Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hubungan SG-China semakin kukuh, projek kerjasama berkembang maju, kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata hubungan dua hala Singapura- China semakin kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan projek-projek kerjasama turut berkembang maju.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Mar 2023 07:46PM Dikemas Kini : 31 Mar 2023 08:57PM
BEIJING: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata hubungan dua hala Singapura- China semakin kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan projek-projek kerjasama turut berkembang maju.

PM Lee mengulas demikian selepas menghadiri satu siri mesyuarat bersama pemimpin China termasuk Presiden Xi Jinping pada Jumaat (31 Mac).

Ia adalah sebahagian daripada lawatan enam hari beliau ke negara itu.

Mengulas mengenai tiga projek antara pemerintah dengan pemerintah, PM Lee berkata Taman Perusahaan Suzhou sudah berubah.

Daripada sebuah model pembangunan perusahaan, ia kini menjadi sebuah hab bagi inovasi teknologi tinggi dan perusahaan baru seperti biokimia dan bioperubatan.

Bandar Eko Tianjin pula meraikan ulang tahun yang ke-15 tahun ini dan para pegawai sedang memperbaharui skop kerjasama untuk menumpukan kepada pertumbuhan rendah karbon.

Bagi Inisiatif Keterhubungan Chongqing, PM Lee berkata Koridor Perdagangan Darat Laut berperanan sebagai rantaian bekalan penting bagi rantau ini terutama sekali semasa pandemik.

Di pihaknya pula, Beijing menyatakan hubungan Singapura dan China adalah contoh kerjasama bermutu tinggi antara kedua-dua negara.

PM Lee adalah antara pemimpin dunia pertama untuk melakukan lawatan ke China menyusuli perhimpunan Parlimen Beijing awal bulan ini.

"Semasa Kongres Parti Komunis dan Lianghui ke-20, China menetapkan banyak keutamaan yang penting dan berpandangan ke hadapan. Hubungan dua hala kami yang teguh, yang semakin baik lagi semasa lawatan saya, menyediakan asas yang kukuh bagi kita melanjutkan lagi kerjasama kita," kata PM Lee.

Beliau juga bertemu dengan beberapa pemimpin China lain seperti Ketua Perundangan China Zhao Leji.

Encik Zhao berkata lawatan PM Lee mencerminkan dengan jelas peri pentingnya hubungan dua hala.

Selain Encik Zhao, PM Lee mengadakan pertemuan dengan ketua badan penasihat politik China yang baru Wang Huning.

PM Lee berkata Singapura bekerjasama dengan baik dengan pemimpin China yang silih berganti sejak sekian lama.

Kepimpinan Singapura yang lama mahupun baru, tambah PM Lee, sedia bekerjasama dengan China demi terus mengukuhkan hubungan dua hala yang mendalam dan teguh.
Sumber : CNA/RU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan