Skip to main content

Singapura

Huraian untuk kertas matematik PSLE, termasuk algebra, akan diberi kredit penuh jika konsep digunakan dengan betul

Anggaran Waktu Membaca:
Huraian untuk kertas matematik PSLE, termasuk algebra, akan diberi kredit penuh jika konsep digunakan dengan betul

(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

SINGAPURA: Kredit penuh akan diberikan kepada apa saja huraian yang digunakan dalam kertas matematik Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) sekiranya ia menunjukkan penggunaan konsep yang betul.

Demikian menurut Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Khamis (8 Dis). 

"Bagi kertas matematik, apa saja huraian yang menunjukkan pemahaman dan penggunaan kemahiran serta konsep matematik yang betul seperti dikehendaki soalan itu, akan diberikan kredit penuh," menurut SEAB, sambil menekankan bahawa ia termasuk menggunakan algebra untuk menjawab soalan. 

Lembaga peperiksaan itu menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai surat diterbitkan dalam forum akhbar Lianhe Zaobao. 

Surat itu yang diterbitkan pada 1 Disember, ditulis oleh sekumpulan ibu bapa pelajar Darjah 6 dari Sekolah Rendah Nan Hua. 

Sebelas ibu bapa itu menyatakan anak mereka lazimnya mendapat markah 95 dan ke atas bagi peperiksaan matematik di sekolah, ataupun Peringkat Pencapaian (AL) 1. 

Namun, untuk kertas matematik PSLE tahun ini, mereka terkejut apabila anak mereka mendapat AL 3, AL 4 atau AL 5. 

"Sekiranya kecuaian seorang anak menyebabkan mereka mendapat markah kurang baik, kami tidak ada apa-apa untuk dikatakan. Namun, apabila hampir sepertiga pelajar dalam kelas mendapat jurang markah yang sama, sukar untuk kami berdiam diri," menurut surat itu. 

Kumpulan ibu bapa tersebut menyatakan mereka sudahpun merayu kepada Kementerian Pendidikan (MOE) dan SEAB menerusi sekolah berkenaan untuk menyemak semula kertas peperiksaan, namun diberitahu bahawa kadar kejayaan rayuan sebelum ini hampir sifar. 

"Pada masa yang sama, kami juga diberitahu bahawa ibu bapa hanya boleh melihat jumlah markah bagi setiap bahagian yang betul bagi kertas peperiksaan, tetapi tidak boleh melihat kertas jawapan kertas peperiksaan," tulis mereka, sambil menambah bahawa tiada cara untuk menentukan sama ada pemarkahan itu disebabkan faktor-faktor lain. 

"Jika SEAB tidak mempedulikan seruan ibu bapa untuk menyemak kertas jawapan dan memilih menolak dengan alasan bahawa sistemnya selalu tepat, operasi tanpa penjelasan sebegini mungkin tidak akan meyakinkan orang ramai." 

SEAB menyatakan ia mempunyai proses-proses yang rapi untuk memastikan kertas PSLE disiapkan mengikut sukatan pelajaran pada "standard sewajarnya". 

Panel penyemak pemeriksaan juga termasuk pakar dan guru berpengalaman  MOE dan SEAB, dan mereka memastikan bahawa terdapat keseimbangan konsisten antara soalan mudah, sederhana dan sukar, menurut lembaga pemeriksaan tersebut lagi. 

Prestasi pada peperiksaan matematik PSLE 2022 serupa dengan tahun 2021 bagi semua AL, tambah SEAB. 

"Terdapat proses rayuan untuk pelajar-pelajar yang merasakan bahawa markah mereka tidak mencerminkan jangkaan kejayaan mereka dalam subjek tersebut.

"Pelajar-pelajar tersebut boleh memfailkan rayuan bagi markah subjek tertentu menerusi sekolah mereka kepada SEAB. Semasa pemeriksaan markah, seorang pemeriksa kanan bebas melakukan pemeriksaan teliti pemarkahan dan menyemak jika markah betul dimasukkan." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita