Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman penjara lebih lama bagi 2 komander SCDF susuli rayuan pendakwa

Seorang komander rota dan timbalannya dijatuhi hukuman penjara lebih lama pada Isnin (26 Apr) atas kematian seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) di bawah jagaan mereka setelah rayuan dikemukakan oleh pihak pendakwa dan timbalannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman penjara lebih lama bagi 2 komander SCDF susuli rayuan pendakwa

Pegawai Waran Kanan Pertama Nazhan Mohamed Nazi dan Leftenan Chong Chee Boon Kenneth. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 26 Apr 2021 06:22PM Dikemas Kini : 26 Apr 2021 10:15PM

SINGAPURA: Seorang komander rota dan timbalannya dijatuhi hukuman penjara lebih lama pada Isnin (26 Apr) atas kematian seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) di bawah jagaan mereka setelah rayuan dikemukakan oleh pihak pendakwa dan timbalannya.

Bekas komander rota Balai Bomba Tuas View, Kenneth Chong Chee Boon dan timbalannya Nazhan Mohamed Nazi masing-masing dijatuhi hukuman penjara 11 bulan dan 10 bulan.

Hukuman penjara itu adalah bagi satu tuduhan dengan sengaja menolong beberapa anggota NSF yang lain sehingga menyebabkan Koperal (CPL) Kok Yuen Chin, 22 tahun, cedera parah akibat tindakan terburu-buru mereka yang membahayakan nyawa manusia.

Mereka juga didapati gagal menghalang para NSF di bawah jagaan mereka daripada menyuruh CPL Kok memasuki telaga pam sedalam 12 meter di balai bomba tersebut pada Mei 2018, sebagai sebahagian daripada kegiatan 'ragging' untuk meraikan Tarikh Tamat Perkhidmatan Negara (ORD) yang CPL Kok.

CPL Kok mati lemas setelah terbenam di dalam air selama lebih setengah jam. Dalam tempoh itu, para anggota rota cuba menyelamatkannya tetapi gagal.

Hakim See Kee Oon berkata, "sangat membimbangkan apabila sesetengah komander membenarkan ragging seperti ini dan menyifatkannya sebagai satu permainan semata-mata".

"Hukuman-hukuman yang dijatuhkan akan menyampaikan isyarat yang jelas bahawa tindakan seperti itu tidak boleh diterima (sama sekali) dalam NS," katanya, sambil menambah bahawa larangan terhadap ragging mesti dikuatkuasakan dan para komander NS mesti memikul tanggungjawab mereka untuk menghapuskannya.

Para pendakwa meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun terhadap kedua-dua lelaki itu, dengan mengatakan mereka "dengan sewenang-wenangnya mengabaikan tanggungjawab mereka", sehingga menyebabkan CPL Kok meninggal dunia tiga hari sebelum tarikh ORDnya.

"Kegagalan berterusan (para komander) untuk mengawal para anggota mereka dan mencegah mereka daripada membahayakan nyawa CPL Kok adalah penyalahgunaan kuasa mereka dan pecah amanah terhadap tanggungjawab mereka sebagai komander," tegas pihak pendakwa.

Peguam bela Chong meminta hukuman penjara 10 minggu, yang sudah dijalani anak guamnya itu semasa menunggu keputusan rayuannya, sementara peguam bela Nazhan pula meminta denda S$6,000.

Chong dan Nazhan sebelum ini masing-masing dihukum penjara selama 10 minggu oleh mahkamah rendah pada September 2020 atas tuduhan lebih ringan iaitu melakukan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa manusia.

Hakim mahkamah daerah telah mengurangkan pertuduhan setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan tidak membuktikan kes itu dengan keraguan yang munasabah.

Pihak pendakwa kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut kepada Mahkamah Tinggi, sambil meminta pertuduhan yang lebih serius dikembalikan, sementara Nazhan pula mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya. Chong tidak membuat rayuan dan sebaliknya menjalani hukuman penjara selama 10 minggu itu. Selepas keputusan mahkamah pada Isnin, dia akan menjalani hukuman penjara lagi lapan bulan dan dua minggu.

Hakim See Kee Oon memutuskan untuk pihak pendakwaan, dengan mengatakan bahawa berat bukti "menyokong sepenuhnya kesimpulan bahawa CPL Kok tidak menyertainya dengan rela".

Bapa CPL Kok, yang menghadiri sebahagian besar perbicaraan kes tersebut, memberitahu media menyusuli keputusan mahkamah rendah bahawa para komander itu seharusnya menghentikan apa yang sedang berlaku.

"Apa lagi yang dapat saya rasakan?" Kata beliau tentang keputusan mahkamah ketika itu. "(Anak saya) sudah tiada. Dia sudah tiada ... Kita perlu melalui hari-hari, kami tidak ada pilihan lain."

Kerana bersubahat menyebabkan kecederaan yang teruk melalui tindakan terburu-buru, kedua-dua komander itu boleh dihukum penjara selama empat tahun, didenda S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan