Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hutan Kranji tersilap dibersihkan; 2 pegawai JTC antara 3 didakwa di mahkamah

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Apr 2022 06:34PM Dikemas Kini : 22 Apr 2022 09:09PM

SINGAPURA: Dua pegawai JTC Corporation adalah antara tiga orang yang didakwa pada Jumaat (22 Apr) kerana menyebabkan pokok-pokok ditebang secara haram di hutan di Kranji. 

Chong Puih Chih, 46 tahun, dan Neo Jek Lin, 44 tahun, dikenakan tujuh tuduhan di bawah Akta Taman dan Pokok. Neo juga dikenakan tuduhan tambahan di bawah Akta Hidupan Liar. 

Chong merupakan timbalan pengarah di JTC, manakala Neo adalah pegawai bawahan Chong dan pengurus kanan projek itu ketika kesalahan itu dilakukan  pada 2020 dan 2021. 

Individu ketiga yang didakwa ialah Tan See Chee, 63 tahun, pegawai superintendan kontrak di syarikat CPG Consultants ketika itu. 

Individu keempat, Jimmy Liu Wing Tim, 62 tahun, dijangka didakwa pada satu tarikh kemudian kerana tidak sihat untuk menghadiri mahkamah pada Jumaat (22 Apr). Dia merupakan wakil pegawai penyelia di syarikat CPG Consultants. 

Chong, Neo dan Tan dituduh bersubahat sesama mereka dan dengan Liu untuk menyebabkan Huationg Contractor  menebang pokok secara haram tanpa kelulusan  Pesuruhjaya Taman dan Rekreasi. 

Sekitar sebelum 13 Januari 2021, Huationg Contractor didakwa menebang pokok di beberapa tapak di Taman Inovasi Agro-Makanan Kranji. Tempat kejadian dikenal pasti sebagai Mukim No 11 Kranji Close/Kranji Road. 

Dua daripada tuduhan Chong melibatkan memalsukan dokumen untuk mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Taman dan Rekreasi. 

Pada 19 Nov 2020, dia didakwa menghantar emel untuk mendapatkan kelulusan Lembaga Taman Negara (NParks) bagi memulakan kerja membersihkan tapak 1 Taman Inovasi Agro-Makanan Kranji.

Pada 12 Jan 2021, dia didakwa membuat permohonan kepada NParks untuk memulakan kerja di tapak 2,3 dan jalan raya 1 taman tersebut sedang pihak berkuasa masih melakukan kajian dasar kepelbagaian bio bagi tanah itu.

Menurut kertas dakwaan, permohonan yang dibuat itu adalah palsu kerana kerja-kerja membersihkan tapak kawasan itu sudah dimulakan sebelum tarikh disebutkan.

Neo berdepan dengan tuduhan serupa, dengan tuduhan tambahan kerana menghalang Ketua Pengarah Urusan Hidupan  Liar daripada menggunakan kuasanya untuk menghentikan kerja-kerja pembersihan di Taman Inovasi Agro-Makanan Kranji. 

Neo dituduh memberi arahan kepada Liu untuk menghantar emel kepada NParks yang mengandungi jadual kerja pembersihan di tapak tersebut pada 25 September 2020 apabila NParks meminta maklumat tersebut. 

Emel kepada NParks itu didakwa menyatakan bahawa kerja pembersihan hanya dilakukan pada plot 10-1 di tapak tersebut. 

Namun, Neo dikatakan tahu  bahawa kerja pembersihan sudah bermula di plot-plot lain di tapak tersebut "tanpa sebarang langkah berhubung hidupan liar dilaksanakan," menurut dokumen mahkamah. 

Mereka yang didapati menebang pokok dengan ukuran keliling melebihi 1 meter yang tumbuh di tapak kosong tanpa kebenaran Pesuruhjaya Taman dan Rekreasi boleh dikenakan denda sehingga S$50,000. 

Hukuman memalsukan dokumen untuk mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Taman dan Rekreasi adalah denda sehingga S$30,000. 

Mereka yang sabit kesalahan menghalang Ketua Pengarah Urusan Hidupan Liar daripada menggunakan kuasanya tanpa sebab munasabah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan