Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hukuman bagi 3 kesalahan seksual dinaikkan setahun

Hukuman maksimum bagi tiga jenis kesalahan seksual masing-masing akan dinaikkan setahun, berikutan langkah mengkaji semula bagaimana sesetengah jenayah seksual dan berkaitan keganasan dikenakan hukuman oleh mahkamah Singapura, kata Menteri Undang-Undang K Shanmugam pada Jumaat (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman bagi 3 kesalahan seksual dinaikkan setahun
Diterbitkan : 05 Mar 2021 02:27PM Dikemas Kini : 05 Mar 2021 02:28PM

SINGAPURA: Hukuman maksimum bagi tiga jenis kesalahan seksual masing-masing akan dinaikkan setahun, berikutan langkah mengkaji semula bagaimana sesetengah jenayah seksual dan berkaitan keganasan dikenakan hukuman oleh mahkamah Singapura, kata Menteri Undang-Undang K Shanmugam pada Jumaat (5 Mac).

Selain itu, rayuan pengurangan hukuman bagi jenis-jenis kesalahan tertentu berdasarkan kelayakan pendidikan atau potensi akademik pesalah "tidak seharusnya dianggap cukup penting", kata Encik Shanmugam dalam satu kenyataan menteri di Parlimen.

"Anda tidak sepatutnya dapat pergi ke mahkamah dan mengatakan anda mempunyai masa depan cerah, anda akan melangkah jauh dan sebagainya," kata Encik Shanmugam yang juga merupakan Menteri Ehwal dalam Negeri.

"Anda boleh pergi jauh. Tetapi jalani hukuman dulu," katanya. Anggota Dewan menepuk kerusi mereka sebagai tanda setuju dengan kenyataan itu.

Langkah itu dilaksanakan menyusuli perbahasan meluas mengenai keputusan hukuman berbilang pelajar universiti bagi jenayah seksual, dengan sesetengah pihak menyeru hukuman lebih tegas.

Tiga jenis jenayah seksual yang akan dinaikkan hukuman maksimumnya adalah: Pencabulan kehormatan, kegiatan seksual yang dilakukan dengan kehadiran seorang individu bawah umur berusia antara 14 dengan 16 tahun atau menunjukkan mereka imej-imej seksual serta kegiatan serupa yang dilakukan di hadapan seorang individu bawah umur berusia antara 16 dengan 18 tahun.

Terdapat peningkatan 24 peratus dalam jumlah kes pencabulan kehormatan yang dilaporkan dari 2016 hingga 2020 berbanding 2011 hingga 2015, kata Encik Shanmugam.

Oleh kerana kes serius harus ditangani dengan lebih tegas, hukuman penjara maksimum akan dinaikkan dari dua tahun kepada tiga tahun bagi pencabulan.

Hukuman maksimum bagi kegiatan seksual dalam kehadiran individu bawah umur atau menunjukkan imej seksual kepada mereka - sama ada mereka di dalam kumpulan usia antara 14 dengan 16 tahun atau 16 dengan 18 tahun - akan dinaikkan dari hukuman penjara satu tahun kepada dua tahun.

"Perbuatan mengintai bagi kepuasan seksual bukan hanya tindakan melulu yang dilakukan oleh seorang pelajar muda yang tidak berfikir panjang," kata Encik Shanmugam.

"Kesalahan itu dan kesalahan serupa lain, sama ada dilakukan terhadap mangsa perempuan atau lelaki, harus ditangani dengan serius.

"Tindakan itu mesti dilihat sebagai penghinaan nilai-nilai asas yang, secara umumnya tidak boleh dijadikan sebagai alasan bagi kesalahan ini."

AGC AKAN MENOLAK HUKUMAN PEMULIHAN BAGI JENIS KES TERTENTU

Encik Shanmugam menambah bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) lazimnya akan menolak hukuman pemulihan - seperti probesyen - bagi pesalah dewasa yang melakukan kesalahan seksual atau kesalahan menyebabkan kecederaan fizikal tertentu.

Keperluan bagi hukuman setimpal dan pencegahan mesti diutamakan berbanding pemulihan, katanya.

Encik Shanmugam menekakan hal yang perlu jelas bahawa seorang pesalah tidak akan diberikan hukuman ringan hanya kerana dia mempunyai kelayakan pendidikan lebih tinggi atau prospek lebih baik.

Sistem keadilan jenayah menggambarkan nilai-nilai masyarakat dan titik permulaannya adalah kelakuan jenayah sedemikian tidak seharusnya berlaku, dengan "tiada alasan", kata Encik Shanmugam.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan