Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hubungan S'pura, M'sia 'unik dan istimewa', tegas PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad hari ini (12 Nov) menegaskan lagi hubungan kukuh antara Singapura dengan Malaysia semasa jamuan tengah hari di Istana bagi meraikan lawatan Dr Mahathir dan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Hubungan S'pura, M'sia 'unik dan istimewa', tegas PM Lee

Gambar: Koh Mui Fong/TODAY

Diterbitkan : 12 Nov 2018 07:15PM Dikemas Kini : 12 Nov 2018 07:20PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad hari ini (12 Nov) menegaskan lagi hubungan kukuh antara Singapura dengan Malaysia semasa jamuan tengah hari di Istana bagi meraikan lawatan Dr Mahathir dan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke Singapura.

Perdana Menteri Malaysia itu sedang melakukan lawatan rasmi selama dua hari ke Singapura dari hari ini hingga esok (13 Nov). Ia merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan perdana menteri Mei lalu.

Kedua-dua pemimpin turut mengadakan "perbincangan meluas" tentang isu-isu dua hala dan serantau, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya.

Semasa berucap di jamuan tengah hari itu, PM Lee turut mengesahkan "persahabatan yang erat" antara Singapura dengan Malaysia sambil menarik perhatian bahawa acara kali ini jauh berbeza daripada kali pertama Dr Mahathir mengadakan lawatan ke Singapura.

"Saya mengalu-alukan peluang hari ini untuk mengesahkan persahabatan yang rapat dan erat antara kedua-dua negara dan juga untuk meneruskan perbincangan kami semasa saya bertemu dengan Dr Mahathir di Putrajaya Mei lalu, sejurus selepas pilihan raya di Malaysia," kata PM Lee. 

Beliau turut menekankan tentang hubungan erat dan muhibah antara kedua-dua negara.

"Malaysia adalah jiran terdekat Singapura dan begitu juga sebaliknya," kata beliau. "Kami saling terikat dari segi geografi dan sejarah, begitu juga ekonomi kami kerana kedua-dua negara adalah rakan niaga kedua terbesar antara satu sama lain dan Singapura juga adalah pelabur asing kedua terbesar bagi Malaysia."

PM Lee berkata Singapura dan Malaysia mempunyai "hubungan yang istimewa" dan beliau mengalu-alukan peluang untuk terus bekerjasama dengan Dr Mahathir dan kerajaan pimpinannya untuk mengukuhkan lagi "ikatan khas" antara kedua-dua negara.

Dr Mahathir juga mengongsi pandangan yang sama tentang hubungan yang erat dan muhibah antara Malaysia dengan Singapura.

Semasa jamuan itu, Dr Mahathir mengibaratkan hubungan antara Singapura dengan Malaysia "seperti saudara kembar" yang dapat hidup bersama dengan aman dan damai.

Kedua-dua negara bekerjasama dan saling tolong-menolong, tambah Dr Mahathir.

Dalam pada itu, PM Lee juga menekankan hasrat Singapura untuk terus menjalin "hubungan yang membina dan berpandangan jauh" dengan Malaysia, menurut MFA dalam kenyataannya.

Beliau turut meluahkan penghargaan kepada Dr Mahathir atas sokongan Malaysia terhadap Singapura sebagai pengerusi ASEAN.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk berganding bahu dan terus mengukuhkan ASEAN, tambah MFA. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan