Skip to main content

Singapura

Humanity Matters hantar bekalan bantuan bernilai $100,000 bantu penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal

Anggaran Waktu Membaca:
Humanity Matters hantar bekalan bantuan bernilai $100,000 bantu penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal

Gambar: MOHAMMED ABED / AFP

Diterbitkan : 20 Oct 2023 02:39PM Dikemas Kini : 20 Oct 2023 03:09PM
SINGAPURA: Kumpulan kemanusiaan berbilang agama tempatan Humanity Matters (HM) sedang membuat persiapan untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan bernilai sekitar S$100,000 kepada para penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik Israel-Hamas di Carikan Gaza.

Ini dilakukan atas semangat kemanusiaan, perpaduan sosial dan belas ihsan sedang angka korban akibat konflik berdarah itu terus meningkat dan krisis kemanusiaan kian meruncing.

Demikian menurut kenyataan medianya pada Khamis (19 Okt).

Bantuan tersebut akan merangkumi bekalan perubatan dan keperluan asas, seperti cecair intravena (IV), vitamin, selimut musim sejuk dan tong air 'jerry can' yang boleh dilipat.

Kesemua barangan tersebut akan didapatkan di Singapura, kecuali bekalan air, makanan kering serta peralatan masak.

Para sukarelawan daripada berbilang kumpulan agama akan berganding bahu untuk membungkuskan bekalan bantuan tersebut pada Ahad (29 Okt).

Bekalan bantuan tersebut dijangka diterbangkan ke Kaherah, Mesir sebelum diagihkan di Gaza.

PASUKAN BANTUAN HM DIKERAH KE KAHERAH

Sebuah pasukan bantuan HM juga akan dikerahkan ke Kaherah untuk menyelaraskan penghantaran bekalan bantuan itu, di samping menyiapkan bekalan air, makanan kering serta peralatan masak di sana.

Bagi tujuan itu, pasukan HM tersebut akan bekerja rapat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERCS) di lapangan bagi usaha bantuan itu.

Semasa konflik yang tercetus di Gaza pada Mei 2021, HM juga pernah melaksanakan kerjasama bantuan akar umbi tempatan yang serupa, yang melibatkan sembilan pertubuhan badan berbilang agama, bagi menghantarkan empat tan bekalan bantuan ke Gaza.

"Dalam krisis kemanusiaan besar (sedemikian), ia adalah penting untuk memahami keperluan sebenar para mangsa yang terjejas, dan adalah mustahak untuk menghargai landskap tempatan termasuk struktur, sistem, mekanik, dinamik dan budaya di kawasan yang terjejas, serta kawasan sekelilingnya," kata Encik Hassan Ahmad, Penasihat Khusus untuk Kemanusiaan di Humanity Matters.

Encik Hassan sebelum ini telah memimpin beberapa misi bantuan kemanusiaan di Gaza pada 2009, 2012 dan 2021.

Menurut Encik Hassan, barangan bantuan tertentu mempunyai keutamaan atau permintaan yang lebih. Lantaran itu, ia akan menjejas tahap bekalan mereka, sekali gus mengakibatkan harga melambung tinggi di kawasan terjejas serta di sekitar kawasan itu.

"Bekalan yang berkurangan dan harga yang meningkat akan menjejas akses kepada barangan keperluan bagi penduduk tempatan dan akan menghalang mereka daripada mendapatkan barangan tertentu atau dibebankan dengan harga yang tinggi.

"Kebanyakan kita tahu bahawa sudah ada kekurangan bekalan perubatan sebelum konflik ini berlaku," jelas beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita