Humanity Matters pasang 4 sistem rawatan air di Pusat Latihan UNRWA; bantu lebih 2,000 pelarian Palestin
SINGAPURA: Empat unit sistem rawatan air telah dipasang di Pusat Latihan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Jordan.
Pusat itu memberikan latihan vokasional kepada lebih 2,000 pelarian belia Palestin.
Projek itu merupakan hasil kerjasama antara badan kemanusiaan silang agama, Humanity Matters (HM), dan Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO) dan dimulakan oleh Jabatan Ehwal Palestin, Pemerintah Jordan.
Kerja pemasangan keempat-empat sistem itu mengambil masa sembilan hari, dari 21 hingga 29 Oktober.
Selain menyelaraskan projek, pasukan Humanity Matters turut menjalankan penilaian lokasi dan situasi yang sesuai untuk pemasangannya
"Kami sekali lagi bekerjasama dengan badan amal Hashemites Jordan (JHCO), kali ini untuk membekalkan air bersih kepada lebih 2,000 pelarian Palestin, kebanyakannya dari Gaza, yang kini ditempatkan di pusat latihan vokasional di bawah kendalian UNRWA," kata Penasihat Khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
BEKALAN AIR MENCUKUPI AMAT KRITIKAL
Menurut Humanity Matters, kos sistem rawatan air itu melebihi S$60,000.
Setiap sistem mampu merawat 500 liter air setiap jam.
Encik Hassan menyatakan bahawa dengan konflik yang berlarutan di Gaza, bekalan air yang mencukupi amat kritikal untuk menangani pelbagai isu serius, termasuk keperluan makanan, kesihatan, perubatan, dan kebersihan.
"Oleh kerana situasi konflik yang berpanjangan di Gaza, banyak keperluan asas harian dan kemanusiaan yang diperlukan oleh mangsa peperangan dan keganasan di Palestin. Oleh itu, sama ada untuk hidrasi, menangani kelaparan, kesihatan, atau kebersihan, semua ini memerlukan sumber air bersih," ujar Encik Hassan.
"Kali ini, Humanity Matters telah menerima permintaan daripada pihak berkuasa di Jordan untuk menyediakan bekalan air minum bagi pelarian Palestin di sana. Pengeboman yang bertalu-talu dan berterusan di Gaza telah menyebabkan hampir semua sistem perairan di kawasan itu musnah atau tercemar," tambah beliau.
LEBIH BERHATI-HATI DAN UTAMAKAN KESELAMATAN PASUKAN SEDANG KONFLIK MEREBAK
Ditanya tentang cabaran dan pertimbangan yang perlu diambil kira dalam menjayakan misi bantuan itu, Encik Hassan menjawab:
"Situasi konflik di sana sangat tidak menentu, dan kami perlu berhati-hati. Kami kini menyedari bahawa konflik ini telah merebak ke Lubnan, yang menyebabkan lebih ramai pelarian bukan hanya dari Palestin tetapi juga dari Lubnan dan mungkin juga Syria. Oleh itu, kami perlu bersiap sedia dan menjaga keselamatan pasukan kami, sama ada melalui Jordan atau Mesir.
"Dengan jumlah pelarian yang dijangka meningkat, keperluan mereka juga bertambah. Di sini, sumber makanan dan kewangan menjadi cabaran yang lebih kritikal dan sukar. Ini adalah hal yang perlu diambil perhatian oleh pasukan dan badan bantuan untuk memastikan tindakan diambil dengan berkesan."
Encik Hassan juga mendedahkan bahawa enam lagi sistem rawatan air akan dipasang di lokasi lain untuk penduduk Palestin yang terjejas dan kehilangan tempat tinggal, khususnya dari Gaza.
KERJASAMA DENGAN RLAF BANTU GAZA
Ia juga akan bekerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk mengadakan kutipan dana awam pada 17 November.
Selain itu, mereka mengajak orang ramai untuk membantu membungkus bekalan bantuan bagi Gaza pada 1 Disember.
"Berdasarkan tinjauan pasukan kami yang berada di sana minggu lalu, bantuan seterusnya untuk Gaza dari Singapura akan merangkumi hidrasi, makanan, dan perubatan. Untuk melaksanakan ini, kami memerlukan sukarelawan yang bersedia menyokong usaha kami. Kami akan mengumumkan maklumat lanjut di laman media sosial kami minggu hadapan. Sesiapa yang berminat untuk menyertai usaha ini boleh mendaftar secara langsung dalam talian," kata Encik Hassan.
Bekalan bantuan itu akan dihantar ke Gaza menerusi Pelabuhan Aqaba di Jordan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.