Skip to main content

Singapura

Huraian digital main peranan penting lindungi keselamatan rakyat S'pura di tengah pandemik COVID-19, kata Masagos

Huraian-huraian digital memainkan peranan yang penting dalam menjaga kesihatan dan keselamatan awam.

Anggaran Waktu Membaca:
Huraian digital main peranan penting lindungi keselamatan rakyat S'pura di tengah pandemik COVID-19, kata Masagos

Aplikasi pengesanan kontak pada telefon bijak. (Gambar: AFP)

SINGAPURA: Huraian-huraian digital memainkan peranan yang penting dalam menjaga kesihatan dan keselamatan awam.

Ini semakin ketara di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia sekarang.

Sebagai contoh, Smart Nation Singapore dan GovTech (Agensi Teknologi Pemerintah Singapura) menghasilkan dua huraian digital - TraceTogether dan SafeEntry - untuk memudahkan dan mempercepatkan proses pengesanan kontak.



HURAIAN DIGITAL KRITIKAL BAGI BENDUNG PENULARAN LANJUT

Ini kritikal, menurut Encik Masagos, bagi mengawal penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat tempatan.

Di Singapura, isu mengenai pengesanan kontak juga menimbulkan keprihatinan apabila para pelajar dan pekerja kembali ke sekolah dan tempat kerja selepas tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19 berakhir pada 1 Jun.

Berkongsi pengalamannya ketika pertama kali menggunakan aplikasi TraceTogether, Encik Masagos turut rasa terkejut dengan begitu ramai orang yang berada di sekelilingnya dalam tempoh yang begitu singkat.

"Inilah sebabnya mengapa ia penting untuk memuat turun dan menggunakan aplikasi tersebut. Dengan TraceTogether, pengesanan kontak dapat dijalankan dengan lebih pantas, dari dua hingga tiga hari kepada kurang daripada sehari kerana ia bukan dilakukan secara manual dan sebarang kelompok jangkitan yang berpotensi menular dapat dikenal pasti dan dicegah daripada terus menular di sini," tulis Encik Masagos.

SEGERA DAKAP NORMA BARU BAGI JAGA KESELAMATAN

"Kita mesti menyesuaikan diri kita dengan norma-norma baru dan menerimanya sebagai sebahagian daripada kehidupan harian kita. Ini supaya kita dapat sama-sama membantu menjaga antara satu sama lain dan memastikan semua orang selamat," kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli dalam catatannya di Facebook pada Khamis (11 Jun).

Dengan semakin banyak syarikat perusahaan dibuka semula dan ramai orang kembali ke tempat kerja dalam Fasa Pertama pelonggaran langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19, Encik Masagos turut mengingatkan orang ramai supaya memuat turun aplikasi TraceTogether dan jangan lupa untuk mendaftar masuk dan keluar menggunakan sistem SafeEntry.



Menyentuh tentang keprihatinan orang ramai mengenai isu privasi, Encik Masagos memberi jaminan bahawa maklumat yang dikumpul tidak akan mendedahkan maklumat peribadi pengguna. Malah, aplikasi itu tidak mengumpul data tentang lokasi pengguna. Semua maklumat yang dikumpul disimpan secara tersulit di dalam telefon bijak pengguna selama 25 hari sahaja dan kemudiannya akan dipadam secara automatik. Selain itu, data-data hanya digunakan untuk pengesanan kontak bagi kes-kes COVID-19 sahaja.

"Jika anda belum memuat turun aplikasi TraceTogether, saya sarankan agar anda segera berbuat demikian," gesa Encik Masagos.

Aplikasi TraceTogether boleh dimuat turun dari Apple App Store dan Google Play Store.

Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita