Skip to main content

Singapura

Hutan Clementi dikekalkan sebagai tapak perumahan; tiada 'keperluan segera' untuk bangunkannya

Hutan Clementi (Clementi Forest), yang baru-baru ini hangat dibincangkan setelah satu rakaman dron menjadi tular, akan tetap disenaraikan untuk kegunaan kediaman, menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Anggaran Waktu Membaca:
Hutan Clementi dikekalkan sebagai tapak perumahan; tiada 'keperluan segera' untuk bangunkannya

Hutan Clementi. (Gambar: Brice Li/Facebook)

Diterbitkan : 05 Jan 2021 11:34AM Dikemas Kini : 05 Jan 2021 11:38AM

SINGAPURA: Hutan Clementi (Clementi Forest), yang baru-baru ini hangat dibincangkan setelah satu rakaman dron menjadi tular, akan tetap disenaraikan untuk kegunaan kediaman, menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Gambar-gambar ruang hijau itu menarik perhatian para pengguna online pada Oktober tahun lalu dan satu petisyen dilancarkan untuk menggesa pihak berkuasa supaya memulihara kawasan tersebut, yang diperuntukkan bagi pembangunan kediaman.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Encik Dennis Tan, Anggota Parlimen Parti Pekerja pada Isnin (4 Jan), Encik Lee berkata: "Tapak yang lazimnya dikenali sebagai 'Clementi Forest' (Hutan Clementi) sudah disenaraikan sebagai 'Kediaman (Tertakluk kepada Perancangan Terperinci)' 23 tahun lalu sejak Pelan Induk 1998 dan dilindungi untuk kegunaan kediaman.

"Tiada keperluan segera untuk membangunkan tapak ini bagi tujuan perumahan. Kami, bagaimanapun, akan mengekalkan tapak itu, sambil memberikan pilihan kepada generasi seterusnya untuk memutuskan sama ada untuk menggunakannya bagi tujuan perumahan, sekiranya keperluan itu timbul."

Encik Tan bertanya sama ada status tapak itu akan disemak semula.

Hutan itu pada mulanya adalah sebuah ladang getah yang terbiar begitu saja. Orang ramai yang menandatangani petisyen itu mahu tapak tersebut sebagai sebuah taman alam semula jadi bagi menyokong idea yang diusulkan oleh Persatuan Alam Semula Jadi Singapura (NSS). 

NSS sebelum ini menggambarkan status Hutan Clementi sebagai habitat hidupan liar yang kedua terbesar di negara ini dan menyifatkannya sebagai "hutan yang paling penting dan terbesar" bersebelahan dengan Koridor Kereta Api dari Kranji ke Tanjong Pagar.

Petisyen online, yang diberi nama Lindungi Hutan Clementi dari Pembandaran (Protect Clementi Forest from Urbanisation), sudah mendapat lebih 12,000 tandatangan sejak ia dilancarkan pada 26 Okt.

Dalam responsnya kepada pertanyaan media, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyatakan pada lewat November bahawa tiada rancangan segera untuk membangunkan tapak tersebut meskipun ia diperuntukkan bagi keperluan perumahan - dengan peruntukan itu ditekankan sekali lagi oleh Encik Lee pada Isnin.

"Dengan Singapura yang ramai penduduk dan ketandusan tanah, kami akan terus mengimbangkan keperluan pembangunan dan pemuliharaan," kata Encik Lee.

"Sebagai sebahagian daripada proses perancangan jangka panjang, kami memperuntukkan tanah lebih awal untuk memenuhi aspirasi generasi seterusnya.

"Dengan berbuat demikian, kami akan berusaha untuk mengimbangkan permintaan dengan keperluan pelbagai kegunaan tanah, termasuk perumahan, ruang mesra alam, infrastruktur dan tempat kerja."

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita