Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan bunuh bayi teman wanita

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan bunuh bayi teman wanita

Gambar Fail: AFP/Roslan Rahman

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan 15 sebatan rotan pada Khamis (11 Ogos) atas kesalahan membunuh anak lelaki teman wanitanya berusia 9 bulan di dalam sebuah van di Yishun.

Mohamed Aliff Mohamed Yusoff dijatuhi hukuman itu selepas hakim Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah atas tuduhan membunuh pada Julai.

Hakim Mavis Chionh berkata hukuman mati tidak wajar dalam kes ini dan beliau turut menarik perhatian bahawa pihak pendakwaan tidak mengusulkan hukuman tersebut.

Mangsa, Izz Fayyaz Zayani Ahmad, meninggal dunia akibat pendarahan yang disebabkan oleh trauma pukulan bahan tumpul.

Pada 7 Nov 2019, Aliff, Izz dan ibu Izz, Cik Nadiah Abdul Jalil dipercayai keluar makan malam dan ketika itu pasangan tersebut berselisih faham tentang bagaimana untuk mendisiplinkan bayi berusia sembilan bulan yang menumpahkan minumannya.

Selepas makan malam, Aliff menyarankan untuk menjaga Izz pada malam itu dan Cik Nadiah bersetuju dengan saranan tersebut. Aliff kemudian membawa Izz ke sebuah tempat letak kereta bertingkat di Yishun Street 81.

Pihak pendakwa berhujah bahawa Aliff mencederakan Izz dengan menolak kepala mangsa pada papan lantai kenderaannya sekurang-kurangnya sebanyak dua kali antara 10.00 malam dengan 12.15 tengah malam pada hari tersebut.

Menurut peguam bela Aliff, kematian mangsa adalah satu kemalangan.

Aliff turut mendakwa kononnya Izz 'meronta dan jatuh dari pelukannya' dan kepala mangsa terhentak papan lantai vannya sebelum mangsa jatuh ke lantai tempat letak kereta bertingkat di Blok 840A Yishun Street 81.

 
Aliff kemudian bertemu dengan ibu mangsa, Cik Nadiah Abdul Jalil, sekitar 12.00 tengah malam.

Mereka memandu tanpa arah tujuan di kawasan tersebut sebelum wanita itu menoleh dari tempat duduk penumpang hadapan dan mendapati anaknya terbaring menghadap ke bahagian belakang van berkenaan.

Aliff kemudian mencadangkan supaya mereka mengupah seseorang untuk mengebumikan jenazah mangsa dan melaporkan seolah-olah bayi itu hilang setahun kemudian, namun Cik Nadiah enggan berbuat demikian.

Aliff juga melengah-lengahkan usaha ibu Izz untuk membawa bayinya ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) Hospital Universiti Nasional (NUH), menurut hakim.

Kesalahan membunuh di bawah Seksyen 300C Kanun Jenayah adalah hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup dengan sebatan rotan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan