Skip to main content

Singapura

Humanity Matters sasar kumpul S$300,000 bagi mangsa banjir Bangladesh, India & Nepal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Badan kemanusiaan Humanity Matters melancarkan satu usaha mengumpul dana untuk mangsa banjir di Bangladesh, India dan Nepal pada Selasa (3 Sep).

Kali ini, Humanity Matters juga mendapat sokongan daripada para pekerja hijrahan dan majikan mereka untuk mengumpul dana bersama.

Sejak bencana itu melanda, para pekerja hijrahan dari negara-negara itu juga prihatin dan bimbang dengan keadaan keluarga mereka di sana.

Di Bangladesh misalnya, lebih 5.2 juta penduduk terjejas akibat banjir teruk yang disebabkan oleh hujan lebat berterusan.

Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk terputus hubungan dan memerlukan bekalan asas dan makanan segera.

HUMANITY MATTERS SASAR KUMPUL LEBIH S$300,000

Pengumpulan dana itu akan dijalankan hingga 15 Oktober 2024.

Penasihat khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad berkata inisiatif itu menyasar untuk mengumpul dana lebih S$300,000.

"Situasi kemanusiaan di Bangladesh dan India terutama kali di Bangladesh, di mana lebih 5 juta orang terjejas dan lebih daripada 1.2 juta keluarga yang masih tidak ada makanan dan air minuman," kongsi Encik Hassan kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Beliau sendiri akan menyertai dua lagi relawan Humanity Matters dalam satu misi bantuan ke Bangladesh.

Mereka akan bertolak pada Khamis (5 Sep) bagi menyediakan sokongan dan bantuan dari segi makanan, air bersih dan jagaan kesihatan di sana.

Selepas dua minggu, mereka akan ke India pula.

BINA JAMBATAN UNTUK RAPATKAN JALINAN

Di majlis yang diadakan di Masjid Bencoolen petang tadi, tetamu terhormat, Menteri Negara Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling berkata usaha murni itu boleh membina jambatan dan memperkukuh hubungan rakyat antara negara.

Beliau juga menyampaikan tabung-tabung derma kepada para pekerja hijrahan dari beberapa syarikat pembinaan dan kejuruteraan untuk mereka kumpul derma daripada rakan-rakan kerja dan majikan mereka.

"Saya ingin memuji Humanity Matters kerana mengambil inisiatif untuk mengumpul rakan-rakan masyarakat dari agama, sivik, anggota korporat, belia dan hijrahan bagi usaha murni untuk menangani keperluan kemanusiaan yang kian diperlukan oleh warga Bangladesh yang risau akibat banjir teruk yang melanda negara mereka. Pelancaran kutipan dana untuk Bangladesh dan Bantuan Monsun Asia Tenggara adalah satu contoh yang amat baik bagi usaha konstruktif dan usaha seluruh masyarakat terhadap bantuan kemanusiaan."

Acara itu turut dihadiri Timbalan Mufti Ustaz Muhammad Hannan Hassan.

Dalam sesi perkongsiannya, beliau menekankan bagaimana orang Islam boleh menjadi contoh bagi keihsanan, tidak kira di mana mereka berada.

Orang ramai boleh menyumbang derma kepada Humanity Matters menerusi PayNow, cek atau pemindahan wang bank.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita