Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hujan lebat cetus amaran banjir kilat, pokok tumbang di Tampines

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Agensi air negara PUB mengeluarkan amaran banjir pada pagi Ahad (11 Dis) ketika hujan lebat melanda beberapa bahagian negara ini.

Pada sekitar pukul 8.00 pagi, PUB dalam satu catatan di Facebook memaklumkan bahawa hujan lebat "dijangka melanda banyak kawasan di Singapura dari pukul 8.40 pagi hingga 9.40 pagi".

Hantaran itu kemudian dikemas kini dengan amaran risiko banjir kilat di beberapa kawasan termasuk di Neo Pee Teck Lane di Buona Vista, Pasir Panjang Road, Tanjong Pagar Road, Aljunied Road dan Upper Paya Lebar Road.

PUB menasihatkan orang ramai agat menjauhi kawasan berkenaan selama satu jam kerana air di dalam longkang sudah mencapai paras 90 peratus.

Pada sekitar pukul 9.20 pagi, PUB menyatakan hujan lebat dijangka melanda banyak kawasan Singapura dari 9.15 pagi hingga 10.45 pagi.

Sejam kemudian, PUB menyatakan banjir kilat berlaku di Ekspreswe Kallang-Paya Lebar (menghala ke Taman East Coast) berhampiran Buangkok East Drive. Kemas kini tidak lama kemudian menyatakan air banjir itu sudah surut.

PUB mengeluarkan satu lagi makluman pada sekitar pukul 10.40 pagi mengenai hujan lebat dari 10.35 hingga 11.15 pagi.

POKOK TUMBANG DEKAT TAMPINES

Susuli hujan lebat di kawasan Tampines, sebatang pokok besar tumbang berhampiran pintu masuk tempat letak kereta bertingkat di Tampines Street 82.

Apabila wartawan Mediacorp tiba di tempat kejadian, pekerja sedang memotong pokok itu menggunakan gergaji rantai.

Seorang penduduk di situ, Allan Yeo, berkata beliau sedang tidur apabila pokok itu tumbang dan tidak mendengar sebarang bunyi kuat.

"Saya dikejutkan oleh ibu saya dan beliau menyuruh saya memandang ke luar tingkap. Saya kemudian melihat pokok yang tumbang itu," kata penduduk berusia 26 tahun itu.

"Pada ketika itu, pekerja sedang cuba mengalihkan pokok berkenaan. Mujur, tiada orang terhempap atau cedera," katanya.

Seorang lagi penduduk yang enggan mendedahkan namanya berkata beliau sedang memandu pulang apabila melihat sebuah kereta polis di pintu masuk tempat letak kereta itu.

"Kami tidak boleh masuk," kata beliau.

"Ada sebuah lagi kereta polis diletakkan di pintu masuk bertentangan. Ketika itu, saya sedar ada sesuatu yang tidak kena."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan