Skip to main content

Singapura

Hukuman penjara ke atas wanita acu pisau pada muka pelanggan, memeras wang di kafe Novena Square

Seorang wanita yang mengacukan pisau ke arah mangsa di sebuah kafe dan menuntut S$200 dihukum penjara selama 10 bulan pada Khamis (27 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman penjara ke atas wanita acu pisau pada muka pelanggan, memeras wang di kafe Novena Square

Pisau yang diambil dari meja makan dan digunakan Lam Hoe Lian. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 27 Mar 2025 03:29PM Dikemas Kini : 27 Mar 2025 03:30PM
SINGAPURA: Seorang wanita yang mengacukan pisau ke arah mangsa di sebuah kafe dan menuntut S$200 dihukum penjara selama 10 bulan pada Khamis (27 Mac).

Lam Hoe Lian, 51 tahun, telah mengambil pisau dan mengacukannya ke muka mangsa, yang baru sahaja selesai makan di Han's Cafe & Cake House di Novena Square.

Tiada sebarang kecederaan berlaku pada mangsa selepas pengurus restoran itu menjerit ke arah Lam, yang meletakkan pisau dan beredar dari restoran tersebut.

Lam mengaku bersalah atas satu tuduhan menakut-nakutkan mangsa.

Mahkamah diberitahu bahawa dia mengalami ketidakupayaan intelek dan mengalami skizofrenia yang berulang pada masa itu, yang kedua-duanya menyumbang kepada tindakannya.

Wanita itu pada mulanya didakwa atas percubaan merompak menggunakan senjata sebelum diarahkan direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemeriksaan kesihatan.

Pada 29 Ogos 2024, mangsa duduk di meja di Han's Cafe di Novena Square di mana dia baru menghabiskan makanannya pada sekitar pukul 9.30 pagi. Garpu dan pisau yang digunakannya berada di atas meja di hadapannya.

Mangsa sedang menggunakan telefon bimbitnya ketika Lam berjalan ke arah mejanya dan mengambil pisau 23cm itu.

Lam kemudian mengacukan pisau ke muka mangsa, kira-kira 30cm dari jarak mangsa. Dia memberitahu mangsa dalam Bahasa Mandarin bahawa dia memerlukan wang dan meminta S$200. Kerana cemas, mangsa mengangkat tangannya tetapi tidak bergerak.

Para pelanggan lain di kafe itu ternampak kejadian tersebut. Pengurus restoran itu juga melihat kejadian itu dan menjerit ke arah Lam supaya meletakkan pisau.

Lam kemudian meletakkan pisau di atas meja lalu beredar dan meninggalkan mangsa tanpa mengambil apa-apa. Dia meninggalkan kafe itu tidak lama kemudian.

Lam diberkas pada hari yang sama dan didakwa pada 30 Ogos tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Brian Tan mengusulkan hukuman penjara 11 hingga 13 bulan ke atas Lam selepas mengambil kira keadaan psikiatrinya.

Encik Tan memetik laporan IMH yang menyatakan bahawa Lam menyedari kesalahan itu dan sedia maklum bahawa "dia tahu apa yang dia lakukan" dan "dia melakukan sesuatu yang salah semasa mengambil pisau".

Bagaimanapun, "keadaan perubatannya mungkin telah menyumbang kepada tindakan dan pertimbangan yang lemah, serta proses (pemikiran) tidak teratur yang membawa kepada kesalahan itu", kata Encik Tan.

Beliau juga meminta mahkamah mengambil kira ancaman segera terhadap mangsa dan jarak pisau yang dekat dengan mukanya.

Dalam rayuannya, peguam Chong Shou En dari Pejabat Peguam Bela Awam (PDO) mengusulkan hukuman penjara selama 10 bulan, sambil menunjukkan bagaimana "interaksi" ketidakupayaan intelektual dan skizofrenia Lam menyumbang kepada kesalahan itu.

Beliau juga berhujah bahawa Lam tidak mempunyai rekod kesalahan ganas atau sebarang sejarah ganas secara fizikal.

Dari sudut ini, episod itu menjejas "kelakuannya", kata Encik Chong.

Timbalan Ketua Hakim Daerah Kessler Soh menganggap Lam sebagai pesalah kali pertama dan berkata beliau bersedia menerima hukuman yang dicadangkan oleh peguam bela sebagai "adil dan wajar".

Hakim memberitahu Lam bahawa seorang kaunselor akan membantunya supaya dia tidak melakukan kesalahan sekali lagi.

Ugutan jenayah membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Jika ugutan itu menyebabkan kematian atau kecederaan yang teruk, atau memusnahkan harta benda dengan api, atau menyebabkan kesalahan yang boleh dihukum mati atau dengan hukuman penjara tujuh tahun atau lebih, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita