Hujan diramal hingga hujung Mac
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Hujan yang diramalkan bagi dua minggu pertama bulan Mac dijangka berterusan sepanjang bulan ini, menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (Met Service) pada Rabu (16 Mac).
Angin sepoi-sepoi, cuaca panas dan ribut petir yang disebabkan oleh akhir musim tengkujuh timur laut dan permulaan tempoh antara monsun boleh dijangkakan, menurut Met Service.
Kejadian kilat adalah yang paling tinggi semasa tempoh antara monsun dan diramal akan berterusan sehingga April.
Sepanjang tempoh dua minggu akan datang sehingga 31 Mac, angin bertiup dari barat daya atau barat boleh dijangkakan selama beberapa hari.
Semasa badai Sumatera bergerak ke arah timur menuju ke Laut China Selatan, hujan lebat sederhana sehingga lebat yang meluas, dengan angin kencang sekali-sekala boleh dijangkakan di Singapura pada waktu awal pagi atau sebelum subuh, menurut Met Service.
Pada hari-hari lain pula, hujan gerimis dan hujan lebat boleh dijangkakan di beberapa bahagian di Singapura pada sebelah petang.
Sungguhpun demikian, Met Service memberi amaran hujan lebat berserta guruh boleh berterusan sehingga lewat petang apabila terdapat penumpuan kuat angin di kawasan-kawasan sekeliling.
Secara keseluruhannya, jumlah hujan bagi bulan Mac dijangka melebihi paras purata bagi banyak bahagian di Singapura.
Suhu maksimum harian masih boleh mencapai paras setinggi sekitar 35 darjah Selsius pada "sehari dua", menurut Met Service.
Pada kebanyakan hari pula, suhu harian diramalkan antara 24 darjah Selsius dengan 34 darjah Selsius.
Badai Sumatera mungkin boleh membawa suhu harian yang lebih dingin antara 23 darjah Selsius dengan 32 darjah Selsius pada beberapa hari, tambah Met Service.
SUHU CECAH PARAS TERTINGGI 36 DARJAH SELSIUS PADA SEPARUH PERTAMA MAC
Dalam semakan Met Service bagi separuh pertama bulan Mac, ia turut menarik perhatian bahawa hujan lebat berserta guruh melanda beberapa kawasan di Singapura pada kebanyakan tengah hari dan petang.
Menurut Met Service, jumlah hujan harian tertinggi bagi bulan Mac dicatatkan di Jurong West pada separuh pertama bulan tersebut iaitu sebanyak 134.2 milimeter.
Suhu maksimum yang direkodkan mencecah 34 darjah Selsius atau lebih daripada itu.
Suhu maksimum harian tertinggi adalah 36 darjah Selsius di Paya Lebar pada 13 Mac manakala suhu minimum harian terendah adalah
22.1 darjah Selsius di kawasan Admiralty dan Jurong pada 2 Mac dan 10 Mac.
Banyak kawasan di Singapura mencatatkan jumlah hujan yang melebihi paras purata pada dua minggu pertama Mac, dengan jumlah hujan yang direkodkan di Jurong West adalah 173 peratus melebihi paras purata.
Tuas West pula kurang dilanda hujan, dengan 52 peratus di bawah paras purata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.