanaan strategi perancangan merata Singapura," jelasnya, sambil menambah bahawa beliau juga memimpin URA dalam Semakan Pelan Jangka Panjang (LTPR) yang baru siap.

Latihan peringkat nasional itu menggariskan penggunaan tanah yang strategik dan keperluan infrastruktur Singapura bagi tempoh 50 tahun akan datang dan seterusnya.

Di URA, Cik Hwang menerajui usaha dan program pemuliharaan URA bagi "mempertingkatkan integrasi warisan binaan", dengan salah satu bangunan yang baru dipulihara iaitu Golden Mile Complex.

Beliau juga terlibat dalam melakar respons Singapura terhadap COVID-19, bekerja rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mengenal pasti tapak-tapak bagi menempatkan pekerja hijrahan.

Cik Tan sebelum ini adalah pengarah kumpulan perancangan strategik URA dan memainkan peranan penting dalam LTPR.

"Sepanjang 25 tahun dalam Perkhidmatan Awam, beliau menerajui pelbagai tugas perancangan dan penggubalan dasar yang penting, dari memastikan pelan penggunaan tanah menggabungkan pertimbangan alam sekitar dengan berkesan, merancang bagi penduduk yang semakin menua sehingga membangunkan pelan induk bagi ruang bawah tanah Singapura," menurut kenyataan bersama itu.

Sepanjang tempoh sembilan tahun menggalas tanggungjawab sebagai CEO NParks, Encik Er memainkan peranan penting dalam konseptualisasi visi Bandar Dalam Alam Semula Jadi dan memacu penubuhan Rangkaian Taman Semula Jadi bagi menampan hutan simpanan Singapura daripada pembangunan bandar di sekelilingnya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan