Hubungan SG-Britain dibentuk nilai bersama dan kekuatan yang saling melengkapi
Singapura dan United Kingdom sedang memperdalam perkongsian mereka ketika dunia menghadapi keadaan tidak menentu, dengan memberi tumpuan kepada usaha merangsang perdagangan dan meningkatkan kerjasama pertahanan, kata Setiausaha Negara Britain, Peter Kyle.
Setiausaha Negara Britain bagi Sains, Inovasi dan Teknologi, Peter Kyle, bercakap kepada CNA semasa satu temu bual. (Gambar: Mediacorp)
Lawatannya ke Singapura dilakukan semasa kapal HMS Prince of Wales berlabuh di Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay minggu lalu – persinggahan rasmi pertama kapal induk tentera Britain itu dalam pengerahannya selama lapan bulan di Indo-Pasifik.
Encik Kyle berkata persinggahan tersebut adalah detik simbolik bagi hubungan antara Singapura dengan Britain, yang sudah terbentuk selama enam dekad menerusi nilai bersama dan kekuatan yang saling melengkapi.
“Ia adalah satu pencapaian besar. (Selama) 60 tahun ini kita telah berkomunikasi, membina hubungan diplomatik, berdagang bersama,” kata Setiausaha Negara Britain bagi Sains, Inovasi dan Teknologi itu.
“Kita telah bekerjasama untuk menyelesaikan banyak cabaran (dan) mencipta banyak peluang. Kita mempunyai sejarah kerjasama yang baik dari segi diplomatik dan ekonomi.”
Encik Kyle turut menambah bahawa Singapura merupakan pintu masuk ke Indo-Pasifik – sebuah rantau yang ingin diterokai Britain dengan lebih lanjut, terutamanya dalam bidang sains, teknologi dan perdagangan.
“Bidang yang berkembang pesat di masa hadapan – kita melihat kepada angkasa lepas, AI (kecerdasan buatan), automasi, teknologi dron. Semua bidang ini adalah bidang yang Britain … Singapura dan kawasan (sekitarnya) sangat mahir,” katanya.
“Kita harus bekerjasama dengan lebih rapat untuk merebut peluang yang diwujudkan oleh industri masa depan ini.”
Beliau turut menyentuh isu-isu umum yang sedang dihadapi kedua-dua negara, termasuk jumlah penduduk yang semakin menua, dan mengatakan bahawa kedua-dua pihak akan meraih manfaat daripada pertukaran pengetahuan.
“Apabila kita melihat ke masa hadapan, anda dapat melihat beberapa persamaan antara masyarakat kita. Singapura dan Britain sama-sama menghadapi penduduk yang menua … (yang) mendatangkan cabaran kepada cara kita mentadbir,” katanya.
Beliau juga memuji transformasi digital Singapura, sambil berkata bahawa masa depan terletak pada kerjasama yang “sesuai bagi era digital, bukan hanya era perindustrian yang telah kita alami sejak 60 tahun lalu.”
“Singapura sememangnya menerajui dunia dalam mengubah cara pemerintah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat melalui teknologi digital. Ini adalah sesuatu yang kami di Britain sedang cuba pelajari dan teladani,” tambahnya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.