Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman penjara, rotan bagi pekerja pembersihan yang intai pelajar di Kranji sebelum menumbuk dan merogolnya

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman penjara, rotan bagi pekerja pembersihan yang intai pelajar di Kranji sebelum menumbuk dan merogolnya

Mahkamah Tinggi Singapura. (Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Selepas mengintai seorang pelajar universiti dalam perjalanan ke perhentian bas pada lewat malam, Chinnaiah Karthik memberinya arah laluan yang salah dan kemudian menumbuknya sebelum mengheretnya ke kawasan hutan dan merogolnya.

Selepas kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan yang teruk, termasuk lebam di muka sehingga teman lelakinya tidak dapat mengecam mukanya ketika melawatnya di hospital.

Chinnaiah, seorang pembersih berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 12 sebatan rotan pada Jumaat (27 Okt) selepas mengaku bersalah atas kesalahan merogol.

Satu lagi tuduhan menculik dan caj mencuri juga diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Nama mangsa tidak boleh disiarkan kerana perintah mahkamah untuk melindungi identitinya.

Kejadian rogol itu berlaku pada 4 Mei 2019. Pihak mahkamah diberitahu bahawa sebab kes itu mengambil masa sekitar empat tahun sebelum dihadapkan ke mahkamah adalah kerana keadaan mental Chinnaiah memerlukan beberapa pusingan penilaian psikiatri.

WAKTU PERTEMUAN

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke kediamannya di kampus dari Changi apabila dia secara tidak sengaja menaiki kereta api yang salah dan berakhir di stesen MRT Kranji sekitar tengah malam hingga satu pagi.

Selepas menyemak aplikasi peta, dia memutuskan untuk menunggu bas yang akan membawanya pulang ke kampus.

Pada masa itu, dia sedang bertengkar dengan teman lelakinya di telefon.

Dia membuat pilihan untuk berjalan ke perhentian bas seterusnya untuk mendapatkan privasi kerana terdapat orang lain di sekitaran perhentian bas itu.

Sibuk dengan panggilan itu, dia tidak menghiraukan persekitarannya dan akhirnya berjalan kaki kira-kira 10 hingga 15 minit, kata Timbalan Pendakwa Raya Kayal Pillay.

Dia juga mula menangis ketika bergaduh dengan teman lelakinya. Pada waktu itulah Chinnaiah, seorang warga India, menghampirinya dan bertanya sama ada dia baik-baik saja.

Dia memberitahunya bahawa dia baik-baik saja dan meminta ditinggalkan bersendirian.

Menyedari bahawa dia tidak mengenali lokasinya, pelajar itu cuba untuk berpatah balik dan kembali ke stesen MRT Kranji.

Bagaimanapun, Chinnaiah memegang lengannya dan menolaknya sambil berkata "awak pergi, awak pergi".

Tanpa memahaminya, pelajar itu menuju ke arah yang ditunjukkannya dan menoleh ke belakang beberapa kali untuk melihat bahawa Chinnaiah sedang duduk di atas tebing yang menghadap ke jalan raya.

Dia menyedari bahawa Chinnaiah mula mengikutinya hanya selepas dia menoleh ke belakang sekali lagi.

Selepas menyampaikan apa yang berlaku kepada teman lelakinya, dia menasihati mangsa agar menaiki teksi. Namun, kerana tiada cara untuk berbuat sedemikian, mangsa memutuskan untuk menyeberang jalan dan kembali ke stesen MRT Kranji.

KEJADIAN ITU

Apabila mangsa yang masih dalam panggilan telefonnya sampai di pembahagi jalan, Chinnaiah mengejarnya dan segera menumbuk mukanya.

Teman lelakinya mendengar dia menjerit melalui telefon dan menjerit kepadanya beberapa kali tetapi tidak mendapatkan jawapan.

Pada ketika itu, Chinnaiah telah menumbuk mukanya beberapa kali, sehingga cermin mata jatuh, bermakna dia tidak dapat melihat dengan jelas.

Dia kemudian meletakkan lengan kanannya di leher mangsa, yang membuatkan pelajar itu sukar untuk bernafas.

Chinnaiah terus mengheretnya ke seberang jalan ke kawasan hutan di mana dia menolaknya ke atas rumput sebelum merogolnya.

Semasa dia melakukan serangan seksual terhadap pelajar itu, Chinnaiah telah meletakkan tangannya di leher mangsa.

Pendakwa raya berkata wanita muda itu telah cuba menarik tangannya dari kerongkong kerana dia tidak dapat bernafas tetapi Chinnaiah terus mengetatkan genggamannya.

Dia juga menyuruh mangsa diam dan tiada sesiapa yang akan mendengarnya.

Selepas merogolnya, Chinnaiah mula menyelongkar barang-barangnya.

Dia mengambil botol airnya dan meminumnya sebelum mencurahkan baki air itu ke bahagian bawah badan mangsa.

Sebaik sahaja dia pergi, pelajar itu dengan segera pergi ke begnya di mana dia menemui guntingnya dan memegangnya di tangan sekiranya Chinnaiah kembali.

Walaupun dia tidak dapat mengesan cermin matanya, dia berjaya menemui telefon bimbitnya untuk bercakap dengan teman lelakinya yang kemudian menghubungi rakannya yang menghubungi polis.

Selepas polis tiba, pelajar itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan serangan seksual di mana dia didapati mengalami berbagai calar dan lebam termasuk kesan cekik di bahagian lehernya.

Apabila teman lelaki mangsa datang melawatnya pada 4 Mei, dia tidak dapat mengenalinya kerana tahap lebam dan kecederaan di mukanya yang teruk.

PENANGKAPAN

Selepas siasatan menyeluruh, polis menjejaki Chinnaiah.

Menggunakan kedua-dua Penguasa Pengangkutan Darat dan rakaman kamera polis, mereka mendapati bahawa Chinnaiah telah turun di perhentian bas bertentangan stesen MRT Kranji pada kira-kira 12.25 pagi.

Dia mula mengekori pelajar itu ketika dia berjalan meninggalkan perhentian bas dan juga diperhatikan bersembunyi di sebalik pokok untuk mengelakkan daripada dikesan.

Chinnaiah dilihat mengekori mangsa kira-kira 15 minit sebelum mereka berdua hilang dari pandangan camera di sepanjang Turf Club Avenue.

Apabila pelajar itu muncul semula, dia berada di seberang jalan dalam keadaan kusut masai selepas dirogol.

Chinnaiah ditangkap pada 5 Mei 2019.

GANAS DAN TIDAK TERHENTI

Meminta hukuman penjara 15 hingga 17 tahun dan 16 hingga 18 sebatan, pihak pendakwaan berhujah bahawa tahap keganasan yang digunakan untuk merogol adalah melampau dan serangannya tidak terhenti dan kejam.

Timbalan Pendakwa Raya Yvonne Poon juga berkata bahawa serangan itu tidak berlaku secara mendadak kerana dia mempunyai banyak interaksi dengannya dan telah mengarahkannya menjauhi daripada laluan yang selamat.

Cik Poon juga menambah bahawa lelaki itu berusaha mengelak pengesanan dengan membuat kehadirannya kurang jelas ketika dia mengekori mangsa.

Dia juga menuang air ke bahagian bawah badan mangsa selepas melakukan jenayah itu.

Cik Poon merujuk kepada kenyataan impak mangsa pada 13 Jul 2023 di mana dia menyatakan dia masih mengalami mimpi ngeri dan terfikir untuk membunuh diri dan berasa malu.

Bagi kesalahan rogol yang teruk, Chinnaiah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dengan tidak kurang daripada 12 sebatan rotan.

 

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan