Hukuman lebih berat diusul terhadap perlumbaan haram & sikap agresif di jalan raya
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyarankan hukuman yang lebih berat terhadap perlumbaan haram, berkelakuan agresif di jalan raya dan perbuatan mengaku sebagai pemandu yang melakukan kesalahan-kesalahan trafik semata-mata untuk melindungi pemandu sebenar.
SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyarankan hukuman yang lebih berat terhadap perlumbaan haram, berkelakuan agresif di jalan raya dan perbuatan mengaku sebagai pemandu yang melakukan kesalahan-kesalahan trafik semata-mata untuk melindungi pemandu sebenar.
Pindaan-pindaan itu, yang bertujuan untuk menjadikan jalan raya lebih selamat, dibentangkan dalam Rang Undang-Undang (Pindaan) Lalu Lintas Jalan Raya pada Isnin (5 Apr).
Kali terakhir Akta Lalu Lintas Jalan Raya dipinda adalah pada 2019 bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap para pemandu yang memandu dengan berbahaya atau semasa dalam keadaan mabuk.
Ini sejajar dengan usaha berterusan Polis Trafik (TP) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya dengan mengetatkan lagi langkah-langkah penguatkuasaan, hukuman, pendidikan awam dan infrastruktur jalan raya.
Pindaan-pindaan itu diusulkan meskipun trend kematian di jalan raya dan kadar kematian akibat nahas trafik semakin merosot sepanjang 10 tahun lalu.
Menjadi sasaran MHA adalah perlumbaan haram di mana para pemandu memandu pada kelajuan yang melebihi had yang ditetapkan dan menunjukkan tingkah laku memandu berbahaya yang lain.
Pada 2020, TP mendapati sekurang-kurangnya 26 orang terlibat dalam perlumbaan haram berbanding 17 individu yang didakwa atas kesalahan tersebut dari 2015 hingga 2019.
MHA akan menaikkan denda dan tempoh hukuman penjara terhadap perlumbaan haram dan menyelaraskannya dengan hukuman bagi kesalahan memandu secara berbahaya yang membahayakan nyawa.
Para pesalah kali pertama boleh dihukum penjara sehingga setahun dan didenda sehingga S$5,000 berbanding hukuman penjara maksimum selama enam bulan dan denda S$2,000 yang dikenakan sekarang.
Para pesalah berulang pula boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$10,000, naik dari hukuman penjara maksimum selama setahun dan didenda S$3,000.
KELAKUAN AGRESIF DI JALAN RAYA
MHA juga akan mengetatkan lagi undang-undang terhadap sikap agresif di jalan raya dan para pemandu yang melakukan kesalahan sedemikian boleh dilarang daripada memandu.
Di bawah undang-undang sedia ada, para pemandu yang berkelakuan agresif boleh dilarang daripada memandu jika mereka melanggar beberapa syarat, termasuk disabitkan dengan kesalahan di bawah Kanun Jenayah tertentu dalam konteks bertindak agresif di jalan raya.
Kesalahan-kesalahan itu termasuk sengaja menyebabkan kecederaan, menyebabkan kematian akibat perbuatan cuai dan menahan seseorang secara paksa.
Pada November tahun lalu, pemandu kereta mewah Maserati dihukum penjara selama tujuh hari kerana melemparkan kata-kata kesat yang berunsur keagamaan terhadap seorang pegawai polis trafik yang tidak bertugas ketika itu.
Bagaimanapun kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu - menyebabkan gangguan dan mengungkapkan kata-kata yang memang berniat untuk menyinggung perasaan seseorang dari segi agama atau kaum - bermakna dia tidak diharamkan daripada memandu. Kesalahan-kesalahan itu bukan sebahagian daripada senarai kesalahan khusus di bawah Kanun Jenayah.
MHA turut menyarankan untuk meminda peruntukan bagi kesalahan-kesalahan sedemikian agar ia merangkumi semua kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis dalam konteks berkelakuan agresif di jalan raya.
BERPURA-PURA SEBAGAI PEMANDU BERSALAH
MHA juga akan menghukum sesiapa saja yang menghalang, mencegah atau mengganggu proses keadilan bagi insiden jalan raya, termasuk perbuatan yang sanggup mengaku sebagai pemandu yang melakukan kesalahan-kesalahan trafik semata-mata untuk melindungi pemandu sebenar.
Para individu yang sanggup berbuat demikian juga mungkin diharamkan daripada memandu.
Ini kerana sesetengah pemandu akan berpakat dengan pihak ketiga supaya mata demerit tidak dikenakan ke atas pemandu sebenar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.