Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman penjara pesalah seks disingkatkan selepas wakili diri sendiri di Mahkamah Rayuan

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman penjara pesalah seks disingkatkan selepas wakili diri sendiri di Mahkamah Rayuan

Gambar fail: CNA/Try Sutrisno Foo

SINGAPURA: Seorang bekas anggota samseng yang mengemukakan rayuan terhadap sabitan serangan seksual berjaya mengurangkan hukuman penjaranya pada Selasa (3 Okt). Dia bagaimanapun gagal membatalkan hukuman yang mendapati dirinya bersalah.

Mustapah Abdullah, 51 tahun, didakwa menyerang tiga remaja lelaki secara seksual di sebuah gelongsor taman permainan pada 2018.
Dia dijatuhi hukuman penjara 23 tahun dan lagi setahun sebagai menggantikan hukuman rotan. Dia tidak boleh dirotan kerana berusia lebih 50 tahun.

Pada Selasa, hukuman penjaranya dikurangkan kepada 18 tahun dan enam bulan, iaitu kurang lima setengah tahun daripada hukuman asal.

Mustapah, yang tidak mempunyai peguam bagi kedua-dua perbicaraan dan proses rayuannya, mempertikaikan sabitan dan hukumannya di Mahkamah Rayuan.

Perkara utama yang tidak disetujui mengenai dapatan hakim perbicaraan tersebut adalah Mustapah tidak menyalahgunakan kepercayaan atau kuasa ke atas mangsa, dan mangsa juga bukan individu yang mudah terdedah kepada bahaya.

Ketiga-tiga mangsa berusia antara 16 dengan 17 tahun ketika kesalahan itu dilakukan.

Apabila mereka bertemu, Mustapah bersifat mesra dan akan menceritakan kepada mangsa pengalaman silamnya. Ketiga-tiga remaja mengetahui bahawa Mustapah merupakan bekas penjenayah dan anggota samseng.

Menurut dokumen mahkamah, mereka menganggapnya sebagai kawan rapat dan "abang".

Sekalipun demikian, ia tidak bermaknya Mustapah bertangungjawab terhadap mangsa, kata Hakim Judith Prakash ketika mengumumkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mereka hanya menjalin hubungan yang rapat sebelum kesalahan dilakukan, dan tiada penyalahgunaan kepercayaan dan kuasa dalam kes tersebut kata Hakim Prakash.

Hakim rayuan tersebut juga tidak bersetuju bahawa ketiga-tiga mangsa didedahkan kepada bahaya.

Mereka menarik perhatian bahawa seorang mangsa mungkin terdedah kepada bahaya disebabkan umur,
kelemahan dari segi fizikal, kecacatan atau gangguan mental, atau kesukaran belajar. Apabila ia berkaitan umur, mangsa yang berusia lebih muda lebih terdedah kepada bahaya.

"Mangsa tersebut bukanlah remaja muda, mereka berusia lebih tua, dan tiada satu pun daripada mereka mengalami kecacatan yang menyebabkan mereka terdedah kepada bahaya."

"Pendedahan kepada bahaya juga harus dinilai dengan mempertimbangkan keadaan peribadi seperti sama ada mangsa tidak berdaya kerana melarikan diri dari rumah," kata Hakim Prakash. Beliau berkata isu seperti itu tidak berlaku dalam kes tersebut.

Sebelum berlakunya serangan seksual itu, Mustapah menampar dan menendang mangsa, serta mengugut mereka, kata hakim.

Hakikat bahawa mereka cepat mematuhi permintaanya bermaksud mereka takut dengannya, dan tidak semestinya menunjukkan kelemahan, tambahnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan