Skip to main content

Singapura

Hukuman penjara, rotan bagi remaja dalam nahas motosikal ragut nyawa pegawai LTA

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman penjara, rotan bagi remaja dalam nahas motosikal ragut nyawa pegawai LTA

(Gambar: Facebook/Singapore roads accident.com)

Diterbitkan : 23 Jan 2025 02:47PM Dikemas Kini : 23 Jan 2025 02:51PM
SINGAPURA: Seorang remaja berusia 19 tahun yang terlibat dalam nahas motosikal yang membunuh seorang pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan tiga bulan dan enam sebatan.

Semasa menjatuhkan hukuman pada Khamis (23 Jan), remaja itu juga dilarang memandu selama lima tahun selepas dia dibebaskan.

Identiti remaja itu tidak boleh didedahkan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA) kerana dia berusia bawah 18 tahun semasa salah satu pertuduhannya.

Dia sebelum ini mengaku bersalah atas enam tuduhan termasuk memandu secara berbahaya, menunggang motosikal tanpa lesen yang sah, memiliki dan mengambil dadah, memiliki senjata berbahaya dan mendedahkan butiran SingPassnya untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

Jumlah hukuman itu termasuk penjara tujuh bulan khusus bagi kesalahan memandu dengan berbahaya.

Kemalangan maut itu berlaku pada pagi 4 Jun 2024.

Allahyarham pegawai LTA Zdulfika Ahakasah ternampak remaja itu menunggang motosikal di Ekspreswe Seletar.

Motosikal itu milik sepupu remaja tersebut, yang telah mengamanahkannya dengan kenderaan itu untuk dibaiki. Remaja itu tidak mempunyai kebenaran untuk menunggangnya.

Encik Zdulfika perasan bahawa motosikal itu tidak dipasang dengan sebarang cermin sisi dan topi visor topi keledar remaja itu pula berwarna.

Allahyarham mahu memberhentikan motosikal supaya dia boleh membuat pemeriksaan dan beliau juga memberi isyarat supaya remaja itu berhenti di bahu jalan.

Ketika itu, remaja tersebut dikehendaki pihak polis kerana melarikan diri pada Oktober 2023 sebelum dia dihantar ke pusat pemulihan masyarakat atas isu berkaitan dadah.

Melihat bahawa Encik Zdulfika adalah seorang pegawai beruniform dan mengetahui bahawa dia dikehendaki, remaja tersebut mula memecut laju untuk mengelakkan pegawai LTA itu dan melarikan diri daripada ditangkap.

Semasa Allahyarham mengejar remaja itu, remaja tersebut sudahpun memotong dua lorong dari bahu jalan, dan melintasi tanda chevron pembahagi lebuh raya.

Encik Zdulfika malangnya merempuh pembahagi jalan dan tercampak dari motosikalnya. Allahyarham dibawa ke hospital, di mana dia meninggal dunia.

Pada perbicaraan sebelum ini, pendakwa berhujah bahawa walaupun pemulihan akan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan remaja tersebut, dia adalah seorang pesalah bentan yang telah "memilih untuk melakukan jenayah serius berulang kali".

Pendakwa raya juga menunjukkan "sikapnya yang tidak berasa kesal" kerana dia tidak berhenti atau memanggil ambulans, walaupun mengetahui bahawa pegawai LTA itu terjatuh dan mengalami kecederaan.

Remaja itu juga "mengambil kesempatan untuk menyalahkan orang lain" ketika pertama kali didakwa di mahkamah pada 6 Jun 2024, kata pendakwa raya.

Ditanya sama ada dia mempunyai apa-apa untuk dikatakan ketika itu, remaja itu berkata: "Saya mempertaruhkan nyawa saya sama seperti dia mempertaruhkan nyawanya. Jadi kematian itu... saya mungkin salah satu faktor penyumbang kepada kematiannya, tetapi saya tidak boleh dipersalahkan."

Pendakwa raya mengusulkan hukuman penjara antara dua tahun dan tiga bulan setengah dengan dua tahun dan lima setengah bulan dengan, enam sebatan, dan larangan memandu selama lima tahun.

Peguam bela remaja itu sebelum ini berkata bahawa anak guamnya sudah bermuhasanah selama tujuh bulan semasa dalam tahanan reman dan "sangat, sangat menyesali perbuatannnya itu".

Peguam bela turut berhujah bahawa remaja itu berpotensi untuk dipulihkan, dengan sokongan padu daripada ahli keluarga, dan meminta mahkamah tidak menjatuhkan hukuman yang "sangat berat bagi seseorang yang begitu muda".
Sumber : CNA/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita