Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hujan paling lebat bulan lalu dicatat pada 28 Feb; jangkaui paras rekod pada 1995

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura menyaksikan hujan paling lebat dalam bulan Februari pada Selasa (28 Feb), dengan jumlah hujan harian setinggi 225.5 milimeter di Kallang.

Jumlah berkenaan menjangkaui paras rekod iaitu 159.3 milimeter yang dicatatkan sebelum ini pada 4 Februari 1995, menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura pada Rabu (1 Mac). 

Jumlah rekod hujan disebabkan pusuan monsun - angin bertiup lebih kencang di Laut China Selatan, menyebabkan pembentukan awan meluas di kawasan sekitarnya.

Ia membawa hujan berterusan di seluruh Singapura, dengan semua stesen kaji cuaca mencatat hujan lebih 100 milimeter, menurut Jabatan Kaji Cuaca. Hujan paling lebat melanda kawasan timur dan selatan Singapura. 

Keadaan cuaca turut menyebabkan  kejohanan golf -  Kejohanan Dunia Wanita HSBC - di Sentosa dibatalkan pada Rabu.

HUJAN BERSERTA GURUH DIJANGKAKAN

Menurut Jabatan Kaji Cuaca, hujan berterusan yang disaksikan di seluruh Singapura pada hujung Februari, dijangka reda secara beransur-ansur pada awal bulan Mac. 

Hujan berserta guruh dijangkakan pada sebelah petang bagi kebanyakan hari pada minggu pertama Mac. 

Minggu kedua diramal lebih kering, dengan hujan renyai berserta guruh dijangkakan di beberapa bahagian di Singapura pada lewat petang bagi beberapa hari.

"Secara keseluruhannya, jumlah hujan bagi separuh pertama Mac 2023 diramal melebihi purata bagi kebanyakan kawasan di Singapura," menurut Jabatan Kaji Cuaca dalam ramalan yang dikeluarkan dua minggu sekali. 

Suhu harian dijangka antara 24 hingga 33 darjah Selsius bagi kebanyakan hari sepanjang separuh pertama bulan Mac. Ia mungkin mencecah kira-kira 34 darjah Selsius pada beberapa hari apabila jumlah awan berkurangan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan