Skip to main content

Singapura

Hukuman lebih berat diusul bagi kesalahan memandu secara berbahaya hingga cedera parah, pandu dalam keadaan mabuk

Singapura sedang menimbangkan untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan cedera parah, dengan tempoh hukuman penjara maksimum dinaikkan bagi para pesalah jika pindaan terhadap undang-undang lalu lintas diluluskan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Jul 2026 03:04PM Dikemas Kini : 07 Jul 2026 10:36PM
SINGAPURA: Singapura sedang menimbangkan untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan cedera parah, dengan tempoh hukuman penjara maksimum dinaikkan bagi para pesalah jika pindaan terhadap undang-undang lalu lintas diluluskan.

Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri Sim Ann membentangkan Rang Undang-Undang Lalu Lintas Jalan Raya (Pindaan-Pindaan Lain) di parlimen pada Selasa (7 Jul), dengan beberapa pindaan diusulkan terhadap undang-undang tersebut.

Selain hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu secara berbahaya atau cuai, Rang Undang-Undang itu mengusulkan agar had alkohol dikurangkan lagi bagi kes kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Jumlah kematian dan kecederaan di jalan raya meningkat pada 2025, meneruskan apa yang disifatkan oleh pihak polis sebagai "trend meningkat yang berterusan".

Antara 2021 dengan 2025, jumlah kematian di jalan raya meningkat sekitar 24 peratus, manakala kesalahan melanggar peraturan jalan raya melonjak sekitar 38 peratus.

"Jalan raya kita semakin tidak selamat... Bagi mengatasi trend ini, kita akan mengetatkan penguatkuasaan dan hukuman terhadap kesalahan trafik," menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan media.

HUKUMAN LEBIH BERAT

Rang Undang-Undang tersebut memperkenalkan kesalahan baharu iaitu membahayakan orang lain dengan sengaja menggunakan kenderaan sehingga menyebabkan kematian atau cedera parah.

"Sebuah kenderaan menjadi berbahaya jika ia disalahgunakan. Di mana seorang pemandu membahayakan nyawa orang lain dengan sengaja menggunakan kenderaan sehingga menyebabkan kematian, dia mesti dipertanggungjawabkan dengan hukuman yang bersesuaian dengan tahap kesalahan dan kemudaratan perbuatannya."

Pesalah sedemikian berkemungkinan akan didakwa atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Tempoh hukuman penjara maksimum bagi pesalah kali pertama adalah selama lapan tahun.

"Terdapat lebih banyak langkah pencegahan dan kesan lebih dahsyat atas kelakuan sedemikian," menurut MHA.

Ia menambah, kesalahan baharu itu termasuk kecederaan parah sama ada kematian mangsa dan bukan dalam kawalan pesalah.

MHA turut memberi beberapa contoh mengenai perbuatan membahayakan orang lain secara sengaja.

Seorang pemandu kereta memandu dekat di belakang sebuah motosikal dan menekan hon beberapa kali.

Ini membahayakan keselamatan penunggang motosikal tersebut dan pemandu kereta itu melakukan demikian dengan hasrat membahayakan keselamatan penunggang motosikal tersebut.

Pemandu itu kemudian hilang kawalan kereta yang dipandunya dan bertembung dengan bahagian belakang motosikal tersebut, menyebabkan penunggang motosikal itu tercampak lalu meninggal dunia.

Ini menyebabkan pemandu kereta itu bersalah atas kesalahan menimbulkan bahaya dengan sengaja.

Para pesalah boleh dikenakan hukuman penjara wajib selama sehingga 15 tahun, dan boleh disebat atau didenda.

Mereka juga boleh dikenakan larangan memandu seumur hidup melainkan pihak mahkamah menentukan sebab-sebab khas untuk tidak berbuat demikian, menurut MHA.

Dalam kes seperti itu, para pesalah dilarang memandu selama sekurang-kurangnya 10 tahun.

Mahkamah juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan supaya kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu disita.

MHA juga menyatakan sesetengah bentuk kecederaan parah boleh membawa "kesan yang buruk dan ketara" seperti kecederaan otak traumatik yang boleh menyebabkan pesakit terlantar di atas katil buat selama-lamanya.

Di bawah Rang Undang-Undang tersebut, hukuman maksimum bagi kesalahan memandu dengan cuai dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah mungkin dinaikkan, membawanya lebih dekat dengan hukuman bagi kesalahan menyebabkan kematian.

MEMPERKETATKAN PERATURAN MEMANDU DALAM KEADAAN MABUK DAN MENGAMBIL DADAH

Pindaan yang diusulkan termasuk menurunkan had memandu dalam keadaan mabuk, yang pertama kali diumumkan semasa perbahasan belanjawan MHA pada Januari lalu.

Had sedia ada sebanyak 35 mikrogram alkohol bagi setiap 100 ml nafas akan dikurangkan kepada 15 mikrogram alkohol bagi setiap 100 ml nafas.

Begitu juga had bagi ujian darah akan dikurangkan daripada 80 miligram alkohol bagi setiap 100 ml kepada 30 ml alkohol bagi setiap 100ml.

Had alkohol yang diketatkan itu menjadikan Singapura selaras dengan undang-undang lain seperti di Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.

"Tiada jumlah minuman keras 'selamat' diminum sebelum memandu; kesan minuman keras terhadap individu adalah berbeza bergantung kepada faktor-faktor termasuk jantina, usia, kesihatan dan komposisi tubuh seseorang," menurut MHA.

"Kami sangat menggalakkan para pemandu supaya tidak meminum arak langsung jika mereka merancang untuk memandu, kerana ia adalah pendekatan paling selamat supaya tidak melebihi had yang ditetapkan.

"Walau bagaimanapun, sebagai gambaran umum, had yang diperketatkan itu bersamaan dengan kira-kira 1.5 minuman keras biasa bagi lelaki dan tidak melebihi satu minuman keras bagi wanita, yang diambil tiga jam sebelum memandu."

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) juga akan bekerjasama dengan panel penasihat untuk membangunkan garis panduan bagi menyarankan hukuman penjara untuk pesalah kali pertama yang memandu dengan paras alkohol dalam darah yang sangat tinggi.

Rang Undang-Undang tersebut memperkenalkan satu kesalahan baharu iaitu memandu dengan kehadiran dadah terkawal, bahan memabukkan atau bahan psikoaktif yang dikesan dalam spesimen darah pemandu.

Buat masa ini, tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil setelah terbukti bahawa pemandu tidak layak memandu dan tidak berupaya mengawal kenderaannya dengan betul.

Di bawah undang-undang yang diusulkan, pemandu yang ditemui dengan bahan-bahan itu – seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Akta Bahan Memabukkan dan Akta Kawalan Tembakau dan Vape – dalam saluran darah mereka semasa memandu akan didakwa atas kesalahan, tanpa mengira kuantiti bahan tersebut yang dikesan atau sama ada terdapat sebarang kemerosotan yang diperhatikan dalam pemanduan.

Walau bagaimanapun, pemandu tidak akan didakwa atas kesalahan itu jika dia mengambil dadah tersebut berdasarkan preskripsi sah atas sebab-sebab perubatan, dan tidak tahu bahawa pengambilannya mungkin menjejaskannya semasa memandu.

"Untuk kejelasan, pemandu yang mengambil sebarang bentuk dadah, termasuk ubat-ubatan, dan yang terjejas serta tidak berupaya mengawal kenderaan dengan betul akan dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang sedia ada," kata MHA.

UJIAN NAFAS DAN DARAH

Pindaan lain yang dicadangkan juga termasuk meminda proses ujian nafas polis trafik untuk menggunakan penganalisis bukti nafas mudah alih yang berhasil memberikan hasil ujian dengan serta-merta di tempat kejadian yang boleh digunakan sebagai bukti dalam prosiding undang-undang.

Polis trafik mula merintis peranti baharu itu pada September lalu sebagai sebahagian daripada usaha untuk membanteras kesalahan memandu ketika mabuk.

Buat masa ini, pegawai polis trafik menjalankan ujian nafas awal di tempat kejadian sebelum menjalankan satu lagi ujian nafas di balai polis yang boleh digunakan sebagai bahan bukti.

Perbezaan masa antara kedua-dua ujian boleh menyebabkan bacaan alkohol yang lebih rendah daripada paras sebenar sewaktu memandu, menurut MHA.

Di bawah Akta Lalu Lintas Jalan raya, spesimen darah boleh diambil daripada pesakit di hospital jika pengamal perubatan berdaftar yang bertanggungjawab terhadap penjagaan pesakit itu memberikan kebenaran – lisan atau bertulis – selepas penilaian bahawa berbuat demikian tidak akan menjejaskan penjagaan atau rawatan yang sewajarnya bagi pesakit.

Jika diluluskan, undang-undang baharu itu memerlukan pengamal perubatan berdaftar atau jururawat yang mengambil spesimen – dan mana-mana orang lain yang memberi arahan atau menyelia pengambilan spesimen darah – masing-masing berpuas hati bahawa pengambilan spesimen tidak membahayakan pesakit.

Ini menyelaraskan Akta Lalu Lintas Jalan raya dengan perundangan lain, di mana perlindungan undang-undang memberi tumpuan kepada keselamatan pesakit dan bukannya prosedur kebenaran yang berasingan, kata MHA.

PENGUATKUASAAN

Rang Undang-Undang itu juga akan menjelaskan bahawa tempoh hilang kelayakan bagi pesalah yang dipenjarakan hanya akan bermula selepas dia dibebaskan dari penjara, walaupun dia dipenjarakan atas kesalahan yang tidak berkaitan.

Polis trafik memproses beratus ribu pelanggaran lalu lintas setiap tahun, yang sebahagian besarnya dikesan oleh kamera.

Pada masa ini, para pegawai dikehendaki oleh undang-undang untuk menyemak secara manual setiap foto atau video bagi menentukan sama ada kesalahan telah dilakukan, serta mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan. Mereka kemudian mengeluarkan notis kepada pemilik kenderaan untuk memberikan butiran pemandu dalam tempoh 14 hari.

Rang Undang-Undang ini meminda undang-undang untuk membolehkan polis trafik memperkenalkan sistem membuat keputusan automatik untuk menilai sama ada kesalahan telah dilakukan, dan untuk mengeluarkan notis sedemikian secara automatik kepada pemilik kenderaan.

"Sistem ini hanya akan digunakan untuk memproses pelanggaran teknikal yang boleh disahkan secara objektif daripada bukti fotografi atau video, seperti pelanggaran had laju dan lampu merah, dan yang tidak memerlukan pembuktian unsur mental seseorang," kata MHA.

Jika kenderaan atau kesalahan dikenal pasti secara salah oleh sistem, pemilik boleh memohon agar notis tersebut dibatalkan. Polis trafik akan menyemak rayuan sedemikian secara manual.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita