Hukuman penjara Iswaran: Liputan media antarabangsa terhadap kes bersejarah
Penjatuhan hukuman terhadap mantan menteri pengangkutan Singapura S Iswaran telah menarik liputan media antarabangsa, terutama sekali kerana ia merupakan kes yang bertentangan dengan reputasi Singapura sebagai sebuah negara yang terkenal dengan tadbir urus yang baik.
(Gambar: CNA)
Malah, ia juga merupakan tema utama dalam kebanyakan rencana yang diterbitkan mengenai penjatuhan hukuman hari ini (3 Okt).
Hakim menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Iswaran, iaitu hukuman yang lebih berat berbanding tempoh hukuman penjara antara enam hingga tujuh bulan yang dimohon oleh pihak pendakwa.
Berikut antara liputan berita oleh agensi media antarabangsa berhubung prosiding mahkamah hari ini.
BBC
Tajuk berita BBC - 'Mantan Menteri Singapura dihukum penjara dalam kes yang jarang berlaku" - menggambarkan keadaan luar biasa persidangan mahkamah itu.
"Negara ini cukup berbangga dengan imejnya yang bersih dengan paling sedikit rasuah," kata wartawan BBC, yang menulis dalam rencananya bahawa kes itu bukan sahaja mencemari imej Singapura tetapi juga Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah.
Isu gaji menteri, yang merupakan topik hangat di Singapura, turut disebut dalam rencana itu.
NIKKEI
Bagi wadah berita NIKKEI dari Jepun pula, ia menggunakan tajuk berita lebih ringkas iaitu "Mantan Menteri Singapura Iswaran dihukum penjara selama setahun".
Namun, beberapa perenggan pembukaannya tertumpu pada reputasi Singapura, di mana ia menyatakan bahawa "ia merupakan kes rasuah yang menjejas negara itu yang terkenal dengan pemerintah yang bebas rasuah".
Rencana itu juga menarik perhatian kepada kata-kata Hakim Vincent Hoong apabila beliau menjatuhkan hukuman terhadap Encik Iswaran.
Menurut beliau, para pemegang jawatan politik 'adalah contoh kepada pegawai awam tentang bagaimana untuk menguruskan diri mengikut piawaian integriti yang tinggi'.
Ia turut menukil parti yang memerintah - di mana kes tersebut telah 'menggoyahkan' pemerintah pimpinan PAP.
BLOOMBERG
Bloomberg pula menyifatkan hukuman penjara itu sebagai 'isyarat jelas' bahawa Singapura 'tidak bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang melemahkan usahanya untuk memastikan tadbir urus bebas rasuah".
Sambil menyifatkan perbicaraan itu sebagai "kes bersejarah", rencana itu juga menarik perhatian kepada komen oleh Hakim Mahkamah yang berkata "kepercayaan dan keyakinan institusi-institusi awam adalah tunggak tadbir urus yang berkesan".
Perbicaraan itu yang bermula pada 24 September lalu, berakhir lebih awal daripada dijangkakan selepas Iswaran mengaku bersalah setelah pihak pendakwa meminda tuduhan rasuah kepada tuduhan lebih ringan iaitu menerima hadiah sebagai seorang pegawai awam.
Menurut Bloomberg, 'kesimpulan pantas itu' mungkin dapat 'bantu meredakan skandal yang menguji reputasi Singapura yang terkenal dengan tadbir urusnya yang bebas rasuah, sejak siasatan awal diumumkan pada tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.