Skip to main content

Singapura

Hukuman penjara 6 minggu bagi lelaki mabuk buang basikal dari tingkat 10

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman penjara 6 minggu bagi lelaki mabuk buang basikal dari tingkat 10

Gambar Hiasan: (Gambar: Facebook/ Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)

SINGAPURA: Dia menunggu teman wanitanya di rumahnya selama beberapa jam, sambil meminum bir untuk menghabiskan masa tetapi apabila dia tidak menjawab panggilan telefonnya, dia membuang basikal dari tingkat sepuluh sebuah blok perumahan awam untuk melepaskan kemarahannya.

Pada Selasa (15 Mac), warga Singapura, A Harinthear, 23 tahun dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan perbuatan terburu-buru.

Dia juga didenda S$1,000 atas kesalahan tidak memakai pelitup di tempat awam pada hari tersebut.

Pendakwa raya mengusulkan hukuman penjara antara enam hingga lapan minggu atas kesalahan melakukan perbuatan terburu-buru sambil berhujah bahawa perbuatan tertuduh boleh menimbulkan tahap bahaya yang tinggi.

Keadaan mabuk Harinthear serta kesalahan-kesalahan lalu yang melibatkan perbuatan nakal dan kesalahan-kesalahan berkaitan dadah turut dibangkitkan sebagai antara faktor di sebalik usulan bagi hukuman yang lebih berat.

Denda S$1,000 diusulkan di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) kerana Harinthear tidak memakai pelitup di tempat awam.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama enam minggu dan denda S$1,000 ke atas Harinthear. Hakim juga mengarahkan Harinthear supaya membayar S$90 sebagai pampasan kepada pemilik basikal berkenaan.

Atas kesalahan melakukan perbuatan terburu-buru atau cuai yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan melanggar peraturan COVID-19, denda sehingga S$10,000 atau hukuman penjara tidak lebih daripada enam bulan bagi kesalahan pertama boleh dikenakan.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita