Humanity Matters akan bangunkan dapur pusat bagi bantu mangsa gempa bumi di Filipina
Orang ramai melihat bangunan runtuh susuli gempa 7.8 pada skala Richter di selatan Filipna, 8 Jun 2026. (Gambar: Reuters/Noel Celis)
Menurut Penasihat Khas (Bantuan Kemanusiaan) Humanity Matters, Hassan Ahmad, inisiatif itu merupakan antara langkah jangka panjang yang sedang diusahakan bagi membantu masyarakat terjejas memenuhi keperluan makanan mereka sendiri sepanjang tempoh pemulihan.
"Humanity Matters akan menambah jumlah tandas di pusat-pusat pemindahan dan juga menyediakan dapur pusat komuniti atau kemudahan memasak untuk masyarakat yang telah terjejas buat masa yang seterusnya," jelas Encik Hassan ketika dihubungi oleh BERITA Mediacorp.
Sementara itu, bagi memenuhi keperluan segera mangsa yang masih berada di pusat-pusat pemindahan, Humanity Matters telah mendapatkan bekalan makanan yang dimasak segar daripada premis makanan yang tidak terjejas oleh gempa bumi.
"Kami mendapati bahawa makanan yang dimasak segar adalah keperluan utama dalam kalangan mangsa-mangsa yang telah kehilangan tempat tinggal mereka termasuk ruang masak mereka," kata Encik Hassan.
"Dari itu, Humanity Matters telah memperolehi dan mengagihkan makanan yang telah dimasak segar dari warung-warung yang tidak terjejas," tambahnya lagi.
Selain keperluan makanan, Humanity Matters turut memberi perhatian kepada aspek sanitasi di pusat-pusat pemindahan yang kini menempatkan ramai penduduk terjejas.
"Disebabkan jumlah penduduk yang ramai di pusat-pusat pemindahan, tandas menjadi satu kekurangan yang serius. Dengan beberapa kes di mana penduduk terdesak untuk membuang air secara terbuka," kata Encik Hassan.
"Dari itu, kami telah menyediakan tandas mudah alih atau 'portable toilet' untuk penduduk agar mereka dapat menangani isu-isu sanitasi, kebersihan awam," tambahnya lagi.
Gempa bumi sekuat 7.8 magnitud melanda Filipina pada 8 Jun dan sejauh ini mengorbankan sekurang-kurangnya 61 orang serta puluhan lagi orang dilaporkan hilang dalam gempa susulan yang berlaku beberapa hari selepas itu.
Operasi bantuan kemanusiaan masih diteruskan bagi memenuhi keperluan asas penduduk yang terjejas sementara proses pemulihan dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.