Hukuman penjara bagi pekerja penghantaran Deliveroo; langgar wanita 72 tahun

(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Seorang lelaki pada Khamis (19 Mei) dihukum penjara selama empat hari kerana menunggang basikal elektrik di kaki lima dan menyebabkan seorang wanita lanjut usia terjatuh lalu patah bahunya.
S Davanand, 33 tahun, seorang pekerja penghantaran sambilan Deliveroo, mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan akibat perbuatan melulu yang mengancam keselamatan orang lain.
Satu lagi tuduhan menunggang basikal elektrik di kaki lima turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.
Pada petang 30 Mac 2020, mangsa, yang ketika itu berusia 72 tahun, sedang berjalan di kaki lima di Lorong 1 Toa Payoh untuk menjemput cucu perempuannya pulang dari sekolah.
Pada masa yang sama, Davanand sedang menunggang basikal elektriknya dari arah yang bertentangan di kaki lima yang sama.
Berat basikal elektrik itu adalah sekitar 20.05 kilogram, melebihi berat maksimum yang dibenarkan iaitu seberat 20 kilogram.
Davanand tahu bahawa kaki lima itu terdapat ramai pejalan kaki kerana dia ternampak mereka menjemput anak masing-masing dari sekolah rendah berkenaan, dedah pihak pendakwa.
Dia bagaimanapun tetap menunggang basikal elektriknya di kaki lima tersebut, melulu melepasi mangsa dan gagal menjaga jarak selamat dengan mangsa.
Ini menyebabkan mangsa terjatuh setelah payungnya tersangkut pada basikal elektrik tersebut. Rahang dan bahu kanan mangsa terkena kaki lima tersebut dan mangsa diseret di sepanjang laluan pejalan kaki untuk jarak yang singkat.
"Kemalangan itu berlaku sungguh pantas sehingga mangsa tidak tahu dia dilanggar," kata Timbalan Pendakwa Raya Kenny Yang.
Davanand menghentikan basikal elektriknya untuk memeriksa keadaan mangsa sebelum meninggalkan tempat kejadian.
Yuran perubatan mangsa bernilai lebih S$17,000, dengan Deliveroo membayar balik S$8,000 daripada bil tersebut.
Mangsa membayar kira-kira S$550 selepas mendapatkan perlindungan insurans, yang dibayar balik oleh Davanand.
Kedua-dua pihak pendakwa dan peguam bela mengusulkan tempoh hukuman penjara yang lebih singkat.
Bagi kesalahan melakukan tindakan melulu yang boleh mengancam keselamatan orang lain, Davanand boleh dihukum penjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.