Skip to main content

Singapura

Hubungan SG-Mesir memasuki satu tahap baharu: Presiden Tharman

Anggaran Waktu Membaca:
KAHERAH: Presiden Tharman Shanmugaratnam menutup Lawatan Negara beliau ke Mesir dengan menyifatkan hubungan dua hala kini "sedang memasuki satu tahap baharu."

Sepanjang empat hari di Kaherah, Presiden Tharman antara lain mengadakan rundingan bersama Presiden Abdel Fattah Al Sisi serta Perdana Menteri Mostafa Madbouly.

Presiden Tharman berkata, "Perbincangan yang kami adakan menunjukkan bahawa kita mempunyai kesedaran bersama tentang kepentingan strategik, komitmen yang sangat kuat daripada kedua-dua negara untuk memupuk keharmonian antara agama serta kesedaran bahawa kita saling melengkapi dari segi ekonomi dengan lebih banyak cara berbanding sebelum ini — dan kita akan terus mengembangkan saling melengkapi ekonomi itu."

VISI JELAS MESIR DARI ASPEK SOSIAL, EKONOMI

Perbincangan beliau bersama Presiden Al Sisi turut membawa kepada bermulanya rundingan kedua-dua negara mencapai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
(Gambar: Mediacorp)

Menurut Presiden Tharman, ia berpotensi membawa kesan besar kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara.

"Ini akan menghantar isyarat yang sangat kuat bahawa rantau kita sebenarnya banyak saling melengkapi antara satu sama lain. Singapura bukan pesaing Mesir," kata Presiden Tharman.

"Kita menghasilkan komponen dan bahan separa siap dalam pelbagai bentuk, yang boleh menyokong industri eksport Mesir dan untuk berkembang, Mesir perlu meningkatkan eksportnya — ia perlu menjadi sebuah kuasa besar eksport," tambah beliau lagi.

Bukan saja dari aspek ekonomi, Presiden Tharman juga berkata bahawa Mesir mempunyai visi yang jelas dari aspek sosial.

"Kami percaya pada masa depan Mesir. Negara ini mungkin kelihatan jauh dari Singapura dan terletak di rantau yang bergolak tetapi ia merupakan ‘oasis kestabilan’," ujar Presiden Tharman.

"Mesir mempunyai kedudukan strategik unik, dengan kelebihan Terusan Suez dan Sungai Nil, serta golongan penduduk muda yang besar. Lebih penting, Mesir mempunyai pandangan jelas tentang masa depannya, dari segi ekonomi dan sosial,” tambahnya.

HUBUNGAN SG-MESIR AKAN BERTERUSAN, UNTUK BANTU GAZA

Presiden Tharman turut menegaskan bahawa kerjasama kemanusiaan antara Singapura dengan Mesir kekal penting, terutama dalam menyokong rakyat Palestin di Gaza.

Beliau sempat melawat ibu pejabat Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) pada Ahad (20 Sep) untuk menyaksikan penyerahan sumbangan Palang Merah Singapura sebanyak lebih $1.2 juta kepada ERC.

“Mereka sangat menghargai bahawa saya adalah ketua negara pertama yang melawat ibu pejabat Bulan Sabit Merah Mesir (ERC). Singapura juga antara pihak terawal yang berhubung dengan ERC pada permulaan konflik,” katanya.

Selain penghantaran bantuan melalui Palang Merah Singapura, Singapura juga menghantar tiga pakar perubatan ke Institut Nasser di Kaherah. Mereka termasuk pakar pediatrik dan seorang jururawat kanan.

BACA: Palang Merah SG sumbang $1.2 juta bekalan bantuan kemanusiaan, bantu pelarian Palestin di Mesir

AL-AZHAR MERCU TANDA GALAK PERPADUAN MASYARAKAT

Hubungan pendidikan Islam turut menjadi fokus utama, dengan pembaharuan MoU antara Universiti Al-Azhar dengan MUIS.

BACA: MoU PCICS antara MUIS, Universiti Al-Azhar diperbaharui

Universiti AL-Azhar. (Gambar: Mediacorp)
“Al-Azhar telah banyak membantu Singapura dalam pembangunan Kolej Pengajian Islam Singapura, serta program Sijil Pascasiswazah mengenai Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS),"kata Presiden Tharman.

"Tetapi ia bukan hanya tentang Islam, dan bukan hanya tentang pengajian agama. Al-Azhar juga menjadi mercu tanda dalam mempromosikan toleransi dan persefahaman antara agama,” tambahnya.

Beliau turut menekankan kerjasama rapat antara Al-Azhar dan Gereja Koptik, yang menjadi contoh toleransi beragama di Mesir.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita