Skip to main content

Singapura

Hwa Chong Institution & SATS semak semula resipi, sajian hidangan bento susuli maklum balas pelajar

Hwa Chong Institution sedang bekerjasama dengan syarikat katering makanan SATS untuk menyemak semula resipi dan sajian hidangan selepas menerima maklum balas mengenai model kantin hibrid baharunya, kata pengetua sekolah itu, Lee Peck Ping pada Khamis (15 Jan).
Anggaran Waktu Membaca:
Hwa Chong Institution & SATS semak semula resipi, sajian hidangan bento susuli maklum balas pelajar
Hidangan makanan bento yang disediakan di Hwa Chong Institution pada 15 Januari 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Diterbitkan : 15 Jan 2026 07:57PM
  • Hwa Chong Institution bekerjasama dengan SATS untuk memperbaiki resipi dan sajian kantin selepas menerima maklum balas negatif mengenai model kantin hibrid baharu.
  • Kontroversi tercetus apabila gambar hidangan bento tular, menyebabkan pelajar dan pengguna media sosial mempersoalkan mutu makanan yang disediakan.
  • Pihak sekolah menafikan pelajar dihukum kerana bersuara, menjelaskan modul disiplin diturunkan sebelum isu kantin dan akses kini dipulihkan.
  • Penambahbaikan termasuk prapesanan makanan, pembentukan jawatankuasa semakan, serta penglibatan pelajar, ibu bapa dan kakitangan dalam sesi dialog dan percubaan makanan sejak 2024.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Hwa Chong Institution sedang bekerjasama dengan syarikat katering makanan SATS untuk menyemak semula resipi dan sajian hidangan selepas menerima maklum balas mengenai model kantin hibrid baharunya, kata pengetua sekolah itu, Lee Peck Ping pada Khamis (15 Jan).

Encik Lee menambah sekolah itu akan memperkenalkan pilihan prapesanan secara langsung di gerai mulai semester depan dan sedang membangunkan sebuah dapur di kampus untuk menyediakan hidangan bento.

“Kami mahu menangani dan mengenal pasti beberapa isu sebelum ini, serta bekerjasama secara kolaboratif untuk memperbaiki kantin kami,” kata beliau, sambil menambah bahawa sekolah tersebut sedang “memperhalusi menu tersebut”.

Encik Lee berkata demikian kepada para wartawan di sekolah itu, yang menjemput wakil media untuk melawat kantin hibrid baharunya dan mencuba beberapa hidangan bento.

Kontroversi berhubung model kantin baharu sekolah itu tercetus minggu lalu, apabila gambar hidangan bento yang disediakan oleh SATS tular di media sosial.

Gambar-gambar tersebut dikecam, dengan para pengguna online mempersoalkan sama ada makanan itu memenuhi piawaian pemakanan dan mutu yang mencukupi.

Apabila Mediacorp menemu bual para pelajar di luar sekolah itu pada 7 Januari lalu, mereka mengesahkan gambar itu memberikan gambaran tepat mengenai makanan yang dihidangkan – sekaligus bercanggahan dengan penjelasan daripada pihak sekolah bahawa gambar berkenaan tidak mencerminkan standard sebenar makanan tersebut.

REKOD DISIPLIN

Selepas laporan media sebelum ini, satu petikan skrin mesej yang dihantar oleh seorang guru mula tersebar di media sosial.

Mesej itu memberi amaran kepada para pelajar supaya “tidak terlibat dalam kontroversi makanan kantin”, atau berdepan kesan akibatnya.

Menurut Hwa Chong, guru tersebut menghantar mesej itu dalam kumpulan sembang kelasnya “atas keprihatinan” terhadap kesejahteraan para pelajarnya.

Khabar angin turut tersebar di media sosial bahawa beberapa pelajar diberikan mata demerit kerana bersuara mengenai mutu makanan yang dihidangkan di sekolah.

Pada 8 Januari lalu, sekolah itu mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak tegur atau menghukum para pelajar yang bersuara mengenai program kantin baharunya.

Tidak lama kemudian, tersebar pula dakwaan bahawa para pelajar tidak dapat mengakses rekod disiplin mereka menerusi portal digital sekolah.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis, Hwa Chong Institution menyatakan ia sedia maklum tentang dakwaan online yang mengatakan bahawa modul disiplin sekolah itu diturunkan susulan dakwaan di mana para pelajar menerima mata demerit kerana bersuara mengenai program tersebut.

“Ini tidak benar, kerana modul disiplin itu telah diturunkan pada Oktober 2025, sebelum perbincangan terkini mengenai kantin kami,” menurut sekolah itu.

“Penutupan sementara itu merupakan sebahagian daripada semakan berterusan terhadap sistem demerit sekolah, dengan tujuan menjadikannya lebih bersifat membangun.

“Modul itu dikeluarkan untuk memudahkan kemas kini sistem dan semakan dalaman, dan ia tidak bertujuan untuk menyembunyikan maklumat atau menyekat akses.”

Akses kepada rekod disiplin kini sudah dipulihkan.

Sekolah itu menegaskan sekali lagi pada Khamis bahawa tiada pelajar yang dihukum kerana bercakap kepada media dan tiada mata demerit dikeluarkan berhubung isu program makanan kantin. Tiada juga tindakan disiplin yang diambil.

PENAMBAHBAIKAN HIDANGAN

Apabila Mediacorp mengunjungi sekolah itu pada petang Khamis, terdapat barisan panjang di tiga gerai makanan – gril barat, yong tau foo dan mi – pada waktu makan tengah hari.

Sebilangan besar pelajar turut kelihatan menikmati hidangan daripada kotak bento berwarna biru kehijauan, yang boleh ditebus dengan hanya menyentuh fob.

Sebuah meja disediakan di kantin dengan contoh hidangan bagi menunjukkan pilihan makanan yang ditawarkan pada hari tersebut.

Terdapat lapan item bento Halal untuk dipilih, termasuk dua pilihan "vegetarian".

Para pelajar perlu membuat prapesanan dua hari lebih awal.

Wakil media dijemput untuk mencuba makanan tersebut.

Mediacorp mencuba nasi bijirin campuran dengan ayam masam manis dan sayur bok choy.

Hidangan itu dihidangkan panas – ayamnya lembut, namun sayur-sayurannya rasa sedikit masin.

Dalam temu bual yang diatur oleh pihak sekolah bersama lima pelajar Menengah Empat – kesemuanya ditemu bual tanpa didedahkan nama mereka – sebahagian daripada mereka berkongsi terdapat penambahbaikan pada mutu makanan di kantin sejak pelaksanaan inisiatif baharu itu.

“Adanya peningkatan yang agak ketara berbanding hari-hari sebelum ini… dari segi saiz hidangan, rasa, serta kesegaran makanan,” kata seorang pelajar, sambil menambah bahawa beliau menganggapnya satu “langkah yang baik” ke arah menjadikan hidangan SATS lebih popular.

Apabila ditanya tentang bilangan rakan sebaya yang memilih hidangan bento, seorang pelajar berkata jumlahnya hanya“separuh-separuh”.

Apabila mereka mempunyai waktu rehat yang lebih lama, mereka memilih untuk memberi makanan langsung daripada gerai makanan.

Namun, pada hari-hari di mana waktu rehat makan tengah hari hanya selama 30 minit, mereka mungkin akan memilih hidangan SATS untuk mendapatkan makanan dengan lebih cepat, katanya.

Seorang guru, Chan Hwee Sing, berkata sebelum ini beliau tidak mempunyai banyak pilihan makanan, memandangkan terdapat hanya satu gerai makanan halal di kantin.

“Jadi bagi saya, ini (kotak bento) adalah pilihan yang sangat baik. Saya mempunyai pelbagai jenis makanan untuk dipilih, dan saya boleh menempah makanan seminggu lebih awal, mengikut jadual saya,” kata beliau.

HCI menyatakan model kantin hibridnya bertujuan menangani cabaran operasi yang sudah lama wujud.

Ini termasuk barisan panjang yang berterusan, kemampanan model gerai tradisional yang semakin merosot, serta kesukaran untuk mengekalkan pengusaha gerai akibat tekanan tenaga kerja dan kos.

Semasa membuat peralihan ke model kantin baharu, sekolah itu menyatakan ia memberi pilihan kepada para pengusaha gerai untuk terus beroperasi sebagai pemilik persendirian di gerai makanan atau menyertai SATS di bawah satu aturan pekerjaan.

Lima pengusaha memilih untuk terus mengendalikan gerai, tiga memilih untuk bekerja di bawah SATS, manakala yang lain sama ada bersara atau berpindah ke sekolah lain.

Sekolah itu menyatakan ia melibatkan lebih 2,600 pelajar dalam sesi dialog, dan menjalankan sesi mencuba makanan bersama kumpulan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sejak 2024.

Ia menambah bahawa sebuah jawatankuasa semakan kantin yang terdiri daripada kakitangan, pelajar, ibu bapa dan wakil SATS sedang dibentuk.

Pengetua sekolah itu, Encik Lee berkata beliau mengalu-alukan para ibu bapa dan pelajar supaya menghubungi kakitangan untuk berkongsi pandangan dan mengemukakan saranan.

“Jadi, bersama-sama, saya rasa kami mahu menjayakan perkara ini.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita