Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hutan bakau dengan sekitar 8,000 pokok akan dibuka di Pulau Ubin pada 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Hutan bakau dengan sekitar 8,000 pokok akan dibuka di Pulau Ubin pada 2026

(Gambar: NParks)

Diterbitkan : 29 Oct 2022 10:03PM Dikemas Kini : 30 Oct 2022 08:33AM

SINGAPURA: Memanfaatkan hutan bakau untuk mengatasi perubahan iklim dan melindungi pantai Singapura. 

Satu projek pemulihan baru berharap untuk menanam hampir 9000 pokok bakau di Pulau Ubin sepanjang tempoh beberapa tahun akan datang. 

Ini termasuk mengubah kolam akuakultur untuk dijadikan tempat tumbuhan bakau. 

Pokok bakau hidup subur di kawasan yang berlumpur, berair masin, beriklim tropika dan subtropika,  yang kebanyakannya boleh didapati di Pulau Ubin.

Hutan paya bakau pula kebiasaannya terdapat di kawasan pesisiran pantai, muara sungai dan kawasan pengaruh air pasang surut.

Insiatif baru itu menyasarkan untuk membangunkan hutan bakau sebesar hampir lima setengah padang bola di Pulau Ubin di bawah satu projek antara bank OCBC dan Lembaga Taman Negara (NParks). 

"Apa yang kami ingin lakukan ialah  menggunakan semua kawasan dikategorikan sebagai hutan paya bakau iaitu kolam udang yang tidak lagi digunakan dan menjadikannya tempat menanam pokok bakau supaya ekosistem hutan paya bakau berkembang semula," kata Pengarah Pemuliharaan di NParks, Encik Lim Liang Jim. 

Pokok bakau di Pulau Ubin bertindak sebagai pengukuh semula jadi bagi mengurangkan kelajuan ombak dan angin yang sampai ke kawasan pinggir pantai atau menghampiri pantai. Akarnya pula berfungsi memerangkap tanah untuk memberi kestabilan kepada kawasan pinggir pantai daripada bencana alam.
 
Pokok bakau juga berperanan penting dalam perkembangan hidup pelbagai jenis ketam dan udang yang bertelur dan membesar sebelum berpindah ke laut.

Pasukan NParks menggunakan kaedah pemulihan baru yang melibatkan pembinaan cerun untuk membantu bakau tumbuh secara semula jadi. 

"Yang paling penting adalah tahap kecerunan tapak itu kerana ia mengawal keadaan banjir di tempat tersebut dan pokok bakau hanya boleh bertahan dalam keadaan banjir yang rendah. 

"Tetapi terdapat had bagi apa yang ia boleh lakukan. Justeru, sekiranya kecerunannya betul, kami boleh membina persekitaran yang baik bagi pokok-pokok bakau," kata Profesor Madya Jabatan Geografi di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Daniel Friess. 

Di pesisir pantai, 1,000 anak pokok bakau akan ditanam sepanjang enam tahun akan datang. 

Secara keseluruhan, tambahan di Pulau Ubin boleh menyerap sehingga 30 juta kilogram karbon dioksida. 

Jika projek itu terbukti berjaya, NParks akan melaksanakan projek serupa di merata Singapura dan negara-negara tropika berdekatan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan