Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah demi kepentingan warga S'pura, tegas Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata pada Jumaat (2 Sep) bahawa dasar Singapura berhubung hukuman mati bagi kesalahan mengedar adalah demi kepentingan rakyat Singapura.

Encik Shanmugam berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mengenai bagaimana Singapura mengimbangi pandangan-pandangan yang bercanggah, baik di dalam mahupun luar negeri, mengenai isu tersebut semasa mengadakan sesi dialog dengan para mahasiswa dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

"Hujah pertama saya (ialah) apakah tugas saya sebagai seorang menteri? Adakah kita mengatakan bahawa kita mempunyai hukuman yang berat semata-mata kerana kita mahu menunjukkan ketegasan kita? Adakah kerana terdapat kemuliaan apabila kita menjadi tegas? Tidak sama sekali," tegas menteri tersebut.

"Dari sesuatu yang biasa-biasa saja seperti membina jalan raya, menamakan sebuah bangunan mahupun menggubal dasar - sama ada mengenai penerbangan, jagaan kesihatan, Belanjawan, sehingga ke jenis hukuman yang kita ada terhadap membuang sampah sembarangan, mencabul kehormatan, merogol, pembunuhan, dadah. Kesemua itu haruslah berdasarkan pandangan tertentu mengenai apakah demi kepentingan rakyat Singapura."

Encik Shanmugam turut merujuk kepada tinjauan yang dijalankan oleh kementeriannya ke atas penduduk bukan rakyat Singapura dari bahagian-bahagian di rantau ini, dengan 83 peratus responden mengatakan bahawa hukuman mati membuatkan ramai orang tidak mahu mengedar sejumlah besar dadah ke Singapura.

"Jika saya memansuhkan hukuman mati, pengaliran dadah ke Singapura akan menjadi lebih tinggi. Kehidupan anda, kehidupan adik-beradik anda, banyak nyawa lain akan terancam. Lebih ramai orang akan mati di Singapura jika kita memansuhkan hukuman mati," tambah Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam turut menyebut tinjauan berasingan yang dijalankan oleh kementeriannya yang menunjukkan bahawa 87 peratus warga Singapura menyokong hukuman mati.
Singapura, menurut Encik Shanmugam, bukan satu-satunya negara yang menguatkuasakan hukuman mati. Malah, hukuman mati turut dilaksanakan di tiga negara terbesar di dunia termasuk China, India dan Amerika Syarikat (AS).

"Kesemua tiga (negara) menguatkuasakan hukuman mati, maka itu amalan antarabangsa yang mana satu anda maksudkan?"

Encik Shanmugam juga menyebut tentang kes berprofil tinggi melibatkan seorang pengedar dadah warga Malaysia, Nagaenthran Dharmalingam, yang dihukum mati pada April lalu. Kes itu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, dengan tajuk utama berita menumpukan perhatian kepada kekurangan daya intelektualnya.

Encik Shanmugam turut menarik perhatian kepada bagaimana Amerika Syarikat melaksanakan hukuman mati ke atas dua lelaki dengan julat IQ yang serupa dengan Nagaenthran, sekitar masa yang sama dengan tempoh rayuan terakhir warga Malaysia itu ditolak.

Dalam responnya, Encik Shanmugam juga menyentuh tentang kesan najis dadah sambil memetik beberapa contoh dan statistik seperti laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan bahawa sekitar sekitar 500,000 kematian setiap tahun dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

"Mengapa tiada pertanyaan yang diajukan mengenai perangkaan itu? ... Nyawa mereka tidak penting?" tanya Encik Shamugam kepada para peserta dialog.

Encik Shanmugam juga menekankan bahawa di Singapura, bantuan dihulurkan kepada para penyalah guna dadah "yang tidak melakukan sebarang kesalahan lain".

Pendekatan Singapura adalah untuk merawat penyalah guna dadah sebagai "individu yang memerlukan bantuan" dan mereka tidak akan dipenjarakan atau mempunyai rekod jenayah.

Sebaliknya, bergantung kepada penggunaan dadah dan kekerapan pengambilannya, mereka mungkin boleh dihantar ke pusat pemulihan dadah atau tertakluk kepada perintah penyeliaan.

"Tetapi apabila kita memberkas seorang pengedar dadah, kita menangani mereka dengan tegas. Saya bersedia untuk mempertahankan kedudukan ini di mana-mana saja, sambil menyangkal kesemua kenyataan tidak benar, yang sengaja bertujuan untuk mempengaruhi pemikiran anda dengan maklumat yang tidak benar," tegas Encik Shanmugam.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan