Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman mati banduan akhir ditangguh 2 hari sebelum dia digantung

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman mati banduan akhir ditangguh 2 hari sebelum dia digantung

Pagar masuk Penjara Changi. (Gambar fail: Singapore Prison Services)

Diterbitkan : 27 Feb 2025 05:35PM Dikemas Kini : 27 Feb 2025 05:39PM
SINGAPORE: Hukuman mati ke atas seorang banduan akhir ditangguhkan kira-kira dua hari sebelum dia dijadualkan untuk digantung pada Rabu (26 Feb), menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Khamis (27 Feb).

Hamzah Ibrahim dijatuhi hukuman mati pada 2017 selepas dia disabit kesalahan memiliki 26.29 gram heroin yang bertujuan untuk diedarkan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, MHA menyatakan bahawa Hamzah dijadualkan untuk digantung pada Rabu kerana dia sudah menggunakan semua saluran undang-undang yang berkaitan dengan sabitan dan hukumannya, termasuk proses pengampunan.

Pada Isnin (24 Feb), dia diberikan perintah penangguhan sementara oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam. Perintah penangguhan itu bukan satu pengampunan.

Menurut MHA barisan menteri Kabinet menasihati presiden bahawa perintah sedemikian harus dikeluarkan untuk Hamzah selepas mengambil kira "perkembangan terkini" di mahkamah.

Perkembangan ini, yang mungkin relevan dengan kes Hamzah, adalah keputusan Mahkamah Rayuan untuk memberikan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi Pannir Selvam Pranthaman, seorang pengedar dadah yang disabit kesalahan.

KES PANNIR

Pannir disabit kesalahan pada 2 Mei 2017 kerana mengimport dadah melebihi 51.84 gram heroin ke Singapore dan dijatuhi hukum mati.

Dia dijadualkan untuk menjalani hukuman gantung pada 20 Februari namun memohon kebenaran untuk membuat permohonan pasca rayuan dalam kes hukuman mati di hadapan Mahkamah Rayuan.

Hakim tersebut berkata beliau memerintahkannya sementara menunggu penentuan aduan Pannir kepada Persatuan Peguam terhadap peguamnya yang sebelum ini dan hasil cabarannya terhadap perlembagaan.

Keputusan itu adalah yang terkini dalam usaha Pannir menentang hukuman matinya.

Selepas sabitan dan hukumannya, dia memfailkan rayuan namun ia ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 9 Februari 2019.

Selepas ditolak, Pannir, keluarganya dan peguam-peguamnya mengemukakan petisyen pengampunan kepada presiden, yang kemudiannya menolak untuk mengubah hukuman mati ke atasnya.

Pannir dan keluarganya dimaklumkan bahawa dia akan dihukum gantung pada 24 Mei 2019.

Tiga hari sebelum pelaksanaan hukuman yang dijadualkan itu, Pannir memfailkan satu lagi permohonan memohon penangguhan pelaksanaan hukumannya untuk mencabar hasil petisyen pengampunan, antara alasan-alasan lain.

Penangguhan itu diluluskan dan Pannir diberi masa untuk memfailkan permohonannya.

Satu siri permohonan dan prosiding semakan kehakiman lain dijalankan, termasuk satu di mana dia adalah sebahagian daripada sekumpulan banduan yang mengambil tindakan undang-undang berhubung pendedahan surat banduan dengan orang lain oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Mahkamah memutuskan pada Oktober 2024 bahawa SPS dan AGC telah bertindak melanggar kerahsiaan banduan dengan mendedahkan dan menyimpan surat-surat mereka.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan