Skip to main content

Singapura

Hubungan SG-China semakin penting di tengah pergolakan global: PM Wong

Hubungan antara Singapura dan China kini semakin bertambah penting berbanding sebelum ini di tengah-tengah pergolakan dan ketidaktentuan global sekarang, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (24 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jun 2025 01:18PM Dikemas Kini : 24 Jun 2025 09:42PM
BEIJING: Hubungan antara Singapura dan China kini semakin bertambah penting berbanding sebelum ini di tengah-tengah pergolakan dan ketidaktentuan global sekarang, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (24 Jun).

Berucap semasa pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping di Dewan Besar Rakyat China, PM Wong berkata kedua-dua negara boleh bekerjasama untuk menjalin hubungan lebih erat dan bekerjasama dalam platform serantau dan berbilang hala.

Ini akan terus mengukuhkan kerjasama berbilang hala dan aturan global berasaskan peraturan "untuk faedah semua negara," tambah PM Wong.

PM Wong turut menarik perhatian bahawa beliau memutuskan untuk melawat China sebagai negara pertama di luar Asia Tenggara.

Lawatan itu adalah yang pertama ke China bagi PM Wong sebagai perdana menteri, dan kali terakhir beliau bertemu Encik Xi adalah di luar mesyuarat berbilang hala pada November 2024.

"Ia mencerminkan perkongsian erat dan teguh yang wujud antara kedua-dua negara kita. Ia adalah hubungan yang dibina di atas sikap saling menghormati, kepercayaan dan persefahaman yang mendalam," kata PM Wong.

"Saya mengalu-alukan peluang untuk mengukuhkan lagi asas yang dibina oleh para pendahulu saya agar kita dapat terus membina persefahaman yang lebih rapat, muhibah dan kukuh dengan Presiden Xi, untuk merapatkan kedua-dua negara kita."

Dalam ucapannya, Encik Xi juga menyatakan bahawa China adalah negara pertama di luar Asia Tenggara yang dipilih oleh PM Wong untuk melawat selepas menjadi perdana menteri.

"Ini menunjukkan bahawa anda sangat mementingkan hubungan China-Singapura," tambahnya.

Encik Xi juga menyatakan bahawa 2025 menandakan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Singapura dan China.

“Berdepan dengan keadaan antarabangsa semasa yang menyaksikan perubahan dan kekacauan yang saling berkaitan, China bersedia untuk mengukuhkan komunikasi strategik dengan Singapura, mengukuhkan kerjasama dan saling bekerjasama untuk menghadapi cabaran dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat dari kedua-dua negara.”

PM Wong bertemu Perdana Menteri China Li Qiang pada Isnin (23 Jun) dan juga akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan China Zhao Leji dalam lawatan tersebut.

Di Tianjin, PM Wong akan menghadiri Mesyuarat Tahunan 'New Champions' Forum Ekonomi Dunia (WEF), yang sering dirujuk sebagai 'Summer Davos' dan mengambil bahagian dalam sesi dialog dengan Presiden WEF Borge Brende.
 
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita