Skip to main content

Singapura

Hukuman penjara 12 bulan, denda S$2,500 bagi siswa penyakit intai ini

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura yang menuntut di sebuah universiti di United Kingdom (UK) dikenakan hukuman penjara selama setahun dan denda sebanyak S$2,500 pada Rabu (22 Jun) kerana merakam video sejumlah wanita secara haram dan tanpa pengetahuan mereka, dengan sesetengah video dirakam sewaktu mereka berkumpul di rumahnya. 

Colin Chua Yi Jin, 24 tahun, mengaku bersalah pada Julai tahun lalu atas tujuh tuduhan menghina kehormatan wanita-wanita itu dan tuduhan kelapan pula kerana memiliki filem-filem lucah. Lagi lapan tuduhan kerana menghina kehormatan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman. 

Tidak seperti kes-kes biasa yang melibatkan kesalahan-kesalahan seksual, nama Chua didedahkan setelah 11 mangsanya menggesa mahkamah supaya menarik balik arahan yang tidak mendedahkan identitinya. 

Hakim Besar Sundaresh Menon mengarahkan agar identiti Chua didedahkan pada September tahun lalu. 

Mahkamah biasanya mengeluarkan arahan untuk tidak mendedahkan nama tertuduh bagi melindungi identiti mangsa kesalahan seksual. Apabila tertuduh dikaitkan dengan mangsa, arahan mahkamah itu juga boleh meliputi identitinya, sekalipun tujuan sebenar adalah untuk melindungi mangsa. 

Nama para mangsa Chua serta hubungan mereka dengannya dan sekolah yang mereka hadiri masih tertakluk di bawah arahan tersebut dan tidak boleh diterbitkan. 

APA KESALAHAN CHUA 

Chua merakam video bawah skirt mangsa dan juga ketika mangsa sedang mandi antara 2014 hingga 2015 sewaktu dia menuntut di maktab rendah di Singapura, antara 2016 hingga 2018 semasa dia merupakan Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) dan sejak Oktober 2018 ketika dia menuntut di sebuah universiti di UK. 

Chua akan menganjurkan keramaian dan mengundang para mangsa ke rumahnya tetapi dia akan memasang alat rakaman di tandas untuk merakam para mangsa. 

Sesetengah video yang dirakam itu akan dimuat naik ke laman web pornografi dan ditonton beribu-ribu kali. 

Chua menganggarkan jumlah video yang dirakamnya mungkin "beratus-ratus banyaknya". Menurut Chua, dia melakukan kesalahan-kesalahan tersebut apabila berasa tertekan akibat kerja sekolah atau kerja, dan merasakan bahawa perbuatan merakam mangsa merupakan satu 'ketagihan' buatnya. 

Timbalan Pendakwa Raya Tan Zhi Hao dan Ng Shao Yan mengusulkan hukuman penjara sekurang-kurangnya selama 13 bulan dan denda sebanyak S$3,500, sambil berhujah bahawa Chua adalah pesalah berulang yang mengambil kesempatan daripada hubungan dengan rakan-rakannya untuk merakam video sedemikian. 

Pihak pendakwa menyifatkan kesalahan Chua sebagai "salah satu kes penyakit intai yang paling direncanakan untuk dikemukakan di mahkamah" dan menegaskan bahawa Chua memang sudah merancang untuk menjerat mangsa.

Mereka turut menarik perhatian kepada trauma jangka panjang yang dialami para mangsa, yang berasa terkejut, tertipu dan ketakutan. 

Sesetengah mangsa juga berasa kesal kerana memperkenalkan rakan-rakan mereka kepada Chua dan mendedahkan mereka kepada perbuatan jahatnya itu. 

Pihak pendakwa menegaskan bahawa Chua tidak berasa kesal, tidak bekerjasama sewaktu siasatan dijalankan dan memberikan "respons yang tidak masuk akal dan tidak boleh dipercayai" kepada pihak polis, termasuk mendakwa seolah-olah tidak mengenali tandas sendiri dan rakan-rakannya.

Menurut pihak pendakwa, terdapat kemungkinan ramai lagi mangsa yang belum dikenal pasti, lebih-lebih lagi setelah Chua mengakui bahawa dia sudah merakam "beratus-ratus" video. 

Hukuman bagi menghina kehormatan wanita adalah hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Jika sesiapa didapati bersalah kerana memiliki filem lucah, dia boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya S$500 bagi setiap filem sehingga S$20,000 kesemuanya, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita