Hungry Ghost Festival - perayaan 'Hantu Lapar'?
Kenapa orang Cina sambut perayaan Hantu Lapar setiap tahun pada bulan ke-7 mengikut kalendar Lunar Cina - sejarah, asal-usul serta pantang-larang sehingga 26 Ogos ini.
Perayaan 'Hantu Lapar' di Singapura. (Gambar: AP/Wong Maye-E)
BERITAmediacorp: Anda pasti sering dengar tentang Hungry Ghost Festival atau Perayaan 'Hantu Lapar' yang disambut pada bulan ke-7 mengikut kalendar Cina setiap tahun.
Tahun ini, perayaan 'Hantu Lapar' berlansung dari 29 Julai hingga 26 Ogos, dengan 'Hari Hantu' jatuh pada tanggal 12 Ogos!
Namun apakah kepercayaan di sebalik perayaan ini?
PERAYAAN 'HANTU LAPAR'?
Masyarakat Cina percaya pintu alam ghaib akan dibuka dan semua roh-roh orang mati termasuk hantu akan dibebaskan dan berkeliaran di dunia, menurut HoneyKids Asia
dan mereka mencari makanan dan hiburan.
Semasa tempoh perayaan ini, bagi yang hidup, mereka perlu menyediakan sesuatu seperti makanan, wang, keperluan harian dan sebagainya untuk hantu-hantu tersebut.
Perbuatan itu dikatakan bagi menenangkan jiwa roh-roh yang sudah mati dan juga simbol ketaatan anak-anak berbuat bakti kepada nenek moyang mereka.
Menurut laman Visit Singapore, hantu-hantu itu juga boleh menyebabkan gangguan.
Oleh itu, pelbagai jenis hidangan dan hiburan ditawarkan semasa musim ini bagi mengelak sebarang gangguan.
Disambut oleh penganut Taoism dan pengikut ajaran Buddha di Singapura, ia bagaimanapun bukan seperti perayaan Halloween bagi masyarakat Barat, dedah Honeycombers.
Perayaan ini bersifat lebih suram dan bukan mengenai kostum atau hantu-hantu yang menyeramkan.
ASAL USUL PERAYAAN 'HANTU LAPAR'
Menurut HoneyKids Asia, pengikut ajaran Buddha percaya seorang sami bernama Mu Lian boleh melihat alam ghaib dan menggunakan kelebihannya itu untuk mencari ibunya yang sudah meninggal dunia sebagai membalas jasa beliau di dunia.
Mengikut cerita, beliau mendapat petunjuk ibunya yang sedang merana di neraka dan menjadi hantu lapar.
Keadaan itu membuatkan Mu Lian berasa sedih. Namun, apabila Mu Lian cuba menyuapnya makanan, makanan itu bertukar menjadi abu sebaik sahaja ia menyentuh bibirnya sebagai balasan atas dosa-dosa yang dilakukannya apabila semasa hidup.
Oleh itu, Mu Lian meminta pertolongan daripada Buddha dan diajar cara meletakkan makanan dan membaca mantera serta doa supaya ibunya dan hantu-hantu lapar lain dapat mengatasi rasa lapar, menurut HoneyKids Asia.
HIDANGAN APA YANG DITAWARKAN KEPADA HANTU-HANTU LAPAR?
Di Singapura, biasanya makanan, kemenyan, lilin dan kertas sembahyang disembahkan kepada si mati.
Mereka juga akan mengadakan persembahan untuk menghiburkan hantu-hantu itu, menurut HoneyKids Asia.
Biasanya, khemah dan pentas sementara dibangunkan di kawasan kejiranan.
Hantu-hantu itu juga boleh menikmati makan malam dan persembahan 'getai', termasuk lagu-lagu, tarian, opera dan juga komedi.
APA ANTARA PANTANG-LARANG MASYARAKAT CINA SEMASA PERAYAAN 'HANTU LAPAR'?
Berikut adalah antara pantang-larang yang disenaraikan Honeycombers dan semestinya dielakkan mereka semasa musim ini.
1. Jangan ganggu kertas sembahyang yang dibakar atau makanan yang disediakan
Jangan disentuh atau ditendang kertas sembahyang atau makanan yang disajikan. Biarkan sahaja! Itu mungkin 'makanan' untuk 'hantu-hantu yang lapar'.
2. Jangan tegakkan penyepit makanan dalam mangkuk nasi
Menurut kepercayaan Cina, hantu-hantu yang sedang lapar mungkin boleh salah anggap penyepit sebagai colok yang boleh dibakar untuk mereka.
3. Jangan keringkan pakaian anda semalaman
Masyarakat Cina percaya pakaian yang lembap mengundang roh-roh yang berkeliaran untuk mencubanya dan 'mengikut' anda ke dalam rumah.
4. Jangan ubah elok rumah
Mereka percaya sebarang ubah elok atau perubahan di rumah harus ditangguhkan dahulu, termasuk mengalihkan perabot di rumah. Mereka percaya ia dapat mengganggu sebarang roh di situ.
5 Jangan bunuh kupu-kupu atau serangga
Masyarakat Cina percaya bahawa roh-roh boleh dihidupkan semula menjadi serangga, terutama sekali kupu-kupu. Jadi mereka menggalakkan untuk menghalaunya saja.
6. Tidak digalakkan ke tempat berair seperti sungai atau laut
Musim ini dipercayai masa di mana roh yang lemas akan keluar dan mencari 'mangsa'.
7. Jangan ambil gambar makanan bagi roh
Masyarakat Cina percaya kamera dapat 'menangkap' roh berkeliaran, jadi elakkan mengambil gambar supaya ia tidak 'termasuk' dalam gambar. Ia juga boleh dianggap biadap, mengikut kepercayaan mereka.
8. Jangan duduk di barisan depan persembahan getai
Hantu-hantu itu juga dipercayai gemarkan hiburan dan mahu dihiburkan diri melalui persembahan getai. Barisan pertama juga biasanya dikosongkan bagi memberi laluan kepada hantu-hantu itu, menurut kepercayaan mereka.
9. Elakkan memakai pakaian berwarna merah
Hantu-hantu lapar dikatakan tertarik pada warna merah, jadi masyarakat Cina percaya warna itu sebaiknya dielakkan.
10. Jangan biarkan pintu terbuka pada waktu malam
Masyarakat Cina percaya pintu-pintu yang terbuka ibarat mengundang roh-roh atau tenaga negatif ke dalam rumah.
Meskipun kepercayaan masyarakat Cina tidak diikuti masyarakat-masyarakat lain di Singapura, mengetahui sejarah dan latar belakang perayaan seperti ini sekurang-kurangnya membantu kita saling memahami budaya dan amalan kaum lain di negara ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.