Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman keras terhadap pemegang permit kerja yang pinjam wang daripada pemiutang haram

Para pemegang permit kerja yang meminjam wang daripada para peminjam wang tanpa lesen akan dihantar pulang ke negara asal dan dilarang daripada bekerja di Singapura di bawah denda-denda baru yang sedang diusulkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman keras terhadap pemegang permit kerja yang pinjam wang daripada pemiutang haram

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 04 Oct 2018 10:47PM Dikemas Kini : 04 Oct 2018 11:31PM

SINGAPURA: Para pemegang permit kerja yang meminjam wang daripada para peminjam wang tanpa lesen akan dihantar pulang ke negara asal dan dilarang daripada bekerja di Singapura di bawah denda-denda baru yang sedang diusulkan.

Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengumumkan demikian dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis (4 Okt).

"Apabila seorang pemegang permit kerja didapati meminjam wang daripada pemiutang wang tanpa lesen, MOM akan memaklumkan majikannya dan membatalkan pas mereka," menurut kedua-dua kementerian itu. "Pekerja asing itu kemudian akan dihantar pulang ke negara asal dan dilarang daripada bekerja di Singapura pada masa hadapan."

Permohonan yang dibuat oleh para majikan untuk terus menggajikan para pekerja asing itu akan dipertimbangkan berdasarkan kes demi kes.

Denda-denda baru akan dilaksanakan pada 2019.

Selain itu, jumlah wang yang para pekerja asing di Singapura boleh pinjam daripada pemiutang wang berlesen juga akan dihadkan.

Had pinjaman agregat bagi meminjam wang daripada pemiutang wang berlesen, yang diumumkan pada awal tahun ini, akan dilanjutkan dari semua rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) kepada pekerja asing yang tinggal di negara ini.

Had itu yang akan dilaksanakan pada suku keempat 2018, menyekat jumlah wang yang boleh dipinjam oleh seseorang individu.

Kedua-dua kementerian menyatakan bahawa ia mendapati peningkatan pada jumlah pekerja asing yang meminjam wang daripada para pemiutang wang berlesen - naik daripada 7,500 pada 2016 kepada 35,000 pada separuh pertama 2018.

Polis juga mendapati lebih ramai warga asing yang tinggal di Singapura meminjam wang daripada para peminjam wang tanpa lesen.

Pada masa yang sama, rangka kerja pengecualian diri yang diumumkan sebelum ini juga akan dilanjutkan kepada warga asing yang menetap di Singapura.

Rangka kerja itu akan melarang para peminjam wang berlesen daripada meminjamkan wang kepada mereka yang sudah mendaftar untuk mengecualikan diri mereka, dan ia akan dilaksanakan pada tahun depan.

"Rangka kerja ini akan membantu para peminjam mengawal tabiat meminjam wang dan menyertai dalam skim-skim bantuan hutang yang biasanya memerlukan mereka mengecualikan diri," menurut kenyataan itu.

MOM dan pihak polis juga akan mempertingkatkan usaha pendidikan bagi para pemegang permit kerja mengenai risiko meminjam wang. Perlindungan pinjaman juga dikenakan ke atas para warga asing yang merupakan pemegang Permit Kerja, Pas Lawatan Jangka Panjang, Pas Lawatan Jangka Pendek, Pas Tanggungan dan Pas Pelajar.

Ia tidak dikenakan ke atas warga asing yang melawat Singapura buat sementara seperti para pelancong.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan