Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Humanity Matters bangunkan sistem rawatan air guna teknologi mampan

Banyak kawasan pedalaman di Indonesia dan Filipina yang sukar mendapat akses kepada bekalan air bersih atau kerap dilanda bencana alam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Banyak kawasan pedalaman di Indonesia dan Filipina yang sukar mendapat akses kepada bekalan air bersih atau kerap dilanda bencana alam.

Bagi membantu para penduduk yang terjejas, badan silang agama tempatan, Humanity Matters telah mencipta sebuah sistem merawat air yang memanfaatkan teknologi mampan.


(Gambar: Humanity Matters)

Dinamakan 'Green Lotus', ia boleh menapis kotoran dan membunuh bakteria di dalam air serta merta.

Sistem yang mengambil masa dua tahun untuk dibangunkan itu adalah untuk kegunaan mangsa-mangsa bencana alam, kawasan yang mengalami musim kemarau atau menghadapi isu bekalan air bersih terawat yang kritikal.

"Sistem rawatan air yang dikendalikan Humanity Matters adalah ringan, mudah alih dan modular. Dan bukan hanya selamat untuk minuman manusia, malah sistem kami menggunakan bahan yang mesra alam dan tenaga bersih seperti kinetik, hidro dan suria," kata Jurutera Besekutu, badan kemanusiaan tersebut, Encik Zohree.



Encik Zohree berkata pihaknya menghasilkan sistem rawatan sendiri kerana ia lebih berkesan berbanding yang sedia ada.

"Memang ada pelbagai sistem air yang terdapat di pasaran komersil. Namun kebanyakannya yang tidak begitu sesuai dengan kerja kemanusiaan kami kerana sistem air mereka tidak menepati spesifikasi keperluan di lapangan bencana," tambahnya.



BERUPAYA HASILKAN MUTU AIR MELEPASI STANDARD WHO

Sistem Green Lotus mudah dioperasi, boleh digunakan di mana-mana dan mempunyai jangka hayat selama 10 tahun.

Juga tiada had kapasiti, bermakna air bersih dapat dibekalkan pada bila-bila masa.

"Sistem-sistem kami dapat menapis kotoran, bakteria dan menghapuskan virus. Dengan teknologi yang sesuai, kami bukan hanya dapat membantu manusia buat masa kini, malah ianya dapat memelihara alam sekitar untuk generasi masa depan," tambah Encik Zohree.



Untuk memastikan mutu air sistem yang dirawat terjamin selamat, pemeriksaan dan analisa mutu air dijalankan dari masa ke semasa.

Mutu air bersih yang dirawat sistem itu sebenarnya juga lebih tinggi daripada yang ditetapkan piawai antarabangsa.

"Kalau piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah sekitar 1 mata. Kalau keputusannya 0.37, bermakna ia efektif dalam membersihkan air. Kita boleh minum air ini, " jelas Encik Zohree.

Sistem 'Green Lotus' itu akan dilancarkan semasa satu dialog silang agama melibatkan 10 negara-negara ASEAN di Yogyakarta, Indonesia pada Oktober 2022.

Dua sistem tersebut juga akan didermakan ke dua kawasan yang terdedah kepada ancaman gunung berapi di negara itu.



Humanity Matters kini sedang memikirkan penyelesaian baru seperti sistem rawatan air yang menggunakan tenaga suria sepenuhnya.

Sejak ditubuhkan pada 2019, Humanity Matters giat melakukan misi-misi bantuan bencana di luar negara.

Baru-baru ini, ia juga telah ke Pakistan untuk satu misi bantuan mangsa-mangsa banjir di sana.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan