Hujan berserta guruh dijangka berterusan pada separuh pertama bulan Mac
Gambar fail hujan lebat di S'pura (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Cuaca lempab pada bulan Februari dijangka berterusan pada separuh pertama bulan Mac dengan hujan berserta guruh diramal berlaku buat beberapa hari, menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (Met Service) pada Selasa (1 Mac).
Musim tengkujuh timur laut diramalkan berterusan hingga ke separuh pertama bulan Mac dengan angin bertiup dari utara atau timur laut pada kebanyakan hari.
Hujan sekejap-sekejap sebelah petang boleh dijangkakan pada kebanyakan hari, kadangkala berlanjutan hingga ke lewat petang, menurut Met Service.
Met Service menambah pada beberapa hari, "angin kencang di Singapura dan kawasan sekitarnya akan akan menyebabkan hujan lebat berserta guruh di seluruh pulau".
Selain itu, udara sejuk yang bergerak ke Laut China Selatan mungkin membawa hujan berserta guruh dan keadaan berangin di Singapura pada waktu subuh.
Secara keseluruhan, jumlah hujan yang turun pada dua minggu pertama bulan Mac dijangka melebihi paras purata di kebanyakan kawasan Singapura.
Namun, suhu maksimum harian masih boleh mencapai paras tinggi sekitar 34 darjah Selsius pada beberapa hari. Pada kebanyakan hari, suhu harian diramalkan antara 24 darjah Selsius hingga 33 darjah Selsius
CUACA PADA FEBRUARI
Kebanyakan kawasan Singapura melaporkan hujan berserta guruh pada sebelah petang dan malam pada kebanyakkan hari bulan Februari.
Sepanjang tempoh ini, angin paras rendah tiup terutamanya dari barat laut atau timur laut serta
dari timur pada beberapa hari.
Menurut Met Service, jumlah hujan harian tertinggi pada bulan Februari dicatatkan di Tai Seng, pada 27 Februari sebanyak 142 milimeter.
Suhu maksimum pula adalah antara 26.8 darjah Selsius dengan 35.1 darjah Selsius.
Suhu maksimum harian tertinggi 35.1 darjah Selsius dicatatkan di Newton dan Sentosa masing-masing pada 20 Februari dan 21 Februari.
Suhu maksimum harian terendah iaitu 26.8 darjah Selsius dicatatkan pada 10 Februari.
Singapura menerima jumlah hujan melebihi purata pada bulan Februari.
"Jumlah hujan tertinggi luar biasa sebanyak 161 peratus melebihi paras purata dicatatkan di Paya Lebar manakala Mac Ritchie mencatatkan paras hujan paling rendah luar biasa lebih 1 peratus di atas paras purata,"tambah Met Service.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.