Hukuman penjara terhadap ketua editor, penulis TOC diganti dengan denda setelah rayuan diterima
SINGAPURA: Ketua editor portal berita alternatif The Online Citizen dan seorang penulis bagi wadah tersebut berjaya merayu supaya hukuman penjara mereka bagi kesalahan memfitnah digantikan dengan denda pada Khamis (4 Mei).
Terry Xu Yuanchen, 40 tahun, dikenakan denda sebanyak S$8,000 dan bukan hukuman penjara selama tiga minggu kerana memfitnah para anggota Kabinet Singapura.
Hukuman itu bagi kesalahan membenarkan penerbitan sepucuk surat pada September 2018 yang mendakwa "rasuah berleluasa di peringkat tertinggi".
Penulis surat berkenaan, Daniel De Costa Augustin, 39 tahun, didenda S$10,000 bagi menggantikan hukuman penjara selama tiga minggu.
De Costa bagaimanapun tetap akan dihukum penjara kerana sebelum ini dia sudahpun dikenakan hukuman penjara tiga bulan bagi satu tuduhan mengakses akaun emel bukan hak miliknya yang kemudian digunakan untuk menghantarkan artikel tersebut.
Kedua-dua tertuduh turut memfailkan rayuan terhadap sabitan mereka tetapi ditolak oleh Hakim Aedit Abdullah.
De Costa diwakili oleh Encik Chun Ting Fai yang berjaya meminta hukuman terhadap anak guamnya ditangguhkan.
Xu bagaimanapun tidak hadir di mahkamah. Peguamnya, Encik Remy Choo, memberitahu Mediacorp bahawa Xu kini berada di Taiwan. Dia dikenakan hukuman penjara tiga minggu pada April 2022 semasa didakwa di mahkamah daerah.
Hakim Abdullah menentukan prosiding selanjutnya untuk Encik Choo menghubungi Xu sama ada dia akan membayar denda atau menggantikannya dengan hukuman penjara yang sudah dijalaninya sebelum ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.